Yamna 2

Assalamualaikum

@.@

2

Rupanya si srikandi sudah syahid dipanah lelap.

                Aniq menghampiri Yamna yang tertidur di meja belajar dengan terjengket-jengket. Bimbang lena si tuan puteri terusik. Sejenak, Aniq mempertimbangkan kewajaran tindakan yang bakal diambil. Hendak dibiarkan.. atau mahu memapahnya ke katil?

                Keletihan di wajah Yamna jelas terpapar, dengan dengkuran halus dari bibirnya, mengapa perlu disangkal lagi? Ya, Yamna seperti dirinya juga, berjuang habis-habisan demi matlamat yang satu, mengecapi kejora kecemerlangan dalam penilaian yang muktamad. Namun nampaknya, tubuh dan minda Yamna tidak gagah lagi untuk terus bersengkang mata, kedua-duanya sudah lelah, tenaga sudah pada takat paling minimum, kedua-duanya memerlukan rehat. 

                Yamna dibaringkan ke atas katil. Mujur lenanya masih belum terganggu. Begitu penat tentunya. Seketika, Aniq mengambil masa untuk menikmati wajah kesayangannya. Subhanallah.. Ya, kerana wajah inilah ramai di antara sahabat-sahabat mahupun teman-temannya memendam rasa suka kepada Yamna. Melihat gadis itu setiap hari di sekolah makin menyemarakkan lagi perasaan itu. Alhamdulillah, masing-masing mereka berjihad untuk kekal di dalam batasan. Akur menundukkan pandangan walaupun mata nakal ingin memandang. Betah menahan hati dari keinginan yang membuak-buak. Minda dipasung untuk tetap fokus pada tujuan utama.

                Perit, memang perit untuk menanggung perasaan sebegitu. Payah, sesungguhnya payah untuk tetap pada landasan yang dipagari batasan. Nikmat kepada yang tidak halal itu lebih menggoda nafsu. Lebih menggoyahkan iman apabila godaan itu terasa dekat dengan diri. Ya Allah, peliharalah hati dan jasad kami daripada azab-Mu.

Hmm.. walau apa pun, Yamna ini sudah berpunya. Aniq tidak perlu menghadapi saat getir lagi, menanggung rasa hati yang menggunung. Cukuplah, detik-detik itu sudah berlalu. Awal muda sebegini, ramai yang menetapkan soal kehidupan yang sedang dijalani merupakan angan-angan sahaja. Tiada arah tuju, tidak berkekalan jika diteruskan. Bagi mereka yang berpendapat sedemikian, dasar kehidupan yang dibina  Aniq sangat rapuh, hanya berpaksikan cinta monyet yang remeh. Mudah goyah sekalipun hanya dibadai angin Sumatera. Demikianlah cakap-cakap mereka yang mempersoalkan tindakannya. Penuh dengan ungkapan negatif yang meracuni minda.

Aniq.. Pemuda yang mempunyai keazaman untuk mengubah tanggapan itu. Dia yakin dia mampu. Berbekalkan tujuan yang jelas, strategi yang ampuh, pertahanan yang kukuh dan yang lebih utama, tawakkal yang menyeluruh. Alhamdulillah.. sehingga hari ini dia mampu mempertahankan tindakannya. Semuanya masih terkawal. Dan syukur, kerjasama yang padu telah diberikan bagi menjayakan misinya. Lebih-lebih lagi dari seseorang yang begitu penting peranannya. Yang padanya terjulang kemenangan atau merudumnya kegagalan.

Yamna.. Mata Aniq beralih semula kepada sekujur tubuh yang sedang terlena itu. ‘Yamna kena tolong Aniq untuk capai matlamat ini. Yamna sudah jadi sebahagian besar daripada misi ini, Yamna tak boleh tarik diri lagi. Walaupun Yamna tak sedar sekalipun,  Aniq tak boleh benarkan Yanma pergi. Tak boleh!’  
Aniq mengeluh perlahan, kemudian mengukir segaris senyuman. Yamna sayang.. Lantas dahi Yamna dikucup lembut. Lama.. sebelum bibir Aniq dan dahi Yamna berpisah. Spontan, jemari Aniq mengelus perlahan pipi Yamna.

“Dengan izin Allah, semoga cinta kita ke Jannah..” Aniq berbisik di telinga Yamna. Setelah itu, kakinya melangkah keluar dari bilik. Menyambung kerja studi yang terbengkalai. ‘Aku mesti kuatkan usaha, demi mereka yang mengharapkan kejayaan aku dan si dia; kekasih abadiku.. Aku telah berjanji untuk menjaganya, melindunginya dan kerana itu aku wajib menunaikannya dengan memperlihatkan kecemerlangan akedemik dan sahsiah. Aku mahu buktikan kepada walinya bahawa aku bersungguh menerima amanah ini. Ya Rabbi Ya ‘Azim, permudahkanlah segala urusanku. Janganlah engkau susahkan aku. Allahumma yassir, wa la tu’assir’
***
                Kelas 5 Amanah sedikit sunyi dari bising pelajar. Masing-masing sibuk menelaah buku yang terdampar di meja tulis. Ada yang menari-narikan pena di atas buku latihan. Ada pula yang sedang berbincang mengenai topik mata pelajaran. Suasana tipikal bagi kelas harapan sekolah; kelas  pertama.
“Pelajar di tempat masing-masing,  duduk di atas kerusi, menghadap meja tulis, buku di atas meja dan mata perlu menghala ke buku”

 Dengan kata ringkasnya, pelajar perlu belajar, bukan bermain-main. Penolong Kanan Pentadbiran sering mengulang tutur ayat keramat itu. Terlalu acap kali. Ah, sudah mangli telinga para pelajar. Ayat itu jugalah yang keluar dari mulut guru perempuan itu setiap kali beliau berucap.

Dan ayat itu lah yang dipasakkan ke minda pelajar-pelajar kelas pertama ini sehingga mereka mampu berada dalam keadaan statik di kerusi. Sanggup menekuni kertas-kertas yang dibukukan dengan bantuan ruas buku. Betapa bersungguhnya mereka demi belajar! Subhanallah! Hati mereka telah dipasung untuk menuntut ilmu.


Aniq sedang mencongak kiraan untuk soalan Matematik Tambahan dengan bantuan teman elektroniknya; kalkulator. Punat-punat yang timbul di kalkulator ditekan pantas. Selagi skrin kalkulator tidak menunjukkan angka yang dimahukan, selagi itu kalkulator itu menjadi mangsa kerakusan otak kirinya.

Bersambung...

Comments

Popular Posts