Halawatul Iman bab 5 & 6

Assalamualaikum..

5

            Keesokan hari, Qayyum menepati kata-katanya. Dia datang pada waktu tengah hari, hampir-hampir untuk lunch time. Memang umi sudah menyiapkan makanan tengah hari khas untuk tetamu yang akan datang terutama yang seorang itu.

            Pada mulanya, aku sudah menyiapkan strategi untuk meloloskan diri. Aku merancang untuk keluar ke bandar dan pulang agak lewat petang. Perancanganku cukup sempurna namun ketentuanNya mengatasi kehendakku. Tiba-tiba sahaja keretaku rosak, tetapi aku punya back-up plan. Aku menelefon temanku, moga-moga dia dapat menjemputku di rumah. Malang bagiku, dia pula ada urusan yang mustahak baginya. Tidak mengapa, kereta abah kan ada. Dengan tebal muka, aku meminta abah untuk meminjamkan keretanya kepadaku.

”Bolehlah ya, abah”, pintaku dengan wajah penuh mengharap.

”Kita kan ada tetamu nak datang, tak elok tahu abaikan tetamu”, itu kata abah. Kalau diterjemah, tak boleh lah maknanya. Jika begitu katanya, muktamadlah sudah. Tidak boleh dipujuk rayu lagi.

Abah menambah dengan sebuah hadis, ”Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya”

Aku mencebik. Kalau abah tidak mengizinkan, aku punya seorang lagi insan yang boleh diminta bantuan; umi.

”Umi, tak apa lah, ya. Anna ada urusan penting di bandar. Penting sangat-sangat. Kalau tak pergi sekarang, tak tahulah apa nak jadi. Bolehlah Anna pinjam kereta umi, boleh ya? Umi kan baik”, aku cuba memujuk umi.

”Tadi abah cakap tak boleh, kan? Kalau abah tak benarkan, apa hak umi untuk izinkan Anna pergi? ”, aku menarik muka. Apa kena dengan umi dan abah ni? Yang nak datang tu bukannya VVIP, Qayyum dan ibu bapanya sahaja. Kenapa macam excited sangat ni?

Tak kan umi lupa anaknya ini pernah merana kerana lelaki itu. Tak mungkin abah lupa saat dia menikahkan aku dengan Qayyum dan ketika itu air mata hibaku tidak henti-henti mengalir. Lagipun Qayyum itu bukan menantu dalam keluarga ini lagi. Dia bukan suamiku lagi; rasanya lah. Jadi untuk apa melayannya dengan sebegitu baik? Aku memang tidak mengerti!

            Sedang aku melayan perasaan, sebuah kereta Honda Civic berwarna putih berhenti di hadapan rumah. Seorang lelaki keluar dari tempat pemandu, diikuti dengan sepasang lelaki dan perempuan yang masing-masing sudah berusia lebih daripada separuh abad. Qayyum memimpin wanita itu perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Lelaki berusia emas itu mendahului mereka berdua.

            Abah yang menunggu di hadapan pintu menyambut mesra mereka bertiga. Siap berpeluk sakan lagi abah dengan lelaki berusia itu, seperti adik beradik yang sudah bertahun tidak bertemu. Nampak  begitu akrab. Umi pula memimpin wanita itu ke ruang makan. Nampak amat mesra. Aku yang sedang membancuh air seperti makhluk asing. Bagaikan terasing daripada situasi yang berlaku. Terpinga-pinga aku.

            Abah bersalaman lantas memeluk Qayyum bagai melepaskan rindu yang sudah lama tersimpan. Ibu boleh pula menyambut huluran salam oleh Qayyum dan membiarkan tubuhnya didakap erat oleh lelaki itu. Aneh pula apabila melihat ibu mengucup dahi Qayyum. Apakah aku yang salah lihat atau cermin mataku yang sudah kabur? Aku menggosok-gosok cermin mataku pada hujung selendang labuh yang aku pakai. Sesuai dengan baju kurung berlatarkan warna lilac bercorak abstak.

            Dengan penuh berhati-hati, aku menatang sedulang minuman ke ruang makan. Rasa kurang selesa membelenggu diri apabila terperasan beberapa pasang mata memandang tajam ke arahku. Selesai meletakkan dulang itu ke atas meja, aku menyalami wanita tua itu. Dia memelukku, lama. Seakan seorang ibu melepaskan dendam rindu pada anak perempuannya. Kemudian, kedua-dua belah pipiku dikucup sayang. Walaupun aku masih terpinga-pinga, senyuman manis tetap terukir di bibirku. Setelah itu, aku tunduk sedikit untuk memberi hormat kepada lelaki tua itu. Abah pantas menyampuk.

”Kenapa tak salam ayah. Ni ayah Qayyum, ayah Anna juga”, sebaris ayat yang membuat aku tersentak. Otakku tidak dapat mentafsirkan maksud ayat itu. Lelaki tua itu kemudiannya tersenyum. Aku tidak dapat menangkap maksud kata-kata abah dan erti senyuman lelaki tua itu. Mana boleh seorang perempuan bersentuhan dengan lelaki ajnabi dengan sengaja! Lelaki tua itu bukan lagi mertuaku; rasanya. Apakah abah lupa akan kebenaran itu?

            Melihat aku seperti patung tidak bergerak, ibu menarik aku untuk duduk di sebelahnya. Aku hanya perasan Qayyum duduk di hadapanku, betul-betul di hadapanku apabila aku hendak mengambil lauk untuk dibawa ke dalam pingganku. Ketika itu pandangan mata kami bertaut. Dia tersenyum. Comelnya! Terasa debaran di hatiku. Astaghfirullah! Ampunkan aku, ya Allah! Hindarkanlah aku dari zina mata dan zina hati! Aku mohon perlindunganMu ya Allah, wahai pemilik cinta utamaku!

            Sehingga aku selesai makan, aku tidak berani lagi memandangnya. Hanya menunduk, makan pun ’sejemput’ sahaja. Seleraku tidak hadir ketika itu. Aku rela kematian selera, daripada aku berterusan memandang yang tidak halal bagiku, daripada aku terus membiarkan hatiku bermaksiat akibat pandangan matanya.

”Awalnya habis makan”, umi menegur. Aku hanya membalas dengan senyuman. Aku melangkah ke sinki dengan membawa pinggan kotor.

            Selepas makan, umi dan abah serta emak dan ayah Qayyum berbual di ruang tamu. Aku tidak menyertai mereka dengan membereskan kerja di dapur. Aku kurang ’mesra’ dalam melayan tetamu, jadi biarlah umi dan abah sahaja jadi penggantinya. Sedang aku asyik mencuci pinggan dan gelas, Qayyum muncul entah dari mana.

”Boleh Qayyum tolong?”, manis wajahnya bertanya.

Aku tidak menjawab pertanyaannya. Dia mengulang lagi ayat itu sehingga kali ketiga. Kemudian, ayat seterusnya membangkitkan resahku.

”Anna, berdosa tahu kalau tak endahkan suami. Inikan pula bila suami tanya, isteri tak mahu jawab, lagilah Allah murka. Anna kan nak jadi isteri solehah”, petah bicaranya. Aku mengerut dahi. Apa yang Qayyum sedang merepek ni?

Aku menghentikan cucian. Tangan dilap pada tuala tangan yang tersangkut.

”Awak ulang balik apa yang awak cakap tadi”, nadaku sedikit tinggi.

”Anna kan nak jadi isteri solehah, wajiblah taat pada suami. Dengar apa yang suami cakap, jawab bila suami tanya, jangan sakitkan hati suami..”, jawab Qayyum.

”Ya, saya nak jadi isteri solehah, tapi untuk apa saya perlu dengar awak? Awak bukan siapa-siapa, awak bukan suami saya”

Dia tersenyum. Aku tidak dapat mencerna erti senyuman itu. Aku tengah marah, boleh pula dia tersenyum? Aneh. Atau ada sesuatu yang lucu dalam pernyataanku?

Anti zaujati”

Wow, bagai ribut pasir setinggi 30 meter melanda diriku. Telahan hatiku.. Nampaknya seperti telahan hatiku benar! Oh, aku kehilangan kata-kata! Hukum syarak tentang ’jatuh talak keatas seorang isteri apabila suaminya mengabaikan nafkahnya selama 3 bulan berturut-turut dengan sengaja’ tidak boleh dijadikan hujah kerana situasi yang aku hadapi berlainan. Aku yang ’melarikan diri’, bukan dia yang meninggalkan aku dengan sengaja. Tidak! Aku mesti berdalih!

Aku senyum mengejek. ”Qayyum, kembalilah ke dunia nyata. Tujuh tahun dahulu ya, saya pernah dipertanggungjawabkan untuk awak, sebagai amanah awak. Tapi sekarang, saya bukan lagi milik awak, saya adalah wanita ajnabi bagi awak. Terimalah realiti, ya akhi”. Aku melangkah meninggalkannya. Sebenarnya aku mahu menyelamatkan diri. Lebih baik aku bersama dengan umi dan abah. Rasanya lebih ’selamat’ untukku.

            Aku mengambil tempat bersimpuh di sebelah umi dan emak Qayyum, walaupun mereka sudah memberi ruang untukku di atas sofa. Aku lebih selesa bersimpuh di atas permaidani. Sebaik sahaja aku bersimpuh, emak Qayyum menepuk lembut bahuku.  

”Bila Anna nak balik rumah mak? Adik-beradik Qayyum yang lain semua teringin nak jumpa Anna. Mak pun tak habis dendam lagi melepas rindu kat Anna. Waktu akad nikah sekali itulah kali pertama dan kali terakhir mak jumpa Anna. Lepas 7 tahun, baru kali inilah dapat peluk Anna lagi”, mata emak Qayyum sedikit berair.

            Aku tidak faham maksud emak Qayyum ini. Mahu aku balik ke rumahnya? Sebagai siapa? Aku bukan siapa-siapa lagi kepadanya.

Demi menyedapkan hatinya, aku mengukir senyuman. ”Nanti Anna datang, ya”

            Emak Qayyum menambah lagi, ”Kasihan Qayyum tidur sorang-sorang. Dia tak ada orang nak peluk. Orang yang nak peluk dia pun tak ada. Bilik tu macam tak ada penyeri, sunyi sahaja. Anna balik ya nanti, mak tunggu”

Astaghfirullah! Aku seperti kehilangan fungsi otak, aku makin tidak faham. Kalau ya pun Qayyum tidur sorang-sorang, apa kaitannya dengan aku? Tak ada bukan? Habis mana pergi isterinya sampai dia kena tidur sorang-sorang? Aduh, pening aku memikirkan hal ini. Umi dan abah pula tidak menafikan kata-kata emak Qayyum, tersenyum sahaja.

6

            Setelah Qayyum dan ibu bapanya pulang,barulah aku punya kesempatan untuk bertanya perihal kenyataan Qayyum dan emaknya itu.

”Ya, Anna masih lagi amanah Qayyum. Wang yang Anna terima dari tok saban bulan sebenarnya nafkah zahir dari Qayyum. Dan wang itulah yang menjadikan Anna tetap sebagai isteri Qayyum”, hampir tercabut jantungku mendengarkan ungkapan abah tanpa dalih itu. Umi mengangguk mengiakan pernyataan abah. Astaghfirullah!

            Sejak petang itu, aku mengurung diri di dalam bilik. Makan malam pun aku tidak jamah akibat kejutan itu. Allahu Akbar! Agungnya pengaturanMu! Untuk malam itu, tikar sejadah menjadi alas untukku yang tidak henti-henti mengadu kepadaNya. Dahulu air mataku tumpah kerana sakitnya menerima kenyataan bahawa aku menjadi isteri orang melalui perkahwinan yang tidak terduga. Kini, air mata ini dengan murahnya sekali lagi mengalir kerana terpaksa menerima hakikat aku masih isteri Qayyum. Oh Tuhan, apakah hikmah di sebalik ujianMu ini?

            Aku menunaikan solat sunat taubat disusuli dengan solat sunat hajat dan diakhiri dengan solat sunat istikharah. Air mataku mengiringi setiap doa yang aku pohon.

”Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengmpuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang yang rugi” (Al-A’raf: 23)

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia” (Ali-Imran:8)


Ya Allah, kurniakanlah yang terbaik untukku. Iringilah setiap nafasku dengan keredhaan dan rahmatMu. Permudahkanlah segalanya untukku. Amin.  

Aku tertidur diselimuti telekung di atas sejadah. Alhamdulillah, mimpi yang baik menemaniku. Aku terjaga apabila azan Subuh berkumandang.

            Untuk sementara ini, aku akan tinggal bersama tok. Biarpun aku tahu tok juga berkomplot dalam mengekalkan statusku sebagai isteri Qayyum, aku rasa aku lebih tenang berada dalam persekitaran damai di kampung.

”Tok, kenapa tok bersubahat dengan Qayyum? Kenapa tok terima wang dari Qayyum sebagai nafkah untuk Anna? Tok tak kasihankan Anna ke, tok? Tok sanggup biarkan Anna menderita kerana masih terikat dengan Qayyum?”, aku bertanya pada tok pada suatu malam apabila berkesempatan.

”Anna tak bencikan Qayyum, kan?”, tanya tok pula.

”Tok, Anna tanya soalan lain. Kenapa tok tanya Anna balik?”

”Anna, jawab soalan tok. Anna tak bencikan Qayyum, kan?”

Aku membatu. Aku tidak mampu menggeleng, apa lagi mengangguk. Aku tidak boleh mengatakan aku benci, kerana aku tidak pernah diajar atau belajar untuk membenci.

”Benci seorang isteri tak akan ke mana. Merajuk sikit-sikit sudahlah. Tak usah menyiksa suami tu, kesian dia tinggal sorang-sorang”

”Tok memang sengaja nak ubah topik, kan? Tok, Anna tak akan bahagia kalau hidup dengan dia”

”Mana Anna tahu tak akan bahagia? Anna dah pernah tinggal dengan Qayyum? Pernah sebumbung dengan dia?”, aku menggeleng perlahan menjawab soalan tok.

”Anna tak mahu buka pintu hati untuk kenal siapa Qayyum. Anna hanya menghukum tanpa membuat pertimbangan yang wajar. Adilkah begitu?”, aku terkedu. Berlegar di mindaku ayat dari surah An-Nisa;

Jadilah kamu penegak keadilan” (An-Nisa: 135)

Mulutku membisu. Semuanya berbalik kepada aku kembali. Oh, mengapa begini?

            Beberapa hari kemudian, Qayyum datang ke rumah tok. Katanya hendak melawat tok dan wan, entah benar entah tidak. Dia ini tidak habis-habis mengekori aku. Siapa dia hendak mengambil tahu urusan aku? Sibuk sahaja!

Pada mulanya, aku memang mahu mengunci diri di dalam bilik sahaja. Namun apa kan daya bila tok campur tangan. Tok terus mendesak aku untuk bertemu dengan Qayyum. Hujahnya sama seperti abah sewaktu Qayyum hendak datang ke rumah suatu masa dahulu :

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan wajah yang masam melebihi cuka, aku keluar juga ’meraikan tetamu kehormat’ itu.

”Ada apa datang sini? Dah tak ada kerja lain ke? Atau dah menganggur?”, sinis pertanyaanku.

”Qayyum datang sini pun ada kerja; nak melawat tok dan wan. Tujuan sebenarnya nak bawa isteri Qayyum balik. Entah dia nak ikut ke tak”. Dia membuang pandang ke halaman rumah tok, melewati setiap genap penjuru yang redup dengan kehijauan pepohon.

Wah, pandainya dia menyindir. ”Isteri Qayyum tak ada di sini. Ini rumah tok Anna, kenapa datang sini cari dia? Kenapa tak cari sahaja di rumah dia?”

”Oh, isteri Qayyum memang tinggal di rumah  ni buat sementara. Dia lari dari Qayyum sebab tak dapat terima hakikat. Itu yang dia bersembunyi ni. Sebab itulah Qayyum nak bawa dia balik tinggal dengan Qayyum”

Aku mencebik. ”Siapa nama isteri Qayyum tu, mari Anna panggilkan dia. Kalau dia tak mahu ikut balik, Qayyum kena tinggalkan rumah ni, faham?”

”Anna. Nama isteri Qayyum, Raihanna Sufiyyah. Qayyum nak juga bawa dia balik! Dia kena ikut Qayyum balik!”

”Anna tak nak ikut Qayyum!”, aku sudah separuh menjerit.

”Laa, ingatkan tadi tak mahu mengaku dia isteri kita. Sedar juga ya, Anna tu masih isteri Qayyum”, dia seperti memerli aku.

Aduh aku terperangkap dalam kata-kataku sendiri. Untuk menymbunyikan rasa malu, aku segera berlalu dari situ.

”Sudahlah, Anna nak pergi dapur. Malaslah layan Qayyum”

Sebetulnya, aku melencong ke bilik. Ah, malunya! Aku malu dengan dia!

Dari jauh Qayyum berkata,”Lain kali tak usahlah bersarung kaki bagai, macamlah Qayyum ni lelaki ajnabi”

”Biarlah, diri Anna. Bukan Qayyum dapat susah pun”

”Ya lah, diri Anna, isteri Qayyum juga. Suami ada hak ke atas aurat isterinya. Bukan begitu?”


Ah, dia ini ada sahaja hujahnya hendak mengenakan aku.

Comments

Popular Posts