Halawatul Iman bab 3 & 4

Assalamualaikum..

Sambungan cerita..

3
            Kedinginan percikan air mengejutkan aku dari tidur yang sementara. ”Allahu Akbar”, ucapan pertama yang terlahir dari bibirku. Aku memandang sekeliling. Imej pertama yang terakam oleh bebola mataku adalah umi. Wajah bersih umi basah dengan air mata. Sayu memandangku.

            Tanpa memandang orang lain, aku menerpa ke arah umi. Aku peluk umi seeratnya. Kehangatan kasihnya mententeramkan jiwaku yang kusut.

”Umi, maafkan Anna. Anna tak salah! Dia orang tuduh Anna yang bukan-bukan. Anna tak salah”, laju bibirku menuturkannya. Lama baru umi membalas pelukanku. Mungkin mencari kekuatan setelah menghadapi situasi yang meluluhkan hati sesiapa jua.

”Umi sayang anak umi”, hanya itu ucapan umi.

”Umi percayakan Anna, kan?”, aku merenung jauh ke dalam anak mata umi.

”Umi...”, aku kembali ke dakapan umi.

            Sejeda kemudian, abah muncul. Ada seorang lelaki mengekori langkahnya. Aku segera mendapatkan abah. Tangan abah aku cium dengan air mata bercucuran. Kemudian, aku peluk pula abah.

”Abah, maafkan Anna”, abah mengusap-usap kepalaku yang masih bertudung. Aku pandang mata abah dengan penuh mengharap. Jelas terpancar sifat melindungi seorang bapa kepada anaknya. Walaupun begitu, sinar kepercayaan tetap tiada dalam mata abah, sama seperti umi. Abah masih kelihatan sugul.

”Anna, ni Qayyum. Anna amanah Qayyum sekarang”, abah menarik lengan lelaki tadi agar menghampiri.

            Faham akan maksud abah, aku memandangnya sekilas. Wajah bersihnya tidak mampu memadamkan api kemarahan yang sedang marak. Kakiku berundur ke belakang sehingga bertemu dinding. Aku melurut ke bawah. Lantas aku memeluk lututku dengan badan yang menggigil. Bukan menggigil ketakutan, tetapi kerana menahan amarah yang terlalu dan sukar untuk diterjemahkan oleh lisan.


”Umi, suruh dia keluar dari bilik Anna”. Aku cuba mengawal suara. Melihat dirinya yang masih teragak-agak, aku sudah tidak dapat menahan perasaan. Aku menjerit seperti orang yang tidak waras. Ketika ini, mindaku sudah tidak dapat berfikir dengan jelas, hanya bertindak mengikut perasaan.

Bukanlah kuat itu orang yang dapat mengalahkan musuh, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat mengawal diri ketika marah” (Muttafaqun alaih)

”Keluar! Keluar dari bilik Anna! Anna tak nak tengok dia lagi! Pergi! Pergi dari bilik Anna!”. Umi memeluk tubuhku sambil menenangkan aku. Qayyum melangkah keluar dipimpin oleh abah.

”Anna, berdosa tinggikan suara pada suami. Qayyum sekarang suami Anna. Dia menantu umi, bukan orang asing lagi”

Aku meraung semakin kuat apabila mendengar kata-kata umi. Bagaimana harus aku akui bahawa aku sudah bergelar  isteri pada saat umurku baru mencecah 18 tahun?

”Dia nikahi Anna dengan cara yang Anna tak boleh terima! Anna tak boleh terima!”, rintihan yang hanya bergema perit dalam diriku. Oh hati, bersabarlah..

            Keputusan SPM diumumkan setelah seminggu kejadian itu berlalu. Aku tidak dapat ke sekolah lantaran kesihatan mentalku yang kurang stabil. Jadi, abah mewakili aku untuk menerima slip keputusan tersebut. Alhamdulillah, keputusan yang aku terima melayakkan aku untuk mendapat tawaran pengajian dari luar negara.

            Aku nekad untuk pergi. Keputusanku muktamad. Biarlah aku pergi membawa diri ke negeri orang lantaran sakitnya menanggung peristiwa duka itu. Bagaimana pula dengan keizinan suami? Apakah Qayyum membenarkan aku pergi? Ah, sakit hatiku mengenangkan dia. Lelaki yang telah memperjudikan maruahku. Walau apapun alasannya menikahi aku, aku tidak akan menerimanya. Tidak sama sekali!

            Soal keizinan, umi telah mendapatkannya daripada Qayyum. Mujurlah, dia mengizinkan, kalau tidak, semakin parah luka di hatiku. Aku tidak pernah bertemunya sejak peristiwa itu. Aku  memang tidak mahu sebenarnya, mendengar suaranya pun aku rasakan bagai ada panah beracun menusuk jantungku.

            Sebelum aku berangkat ke luar negara, aku ada menerima satu bungkusan hadiah. Entah dari siapa, aku hanya berkesempatan membukanya setelah sebulan menetap di sana. Pada petang yang damai itu, entah mengapa aku teringat akan bungkusan kecil itu. Setelah mengoyakkan pembalut dan membuka kotak hadiah, terpandang aku akan sepasang anting-anting yang kecil molek tapi cantik pada mataku. Cantik sangat! Di sisinya terselit sekeping nota.

”Aku Mencintaimu kerana Cintaku pada Penciptamu”, demikianlah isi kandungan nota itu. Hairan. Siapa pula yang sudi menghantar bungkusan berupa anting-anting ini? Lagi pula, beraninya dia mengaitkan cintanya padaku dengan cinta Allah! Ini cinta nafsu, bukan cinta yang berlandaskan syariat! Sudahlah tiada nama pengirim!

            Ya Rahim, kurniakanlah petunjuk pada si pengirim ini agar dia tetap menjaga batas syariat yang telah Engkau tetapkan. Kurniakanlah kepadanya kesedaran agar dia tahu bahawa perbuatannya ini adalah sebahagian daripada zina yang mengundang kemurkaanMu. Sedarkanlah dia bahawa di antara kami tiada hubungan yang halal. Perkenankanlah permohonanku ini, Ya Rabbul Karim!

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka merekalah orang yang rugi” (Al-A’raf:178)

”Sesungguhnya engkau tidak boleh memberi hidayat kepada sesiapa yang engkau sayangi, sebaliknya Allah boleh memberi hidayat kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki” (Al-Qasas:56)

            Sememangnya aku tiadak selesa akan perbuatan si pengirim ini. Namun, aku akan menghargai pemberiannya dengan menyimpan hadiah ini. Tak kan lah hendak buang pula, bukannya barang tersebut memudaratkan pun. Lagipun, insyaAllah pasti tidak akan timbul fitnah di hatiku lantaran aku sudah menjadi amanah orang. Amanah orang?

4

Ya, amanah yang harus dipikul seorang suami ke atas isterinya. Ah, aku tidak tenang memikirkan keadaanku. Kenapa semua perkara harus berkait dengan ’dia’?
    
            Aku berdendam dengan Qayyum; lelaki yang aku anggap telah merendahkan maruahku. Semakin hari dendamku semakin menebal. Dan kerana dendam itulah aku telah berjaya menamatkan pengajianku dalam peringkat phD dalam bidang psikologi. Hatiku agak puas walaupun aku merasakan banyak perkara yang tidak kena.

            Kadang-kadang aku terfikir sendiri, apakah keputusan aku meninggalkan Qayyum mempunyai kebaikan untukku? Tentang statusku, apakah aku masih isteri orang? Entah mengapa aku rasa amat bersalah terhadap Qayyum. Aku rasa amat berdosa. Aku tahu, nusyuz bagi seseorang isteri yang meninggalkan suaminya, tapi aku... Aku sering menafikan tentang hal itu, tentang hal yang membuatkan aku berasa lebih bersalah dan berdosa. Mungkin aku pentingkan diri, tapi... argh!

            Aku rasa diriku telah melanggar syariat Allah yang satu itu; mentaati suami. Tapi aku... Waktu itu... Aku.. Aku.. Argh! Aku bingung! Aku berat mengatakan aku masih isteri ’dia’, tapi bagaimana? Seandainya benar aku masih isteri ’dia’, gulp! Apa yang perlu aku lakukan? Larikan diri seperti dahulu? Minta cerai? Terima ’dia’? Oh, tidak! Bagaimana ini?

            Aku akan terus menafikan kata hatiku. Biarlah aku berperang dengan diriku sendiri sehingga kebenaran terungkap. Untuk mengiakan pernyataan hati, aku.. Entahlah, kalau itu yang terbaik, aku perlu redha. Bukankah redha Ilahi itu yang didambakan setiap hambaNya?
  
            Setelah 7 tahun berkelana di negara orang, akhirnya aku berpeluang menjejakkan kaki di tanah air. Rindunya aku pada tanah tumpah darahku ini! Rindunya aku pada keluarga tersayang! Rindunya aku pada tok dan wan di kampung!

            Sejak pulang dari luar negara, aku menetap dengan tok dan wan. Kehadiran aku insyaAllah dapat meringankan sedikit kesusahan mereka dalam menguruskan diri mereka yang sudah dimamah usia. Umi dan abah selalu menjenguk mereka setiap dua minggu sekali. Tambahan lagi, abah sering menelefon mereka hampir setiap malam untuk bertanyakan khabar. Bukan abah tidak pernah mengajak mereka berdua tinggal bersama, tetapi ada sahaja alasan tok atau wan untuk menolak. Katanya, tidak sesuai tinggal di bandar lah, lebih selesa di kampung lah, bimbang tiada orang menjaga kebun dan binatang ternakan lah, dan macam-macam lagi alasan. Kalau sudah tak hendak tu, pujuk macam mana pun memang tak hendak  juga.

            Rumah tok memang berada di kawasan kampung. Tapi bagiku, rumah tok agak besar, seperti rumah-rumah kampung yang lain yang boleh dikatakan moden. Kasihan, mereka berdua sahaja yang menghuni rumah itu. Selain itu, tok sering memberikan aku wang saku hasil titik peluh mereka mengerjakan kebun dan sebagainya sewaktu aku masih kecil hinggalah sekarang. Walaupun kini aku berat hati untuk menerima wang tersebut, aku termakan juga dengan pujukan tok.

            Tok dan wan memang baik hati. Sayang sungguh aku pada mereka berdua. Yang pasti, sejak belajar di luar negara dan sepanjang menetap dengan mereka untuk sementara ini, wang yang aku terima tidak pernah putus. Setiap bulan, RM 250 akan dimasukkan ke dalam akaun simpananku. Wow! Bagiku jumlah itu sudah cukup banyak. Tok kata wang itu memang hak aku. Alhamdulillah, rezekiNya amat melimpah ruah ke atas hamba-hambaNya.

            Aku gembira dengan kehidupanku sekarang. Rasanya aku lebih tenang, jauh lebih tenang daripada sepanjang 7 tahun dahulu. Biarlah kisah duka itu terkubur dalam lipatan sejarah hidupku. Tak perlulah diungkit lagi.

            Qayyum? Agaknya dia sedang bahagia bersama isteri dan anak-anaknya setelah aku tinggalkannya dahulu. Atau mungkin aku sudah diceraikannya. Suami mana yang sanggup berputih mata membiarkan isterinya pergi dan sanggup menunggu bertahun-tahun? Ah, kebanyakan lelaki memang begitu, dasar egois! Benar, berdosanya aku meninggalkan dia, namun lara hatiku mengatasi rasa bersalahku.

            Kelakar juga apabila menyedari aku langsung tidak tahu akan latar belakang Qayyum. Apa pekerjaannya? Di mana dia tinggal? Siapa keluarganya? Satu-satunya informasi yang aku tahu, nama timangannya; Qayyum. Nama penuhnya pun aku tidak tahu! Ah, biarlah. Semua itu sudah tidak penting lagi. Aku kini bebas. Aku bebas daripada  tanggungjawab sebagai isterinya. Walaupun hatiku memberontak, aku tetap menafikannya. Ah, diamlah hati!

            Suatu petang, aku meneguhkan hati untuk ke Perpustakaan Besar Negeri; tempat di mana memori pahit hidupku terakam. Dari luar, kelihatan perpustakaan itu semakin tesergam indah. Dicat dengan warna yang menarik, dihias dengan sudut-sudut yang baru serta banyak tumbuhan dan pokok-pokok yang melatari perpustakaan itu.

            Aku menjengah ke dalam, suasananya tetap sama. Senyap daripada suara-suara yang mengganggu, buku-buku tersusun rapi di rak, dan nyaman penghawa dingin menyapa setiap tubuh di sini. Segalanya adalah sama.

            Aku ’melawat’ dari satu rak ke rak yang lain. Buku-buku telah bertambah. Lebih banyak ruangan informasi disediakan. Ya Allah, rindunya aku pada suasana ini!

            Aku melangkah ke rak yang tersusun novel-novel. Setelah meneliti tajuk-tajuknya, aku memilih sebuah novel yang menarik minatku. Kemudian, aku duduk di meja yang telah dikhaskan untuk wanita dan memulakan pembacaanku.

            Setelah hampir satu per enam novel itu aku hayati, datang seseorang menyapaku lantas mengganggu konsentrasiku untuk meneruskan bacaan.

”Assalamualaikum”, sapa seseorang.    

”Waalaikumsalam”, aku mengangkat wajah untuk memandang siapa yang menegurku dengan sebaris senyuman aku hadiahkan untuknya.

Melihatkan wajah bersihnya, senyumanku mati. Tidak mungkin aku lupa empunya wajah yang meragut keceriaanku suatu waktu dahulu.

”Anna apa khabar? Sihat? Umi dan abah bagaimana?”, lancar pertanyaannya. Kelihatan dia amat ceria.

”Sihat. Umi dan abah pun baik-baik sahaja”. Mendatar sahaja suaraku. Malas aku mahu melayani dia. Aku berpaling ke arah lain. Di samping itu, terfikir juga aku akan cara dia membahasakan umi dan abah, kenapa tidak digantikan sahaja dengan ungkapan ’mak cik’ dan ’pak cik’? Dia bukan siapa-siapa lagi dalam keluargaku. Ah, biarlah, tidak begitu penting pun.

            Belum sempat dia meneruskan bicara, aku meminta diri untuk pulang. Aku memang berniat untuk ’melarikan diri’ daripadanya. Buku di tangan segera aku letakkan di tempat yang disediakan. Kakiku pantas melangkah untuk keluar meningalkan perpustakaan itu,terutamanya untuk melepaskan diri daripada Qayyum.

Setibanya aku di kereta, Qayyyum memanggilku. Dengan pandangan penuh rasa jengkel, aku menoleh ke arahnya.

”Jom pergi minum dulu, sambil tu boleh sembang-sembang”, ajaknya.

”Maaflah, Anna nak balik, dah lewat petang ni”, aku cuba berlembut kata. Aku terus masuk ke tempat duduk pemandu, menghidupkan enjin kereta dan bersedia untuk bergerak. Kemudian, cermin pintu kereta diketuk orang; Qayyum. Aku menurunkan cermin.

”Boleh Qayyum datang rumah esok?”, tanya ’dia’.

”Untuk apa?”, dahiku sudah berkerut.

”Saja nak melawat umi, nak jenguk abah. Anna tak izinkan ke? Sambil-sambil tu, Qayyum nak bawa mak dan abah sekali”


Aku mengeluh. ”Hmm, datanglah”. Dengan nada yang ’malas nak layan’, aku menaikkan kembali cermin kereta. Dia tersenyum puas. 

Comments

Popular Posts