Halawatul Iman Bab 1 & 2
Assalamualaikum..
Oleh sebab segan nak menaip lagi, saya mempersembahkan kepada anda karya not-so-perfect saya untuk bacaan anda.. Nikmatilah hidangan ini.. Ni karya je tahu!
HALAWATUL IMAN
1
“Lelaki yang baik
untuk perempuan yang baik..”, demikianlah janji Allah untuk hambaNya yang
soleh. Aku berpegang teguh pada janji itu. Tugas untuk men’solehah’kan diri cuba
aku laksanakan sebaik mungkin. Biarpun aku sedar tahap solehah itu terlalu tinggi
untuk aku capai, namun usahaku tetap membara. Aku yakin, Allah akan tetap
menilai usaha gigih hamba-hambaNya.
Setiap
hari, aku kuatkan iltizam. Mengikat diri agar tetap utuh di landasanNya. Aku
didik hati untuk sabar menerima ujian dariNya. Solehah itu tinggi nilainya.
Untuk menjadi solehah, hati perlu teguh. Iman harus kukuh. Batas syariat wajib
dijaga setegasnya.
Amanah yang
dipikul harus dilaksanakan sebaik mungkin. Amanah sebagai anak, pelajar, dan
apa sahaja tanggungjawab yang diamanahkan, wajib ditunaikan. Justeru, untuk
menerima amanah baru, misalnya sebagai seorang isteri, perlu difikirkan dahulu
tanggungjawab yang sedia terpikul sudah dilaksanakan sebaik mungkin atau belum?
Jika belum, tidak layak untuk seseorang itu menerima amanah baru. Ibarat
menanggung kayu balak yang amat berat, lalu ditambah lagi sebatang kayu balak,
tidakkah bertambah beban? Lagi pula, bagaimana harus dijawab di hadapan Allah
jika disoal tentang tanggungjawab yang bertimbun-timbun itu di akhirat nanti?
Tidakkah perbuatan tersebut boleh diklasifikasikan sebagai sengaja menambah
beban sedangkan amanah yang sedia ada belum terlaksana sepenuhnya?
“Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya akan disoal pada hari akhirat
kelak” (Al-Isra’:36)
Hujah-hujah
tersebut menjadi peringatan utuk diri yang sering terkejar-kejar dan selalu
keliru dengan permainan dunia dan nafsu remaja yang kian bergelora. Hujah yang
cukup kukuh untuk dijadikan benteng dalam memerangi keindahan dunia yang palsu.
Aku akui sesungguhnya di zaman ber’darah muda’ inilah, ujian datang
bertimpa-timpa. Dikaburi dengan kenikmatan dunia, mudah sahaja terjebak ke
lembah hina. Na’uzubillah! Hakikatnya aku belum bersedia untuk memikul amanah
baru sebagai personal asistance seorang
suami.
Oleh itu,
untuk memperoleh yang baik, perlulah menjadi yang terbaik. Jika mengidamkan
pasangan yang soleh, wajiblah menjadi seorang solehah. Bukankah indah
pengaturanNya? Begitu juga yang diterjemah oleh hukum karma dan takdir. Jika
berbuat baik, maka kebaikanlah balasannya. Jika mahukan si ‘dia’ yang beradab
mahmudah, hendaklah diri menjauhi sifat mazmumah.
“Kita cuma ada
sekeping hati, sekeping lagi kena cari. Betul tak?”, sebaris ayat yang sering
diungkapkan oleh guru subjek Sejarah di sekolahku. Walaupun aku kurang pasti
apa kaitan antara subjek Sejarah dengan soal hati, sebaris ayat itu masih
terngiang-ngiang di gegendang telingaku. Aku tersenyum sendiri.
Bukan mudah mendidik hati untuk
sentiasa ingat pada Allah. Bukan senang melatih diri bernafas dalam jiwa hamba.
Menjadi hamba kepada Raja yang tiada bandingnya. Sukar bukan? Ya, amat sukar
jika tidak didorong dengan Iman dan kerendahan hati.
Gadis yang belum cukup matang sering
keliru dengan cinta hakiki dan cinta palsu. Tanpa bimbingan yang sepatutnya,
mudah sahaja diri diserahkan, menjadi hamba kepada nafsu seperti lembu ditarik
hidung dan mengheret diri ke lembah hina tanpa sedar. Na’uzubillah!
Mujurlah diriku dibiasakan dengan
ketinggian nilai agama. Tabik hormat aku hadiahkan kepada setiap insan yang
berusaha mencorakkan diriku menjadi insan solehah yang boleh berbakti kepada
masyarakat dan insyaAllah kepada agama Islam khasnya.
Aku juga seorang gadis, tidak
terlepas daripada godaan-godaan nafsu remaja yang mengghairahkan. Payah
sesungguhnya mengawal diri dari terjebak dalam kancah zina. Nakal juga mata ini
memandang yang tidak sepatutnya. Gatal pula hati ini kerana tercuit dengan
bisikan nafsu yang tiada pengakhirannya.
Berkhidmat sebagai seorang
pustakawan, pasti bertemu dengan ramai orang. Bak kata pepatah, ”banyak udang,
banyak garam; banyak orang, banyak ragam”. Sejujurnya aku ikhlas berkhidmat di
perpustakaan, dikelilingi oleh buku-buku boleh diibaratkan seperti berada di
tengah-tengah lautan ilmu. Girang hatiku setiap kali melangkah ke medan ilmu
itu. Walaupun sebahagian besar daripada pekerjaanku adalah menyusun semula
buku-buku ke raknya mengikut nombor pengenalan yang ditetapkan, aku tetap
seronok biarpun ’wajib’ menghafal setiap rak yang telah diklasifikasikan demi
mengelakkan ’kesalahletakan’ buku. Jika dihitung, terdapat kira-kira 56 buah rak di perpustakaan itu.
Walaupun terpaksa berlenguh kaki dan
tangan berjalan ke sana ke mari membimbit buku-buku untuk diletakkan di rak
yang sepatutnya, wajahku tetap mengukir senyuman biarpun jam sudah menunjukkan
angka 6 petang. Tidak penatkah bekerja hampir seharian? Ada pula yang
berkata,”Lecehlah kerja sebagai pustakawan”. Sebenarnya tidak juga, seperti
bekerja di pejabat, sentiasa berada dalam keadaan berpenghawa dingin, begitulah
juga pustakawan. Seronok bukan?
Oh, terlupa pula! Aku hanya bekerja
sambilan di perpustakaan sementara menunggu keputusan SPM diumumkan. Mak Mah;
ibu saudara merangkap teman dan mesra yang mencadangkan pekerjaan ini.
Sememangnya beliau memahami naluri ’pustakawan’ yang telah tersemat teguh dalam
diri anak saudaranya ini yang sudah 4 tahun menjawat jawatan ’pengawas pusat
sumber’ di sekolah. Sebetulnya, Mak Mah juga seorang pustakawan di
perpustakaan tempat aku berkhidmat;
Perpustakaan Besar Negeri. Kehadiranku adalah sebagai pengganti salah seorang
pustakawan yang telah bercuti bersalin. Ada juga peluangku untuk meneruskan
khidmat di perpustakaan. Alhamdulillah!
Hariku bermula dengan kedinginan sepertiga malam. Rutin
harian yang diamalkan sejak awal tahun di Tingkatan 4, berqiamullail dan
menghadap diri kepadaNya di tikar sujud. Saat kebanyakan makhluk diulit lena,
aku ijtihad untuk menganyam cinta dan rinduku padaNya. Dalam sujudku yang
panjang, aku titipkan sebanyak-banyak doa dan keinginanku dalam solat hajat
yang aku tunaikan.
Firman Allah:
Dan TuhanMu berfirman: ”Berdoalah kepadaKu,
nescaya akanKu perkenankan bagimu..” (Al-Ghafir:60)
Antara doa dan hasratku itu, aku
minta dikurniakan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Tidak lupa juga mendoakan
kecemerlanganku dalam SPM. Dan antara doa yang banyak itu, aku mohon
dikurniakan pasangan yang soleh yang dapat membimbing aku ke arah cinta
Penciptanya. Wajar bagi setiap Muslim berdoa agar dianugerahkan pasangan yang
baik dan soleh untuk kebaikan dirinya, keluarga serta pembangunan negara amnya.
Dalam hal ini, aku tidak merasakan
diriku terlalu gatal untuk bersuami, bahkan aku bersyukur kerana dikurniakan
kesedaran sebegini. Dengan kesedaran tersebut, aku akan berusaha untuk
memelihara kehormatanku supaya tidak tercemar dengan maksiat dan zina. Aku
akui, setiap manusia tidak terlepas dari dosa. Tapi perlukah fitrah itu
dijadikan alasan untuk melakukan dosa sewenang-wenangnya?
Tahap solehah tidak mungkin dapat
dicapai oleh wanita yang biasa-biasa. Solehah itu gelaran serta anugerah untuk
mereka yang luar biasa. Siapakah mereka yang luar biasa itu? Mereka adalah
golongan yang sentiasa meletakkan Allah mendahului semua perkara. Bagaimana? Aku
yakin sesiapa yang menginginkan kebenaran pasti akan berusaha mencarinya. Yang
pasti, aku mahu mencapai tahap solehah itu.
Dalam keheningan malam, aku merasai
ketenangan daripada Penciptaku. Butir jernih yang merembes dari kelopak mataku
menyaksikan betapa hinanya aku sebagai hambaNya. Seringkali aku terleka dari mengingatinya.
Astaghfirullah! Ampunkan aku ya Ghaffur!
”Orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan
tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata, ”Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka
peliharalah kami dari azab neraka” (Ali-Imran:191)
Selalunya aku akan menghafaz Al-Quran sementara
menunggu azan Subuh berkumandang. Janji Allah bahawa sesiapa yang menghafaz
seluruh atau sebahagian Al-Quran, jasadnya tidak akan dimamah bumi, aku genggam
seeratnya. Sesungguhnya aku mahu menjadi hamba bertakwa yang dikasihiNya.
InsyaAllah...
”Al Quran adalah sajian Allah, oleh itu
terimalah sajiannya sekadar yang kamu boleh” (riwayat Al-Hakim daripada Ibn
Mas’ud)
”Dan Al Quran adalah kitab suci yang kami
turunkan yang diberkati, maka ikutlah ia dan bertakwalah semoga kamu diberi
rahmat” (Al-An’am:155)
”Lengkapkanlah dirimu dengan bekalan hidup.
Sesungguhnya sebaik-baik bekalan hidup adalah takwa” (Al-Baqarah:197)
Ketika tangan menguak pintu perpustakaan, entah
mengapa perasaanku tidak setenteram selalu. Entah firasat tidak enak menyerbu
hatiku. Aku beristighfar beberapa kali menenangkan diri. Mungkin syaitan
sengaja membuat gundah di hati. Aku berdoa supaya dijauhkan segala bala dan
musibah.
Doa menghadapi
musibah:
”Aku berlindung denganMu daripada dikurangkan
nikmat dan kesihatan serta aku berlindung daripada seksaanMu dan segala
kemurkaanMu”
Allah ada
berfirman:
”Kami akan menguji kamu dengan sesuatu yang
terdiri daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan jiwa
dan buah-buahan, dan khabarkanlah berita gembira kepada orang yang bersabar”
(Al-Baqarah: 155)
Jelas menunjukkan
musibah itu diturunkan untuk menguji hambaNya. Semoga aku tergolong dalam
kalangan orang-orang yang sabar.
2
Sepanjang hari
tersebut, dari pagi hinggalah ke malam, alhamdulillah tiada musibah menimpa.
Jam sudah menunjukkan angka 5.30 petang, lagi 30 minit perpustakaan akan
ditutup. Hanya seorang pelanggan yang setia di sudut meja, kelihatannya begitu
sibuk mencari bahan dari buku-buku yang bertimbun di hadapannya. Rasanya sejak
pagi lagi dia berada di perpustakaan, cuma pada waktu azan zohor kelibatnya
tidak kelihatan. Lebih kurang 20 minit kemudian, pemuda itu muncul semula.
Mungkin ke masjid barangkali, kopiah di kepalanya menguatkan lagi tanggapanku. Mengapa
tidak solat di surau perpustakaan sahaja, kan lebih dekat? Agaknya hendak
mengejar jemaah. Subhanallah! Elok benar pekertinya.
Aduh, mengantuknya aku petang ini.
Berat terasa kelopak mataku. Aku menguap kecil. Aku teringat akan Mak Mah yang
tergesa-gesa hendak pulang. Entah urusan apa yang begitu penting hendak
diuruskannya. Tinggallah aku keseorangan. Tambahan lagi, pengawal yang
sepatutnya berjaga untuk waktu ini entah ke mana pula. Tadi rasanya beliau
sedang tercongok di hadapan pintu utama, sekarang tidak kelihatan pula. Mungkin
beliau berada di sekitar perpustakaan ini memeriksa keadaan. Siapa tahu? Cuma
tidak kelihatan di mata yang mengantuk ini sahaja.
Tanganku disilangkan di atas meja
kaunter, biarlah aku lelap seketika. Nanti apabila jam di dinding berbunyi, pasti aku akan terjaga. Sebagai
langkah waspada, alarm di telefon
bimbit turut aku setkan. Pandanganku mulai kabur perlahan-lahan saat kepalaku
diletakkan di atas tangan yang menjadi alas sebagai bantal. Tidurku yang pada
awalnya tidur-tidur ayam itu beransur nyenyak.
Aku terjaga apabila ada suara
memanggil.
”Cik, cik.
Bangun, cik”, aku terpisat-pisat apabila cahaya lampu menembusi kornea mataku.
Pemuda itu, dia membangunkan aku. Dalam kepayahan membuka mata, aku dapat
melihat wajah pemuda berkopiah itu tegak di hadapan kaunter. Aku malu sendiri,
malu teramat. Pasti tidak manis seorang gadis tidur dan dilihat pula oleh
seorang pemuda. Tidak pula aku terfikir akan hal ini sebelum aku tidur tadi.
”Sekarang dah
pukul 7.15 petang, cik”, katanya. Aku membeliakkan mata melihat jam di tangan. Allahu Akbar! Astaghfirullah!
Sudah lebih dari waktu operasi sekarang ini!
”Assalamualaikum”,
aku segera menoleh pada empunya suara yang memberi salam. Beberapa orang lelaki
lengkap berkopiah dan bersongkok tercegat di pintu perpustakaan. Siapa mereka?
”Saya wakil dari
Jabatan Pencegahan Maksiat. Kami menerima laporan bahawa anda berdua berada
dalam keadaan mencurigakan serta didapati berkelakuan sumbang”.
Astaghfirullah al-Azim! Aku
menggeletar, wajahku pucat lesi. Aku memandang mereka seorang demi seorang dengan pandangan yang tidak dapat
aku tafsirkan. Yang pasti badanku menggigil.
”Maaf tuan
sekalian, kami di perpustakaan, di tempat umum. Bukan tempat terpencil atau
tersorok. Bagaimana kami boleh disabitkan dengan kesalahan berkelakuan
mencurigakan?”, tegasku membela diri dalam keringat dingin. Akal logikku
membentangkan hujah.
”Encik dan cik
boleh didakwa berkelakuan mencurigakan kerana hanya anda berdua sahaja yang
berada di sini, walaupun ini tempat umum. Tambahan lagi, waktu operasi sudah
tamat, namun anda masih di sini pada waktu senja sebegini. Bukti juga menyokong
dakwaan terhadap anda berdua. Lagipun, tiada saksi yang dapat menyangkal
dakwaan” seiring itu, pancaran lensa kamera menyilaukan mata dengan cahaya
terangnya.
Aku berkalih pula pada pemuda itu.
Dia tunduk. Mulutnya bagaikan terkunci. Tiada sepatah pun bicaranya untuk
menyangkal dakwaan para pegawai itu. Ya
akhi, takallam! Berkatalah apa jua untuk membela dirimu dan diriku!
”Saya minta encik
dan cik ikut kami ke balai”, kata pegawai itu lagi.
Aku memandang
pegawai itu. ”Maafkan kami encik, kami tidak bersalah. Semua ini salah faham
sahaja”. Aku mengumpul seberapa banyak kekuatan untuk menuturkan ayat itu. Aku
cuba bertenang, namun ketenangan itu mustahil untuk hadir dalam situasi genting
sebegini.
Dari celah-celah
pegawai itu, muncul abah. Sugul sekali wajahnya.
”Anna, salah
faham atau tidak, abah rasa lebih baik selesaikan masalah ni dengan...
perkahwinan, demi menjaga maruah kedua-dua pihak keluarga”. Duniaku kosong saat
mendengar kata-kata abah. Allahu Akbar! DugaanMu ini terasa sungguh berat untuk
hamba tanggung, Ya Rahim!
”Encik, kami
benar-benar tidak melakukan maksiat. Semua ini hanya salah faham”, terkumat
kamit pemuda itu menuturkannya namun tiada kesungguhan. Percakapannya seperti
mengiakan dakwaan pegawai itu.
Aku sudah kematian punca. Aku tidak
mampu lagi berfikir. Mendengarkan pernyataan abah itu membuatkan diriku
tenggelam segalanya. Bibirku tidak berdaya mengucapkan apa-apa apatah lagi
untuk mempertahankan diriku. Lututku lemah, berdiri pun rasanya tiada upaya.
Mak Mah yang menyaksikan kejadian
itu menuntun aku ke suatu sudut. Aku dipeluk erat oleh Mak Mah.
”Anna tak salah.
Anna tak buat apa yang dia orang tuduh Anna. Mak Mah percayakan Anna, kan?”,
esakku di bahu mak Mah.
”Anna, terimalah
cadangan abah. Demi kebaikan keluarga kita juga. Tolong, ya”, Mak Mah
mengusap-usap aku.
”Mak Mah tak
percayakan Anna?”, aku meleraikan pelukan. Mataku merah disirami air mata.
Mungkinkah saat ini kepercayaan terhadapku sudah hilang?
”Anna terima ya,
cadangan abah”, lembut suara yang
digenangi titisan jernih itu memujuk aku.
”Mak Mah sanggup
lihat Anna serahkan maruah Anna pada orang yang Anna tak kenal pun siapa
namanya? Mak Mah rela lihat Anna menderita? Bukan pernikahan sebegini yang Anna
mahukan. Anna belum pun terima keputusan SPM, tiba-tiba dah nak kahwin? Mak
Mah, ini berkaitan maruah Anna. Maruah Anna!”, aku tidak dapat mengawal
perasaan. Namun ini mungkin peluang terakhir untukku.
”Demi maruah Anna
dan maruah keluarga lah, Anna kena terima perkahwinan ni”, aku terkedu. Suasana
sejuk berpenghawa dingin tidak mampu menyejukkan perasaanku. Oh Tuhan, apakah
ini yang terbaik buat hamba?
”Iman itu kamu percaya kepada Allah,
malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat, dan kamu percaya pada qadak
dan qadarnya sama ada baik atau buruk” (riwayat Muslim)
Tangisku semakin teresak-esak saat
ijab qabul dilafazkan. Bukan
ini perkahwinan yang aku mahu. Bukan dalam keadaan sebegini! Aku mendambakan
pendamping yang soleh, namun beginikah caranya? Aku mengharapkan rumah tangga
yang sentiasa disirami mawaddah dan rahmah, tetapi beginikah permulaannya?
Kepada lelaki itukah akan aku serahkan maruah yang aku pagari selama ini? Aku
lupa pada firman Allah yang satu itu:
”Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap
sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)” (Al-Qamar:49)
Duniaku kelam, hanya tangis esak sendiri yang
kudengari.
”Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku
mengadu kesusahan dan kesedihanku” (Yusuf:86)
Ya Allah, jika ini yang terbaik untukku, maka
permudahkanlah. Aku pasrah. Aku menyerah.
Cukuplah untuk malam ini. Dugaan
yang hadir bak tsunami,membadai diriku yang kerdil ini. Sudahlah, aku tidah
betah lagi, aku..
Aku terjelepok le
lantai. Mak Mah menanggung kepalaku. Menampar-nampar pipiku agar aku sedar kembali. Menggoncang-goncang tubuhku
agar aku bangun semula. Biarlah. Wahai senja, bawalah kesedihanku pergi bersama
terbenamnya matahari. Sesungguhnya aku tidak kuat, aku hamba yang lemah...
”Dan
seorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disayangi oleh Allah
daripada seorang yang lemah. Dan pada setiap mereka ada kebaikan” (riwayat
Muslim)
Comments
Post a Comment