Fikrah Hamra Bab 13

Bab 13
Tok pandang Dee. Kemudian pandang Hamra pula. Silih berganti. Keningnya terjongket.
“Jemputlah masuk dulu” Tok mempelawa.
Okey. Kekok benar situasi ini.
“Tok tak mau tanya ni siapa?” Hamra membuka mulut. Risau pula tok senyap sahaja.
Tok melepaskan haba panas daripada mulutnya.
Hang ni sapa? Kawan dia ka?”
Lambat-lambat remaja itu menggeleng.
“Jadi?” Tok tak puas hati.
“Tok, Hamra jumpa dia kat masjid tadi. Nama dia Dee”
Macam kucing buangan pulak cara Hamra perkenalkan Dee. Jumpa kat masjid, terus bawa balik rumah. Aduhai...
Hamra bingkas menuju ke dapur untuk menyediakan sedikit santapan buat tetamunya. Sekadar teh panas. Cukup rasanya untuk membasahkan tekak dan menyamankan tubuh.
Pandangan tok masih kepada Dee.
“Nama penuh hang?”
“Errr...” Dee gelisah.
“Nama penuh hang sapa?” Tok seperti mendesak.
“Khadeeja. Nama saya Khadeeja, tok”
Amboi, cantiknya nama! Hamra yang turut mencuri dengar perbualan Dee dan neneknya terangguk-angguk daripada dapur. Jadi Dee seorang perempuan?
Fuh! Lega rasanya. Tidaklah Hamra menonong membawa ajnabi pulang ke rumah. Cuma perempuan yang kecelaruan identiti sahaja. Haha!
“Hang nak tidoq mana malam ni?” Tok terus dengan soalan seterusnya.
“Kejap lagi saya nak balik dah tok” Dee seperti cacing kepanasan. Tidak senang duduk lagaknya.
“Hang tidoq sini la. Lewat dah ni”
Tengok! Tok pun boleh ajak orang yang baru dia kenal tidur kat rumah.
“Eh, tak apa tok! Saya nak balik dah ni!” Dee hampir bangun daripada sofa. Tapi sempat dihalang oleh tangan tok.
Macam tak bagi Dee balik je!
“Minum la ayaq ni dulu. Kak hang dah buat ni” Hamra datang dengan menatang dulang berisi tiga cawan air teh.
“Jemput minum, Dee” Hamra pula mempelawa.
Dee teragak-agak. Sekejap pandang Hamra, sekejap tunduk.
“Awat malu-malu pulak. Ayaq teh kosong saja” Tok seakan memerli.
Perli Dee ke perli Hamra? Musykil.
Dee capai juga cawan yang dihulurkan. Sikit-sikit dia sisip air teh itu. Bila rasa panas dah kurang, dia minum macam biasa.
“Hamra, satgi hang pi ambik baju hang sehelai dua. Bagi pinjam kat Dee ni”
Hamra mengangguk. Amboi, tok buat keputusan bagi pihak Dee ka? Empunya diri pun belum setuju!
Hamra kerling pada Dee. Dia macam kelu, tak tahu nak cakap apa. Nak menolak, tentu sekali tok halang. Nak setuju, hmmm... segan la tu!
Kesian pula pada Dee. Apalah yang dia rasa. Cuba bayangkan... Tiba-tiba diheret ke rumah orang yang baru sahaja dikenali. Tup-tup dipaksa bermalam pula. Tidakkah kekok rasanya? Bagi Hamra, mungkin rasa takut itu lebih dominan. Yalah, kita masih belum kenal benar seseorang itu, tidakkah aneh diajak tidur di rumahnya? Barangkali itu juga yang Dee rasa, cuma tidak diluahkan sahaja.
Tapi, melihatkan penghuni rumah itu serasa tidak mungkin pula Dee akan diapa-apakan. Seorang nenek tua dan seorang perempuan yang tidaklah muda mana. Si nenek itu dah nampak lemah. Si perempuan itu pula nampak naif sahaja. Dee pula yang rasa kasihan kepada mereka berdua.
“Hang reti pakai kain batik dak?”
Terbatuk kuat Dee. Soalan apakah ini!
Seumur hidupnya, tidak pernah Dee menyentuh kain batik. Memakainya apatah lagi. Soal tahu memakainya atau tidak haruslah dibuang jauh. Memang tak lah!
Dee senyap. Tidak tahu hendak bereaksi bagaimana.
“Kalau tak tau, nanti kak hang ajaq” Tok terus buat konklusi.
Pening Dee macam ni! Dia dah kembali ke zaman dahulukala ke? Ada lagi orang zaman sekarang pakai kain batik? Si tok ni tak apa lah. Si ‘kakak’ itu pun sama?
Kain batik? Oh, seram bunyinya! Nyeri telinga dengar!
***
Dee dah selamat masuk ke bilik tamu. Sekarang tok dan Hamra sedang bersiap-siap hendak tidur. Memang kebiasaannya Hamra akan tidur dengan tok. Mengeratkan kasih sayang katanya. Yalah tu! Padahal terlebih manja!
“Awat tok bagi dia tidoq sini?” Persoalan yang sudah lama bermain di minda Hamra dimuntahkan pada tok.
“Awat, hang tak bagi ka?” Soal tok kembali dengan selamba.
“Dak la, tok kan baru kenai dia” Hamra hairan.
“Hang pun baru kenai dia, tup-tup bawa balik rumah teruih
Amboi tok! Macam jahat sangat ja Hamra. Macam Hamra bawak balik jantan pulak bunyinya. Hamra bawak balik perempuan tok. Perempuan! Tu pun hmmm... Bila difikirkan balik, macam jantan pun ya juga. Pakaian Dee tu... Isy! Memang tak serupa perempuan pun!
“Yalah tok” Hamra tak nak bertekak dengan tok kesayangan.
“Dak la, cuba hang cerita. Macam mana hang boleh terjumpa Khajeeda tu?” Tok mula mengorek cerita.
Hamra berfikir sejenak. Bagaimana ya hendak berpenglipur lara? Hendak mula dari mana ya? Hmmm...
“Macam ni, tok ingat dak Al-Quran Hamra yang comei tu?”
“Awat dengan Al-Quran hang? Hilang ka? Macam mana boleh terkait dengan cerita ni? Tok tanya pasai hang jumpa si Khadeeja tu, bukan pasai Al-Quran hang”
Hamra picingkan mata. “Laaa... tok sabaq sat. Hamra nak cerita la ni”
“Haaa, cerita la. Tok tengah dengaq la ni” Dari duduk melunjur kaki, tok mengubah posisi dengan mengiring menghadap Hamra.
“Tadi kat masjid...” Hamra bermuqaddimah.
“Haaa, kat masjid...” Tok mengajuk.
“Tok!” Hamra menarik muka. “Tak mau la cerita macam ni. Merajuk!” Bibir Hamra memuncung.
Tok senyum menyakat. Pipi Hamra dicubit manja. “Manjanya lah cucu tok ni, alahai... Dak aih, tok tak kata apa dah aih lepas ni. Tok dengaq Hamra cerita”
“Janji tau! Kalau tak, Hamra peluk tok kuat-kuat. Sampai tok lemas”
“Kalau tok mati macam mana?”
“Tok!” Hamra menjerit.
“Kalau tok mati nanti, Hamra baca al-Fatihah kat tok tau. Buat sembahyang sunat hadiah jangan lupa. Pastu, baca lah Al-Quran, sedekah kat tok. Kat sana nanti, tak boleh buat apa dah. Dok harap sedekah pahala daripada orang yang hidup sajalah”
Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda,
“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu): sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau doa anak yang soleh” (Riwayat Muslim)
Tok memang selamba bila bercakap soal ini. Seolah perkara itu bukan berat. Bagaikan ringannya seperti bulu pelepah sahaja. Seperti mainan lidah yang tidak apa-apa untuk diucapkan dengan nada paling tenang. Hamra pula yang selalu merasa hendak pecah dada mendengarkannya.
Hamra menelan liur. Lain yang hendak dikisahkan, lain pula yang keluar. Dalam hendak bergurau pun, tok masih mengaitkannya dengan isu kematian.
Keluhan terlepas tanpa sedar. Benar, mati itu pasti. Nyawa di badan ini siapa yang punya? Allah tentunya. Bila, di mana dan dalam keadaan apa nyawa ini ditarik hanya Allah yang Maha Kuasa untuk menentukannya. Sejak di Luh Mahfuz lagi tercatatnya segala takdir bermula dari yang seawal-awalnya sehinggalah saat terakhir. Manusia hanya mampu berusaha, Allah jua yang menentukan.
Dalam surah Ali ‘Imran ayat ke 54, Allah berfirman bahawa:
“Dan mereka merancang, Allah juga merancang. Dan Allah sebaik-baik perancang”
Tak lupa juga Allah minta kita berusaha demi mendapatkan sesuatu. Bukan hanya menunggu sesuatu itu untuk jatuh ke riba. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
“Dan Kami menjadikan waktu siang untuk mengusahakan kehidupan” (an-Naba’:11)
“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung” (al-Jumu’ah:10)
Bukan hanya berserah dan pasrah sahaja.
“... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sediri. Dan apabila Allah meghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia” (ar-Ra’d:11)
Hendak mati dalam husnul khatimah, kenalah berusaha. Bukan duduk saja! Kenalah solat, berpuasa, beribadat mengikut cara Rasulullah. Bukan tunggu Izrail datang tanpa berbuat apa-apa. Waktu itu, minta nyawa sesaat pun sudah tak available lagi. Huh!
Hamra keluar dari perdebatan minda. Kembali kepada tok yang masih menunggu cerita yang tak kunjung tiba. Masih belum terluah isi yang dikulum oleh bibir munggil Hamra.
Melihat mata tok yang semakin kuyu, hampir tertutup sahaja kelopak matanya. Hamra fikir baik ditangguhkan sahaja kisah edisi terhadnya itu.

“Hamra cerita esok sahajalah, ya tok” Hamra senyum sambil mengucup dahi tok kemudian beralih ke pipi yang sudah calar dengan kedutan usia itu.

Comments

Popular Posts