Fikrah Hamra Bab 12
Bab 12
“Hamra, tok tak mai hari ni?” seorang tua, lengkap
bertelekung menegur. Sambil itu, dia menghulur tangan untuk bersalam.
Jemaah wanita beransur-ansur
meninggalkan tempat solat. Hamra sudah ingin beredar ketika disapa oleh wanita
tua itu.
“Ya mak cik. Tok kata dia
‘sakit urat’. Dia berehat saja kat rumah” Hamra menyambut sambil senyum.
Mak cik itu mengangguk.
Hamra perasan pandangan mak cik itu lain macam. Lama juga dia pandang Hamra
sambil senyum-senyum.
“Hamra...” Mak cik menyeru.
“Ya mak cik” Hamra tepis
rasa sangsi.
“Hamra tak dak sapa-sapa lagi ka?”
Huish! Lain sangat soalan tu
mak cik!
“Errr...”
Aduh! Hamra nak cakap macam
mana ni? Nak angguk ke geleng?
Tiba-tiba dia teringat
kepada lelaki itu. Apa status dirinya sekarang? Lelaki itu tidak menyebut
apa-apa pun berkenaan mereka berdua. Hanya secebis...
‘Kita tetap housemate, okay?’
Maknanya apa itu? Hamra
pening. Maksudnya dia masih berpunya atau tidak? Masih terikat atau bebas?
“Awat mak cik tanya?”
Kita tanya soalan dulu!
Hehe...
“Dak la. Kalau tak dak
sapa-sapa lagi, mak cik kenai la sorang anak teruna ni. Dia dok cari calon. Kot-kot la ada jodoh...”
Aduh... Terasa lama sungguh
mereka di pintu masjid ini. Bila nak balik ni!
“Sebenarnya mak cik... Hamra
dah ada orang...”
Okey! Jawapan selamat!
Errr... kira selamat lah kan? Hamra bukan dikira menipu kan?
Sudahlah dalam surah
an-Nahl, Allah kata orang yang tergamak menipu itu adalah orang yang tidak
beriman dengan ayat-ayat Allah. Lepas itu, Allah kata lagi orang yang menipu terhadap
Allah ini tidak akan berjaya.
Seram dengar!
Hamra cakap betul. Hamra tak
tipu.
Mak cik itu nampak sedikit
terkilan. Tapi cepat-cepat dia tutup dengan senyum.
“Mestilah kan. Orang cantik.
Belajar tinggi-tinggi. Tak kan tak dak
orang lagi”
Hamra turut pamer senyum.
“Mak cik balik dulu ya. Pak
cik kamu tu dah tunggu lama rasanya”
Sempat Hamra angguk hormat
kepada wanita tua itu.
Hamra pandang ke belakang.
Ruang solat wanita sudah kosong. Semua jemaah sudah pulang. Jadi, tinggal dia
seorang sahaja lah? Suis lampu dan kipas dihampiri. Satu per satu punat ditekan.
Satu per satu lampu dipadamkan. Ruang tersebut akhirnya gelap.
“Akak...”
Eh, Hamra rasa ada terdengar
sesuatu. Dahi berkerut. Tak mungkin kot, semua orang dah balik kan?
Hamra menggeleng mengusir
perasaan yang tidak-tidak. Langkah dikerah keluar dari pintu masjid.
“Akak...” Kali ini lebih
kuat. Suara dari belakangnya.
Gulp!
Dalam masjid ni! Tak kan ada
‘sesuatu’ kot?!
Bibir bergetar membaca doa
pelindung diri. Berdegup kencang jantungnya. Tahap adrenalinnya meningkat.
Terasa meremang bulu roma. Langkah semakin laju. Hamra nak keluar segera!
Terasa bahunya ditepuk.
Ya Allah! Selamatkan Hamra!
***
“Akak tertinggal ni tadi”
Remaja itu menghulurkan
senaskhah Al-Quran.
“Waktu akak datang, saya
nampak akak bawa ni. Tapi waktu balik, akak terlupa agaknya”
Hamra masih pandang remaja
itu atas bawah. Entah apa yang remaja itu katakan, Hamra dengar tak dengar
sahaja. Tidak puas Hamra menilai rupa fizikal remaja itu.
Dia ni lelaki ke perempuan?
Rupa macam lelaki. Tapi berada di ruang solat wanita.
Rambut pendek. Cap yang
diterbalikkan. Baju berlengan pendek yang selebeh.
Seluar jeans yang carik di sini sana. Tapi bila tengok muka, lembut macam
perempuan.
Hurmmm... Aneh.
Hamra masih belum menyambut
huluran. Rasa pelik terhadap remaja itu lebih dominan.
“Akak...” Entah kali ke
berapa remaja itu menyeru.
“Akak dengar tak ni?” Muka
remaja yang Hamra ragu akan jantinanya itu pula yang pelik.
Hamra sambut Al-Quran itu.
“Awak ni lelaki ke
perempuan?”
Soalan drastik daripada
Hamra!
Remaja itu nampak
tercengang. “Saya...” Dia tunduk melihat pakaiannya.
“Tadi awak duduk kat mana?
Saya tak nampak pun” Belum sempat remaja itu menjawab, Hamra sudah melontarkan
soalan seterusnya.
“Kat situ...” Jari
telunjuknya diluruskan ke penjuru ruang solat. Di ceruk terpencil itu. Agak
terselindung.
Tak kan jemaah lain pun tak
nampak? Hurmmm... Musykil.
“Apa awak buat kat situ?”
“Saya...” Remaja itu
menggaru belakang kepala. Seperti tiada jawapan yang sesuai untuk diluahkan.
Remaja di hadapannya itu
nampak seperti tiada tempat untuk dituju. Nampak kebingungan.
“Sejak bila awak kat situ?”
“Dah lama”
Hamra menarik nafas.
“Awak ada tempat lain nak
pergi lepas ni?”
Lambat-lambat remaja itu
menggeleng.
Hamra menghembus nafas
perlahan.
“Kalau saya ajak awak ke rumah saya, awak sudi
tak?”
Remaja itu nampak tersentak.
Macam keberatan untuk menerima pelawaan Hamra.
Eh! Beraninya Hamra ajak
orang asing ke rumah! Tak takut ke?!
Entah kenapa Hamra tidak
rasa curiga akan kewujudan remaja itu. Tidak terdetik kemungkinan remaja itu
berniat buruk terhadapnya. Cuma akan persoalan jantina, Hamra masih
teragak-agak. Lelaki ke perempuan?
“Tak apa lah, kak. Saya
pergi dulu” Kalut remaja itu meminta diri.
“Tunggu!” Sempat Hamra paut
lengannya. Tetap berlapik dengan kain telekung.
“Saya bukan nak paksa awak.
Atau apa-apakan awak. Cuma saya rasa awak perlukan bantuan. Betul tak?”
Pandai-pandai sahaja Hamra
menebak! Entah betul entah tidak.
Terkebil-kebil remaja itu.
“Akak bukan kenal saya pun”
“Nama awak siapa?”
“Dee”
“Okey, sekarang saya dah
kenal awak”
Lagilah berkerut dahi Dee
dengan reaksi Hamra.
“Saya rasa akak ni dah tak
betul”
“Oh, memang pun. Ada juga
orang lain yang panggil saya macam tu selain awak”
Si Aisya lah itu!
“Boleh lepaskan saya
sekarang?” Masih kuat pautan jemari Hamra pada lengan Dee.
Bukannya hendak memberi
respon kepada Dee, malah lain pula yang diutarakan.
“Apa kata awak teman saya
balik rumah? Kesian saya sorang-sorang jalan kaki malam-malam ni. Dah lewat
pula tu. Awak patut bertanggungjawab tau” Wajah tidak bersalah Hamra pamerkan.
Sambil-sambil itu Dee ditarik seiring dengan langkahnya.
“Eh, akak!” Hampir terjerit
Dee dengan lagak Hamra yang seperti menyeret dirinya.
Ini paksa rela namanya!
Comments
Post a Comment