Fikrah Hamra Bab 10

Bab 10
“Jom ikut tok pi masjid malam ni?”
Masjid?
Aduhai! Sudah lama Hamra tidak ke masjid. Apatah lagi masjid di kampung itu.
“Naik kereta ka tok? Ka naik motor?” Hamra bertanya.
“Tak payah. Kita jalan kaki saja. Dekat ja masjid tu”
Gulp!
Dekat ke tok? Macam jauh sahaja!
Hamra teringat hadis yang pernah dibacanya dahulu.
Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Seagung-agungnya manusia dalam hal pahala di dalam solatnya ialah yang terjauh di antara mereka itu jarak tempat tinggalnya dari masjid tempat ia berjemaah” (Riwayat Bukhari)
Maksudnya, lagi jauh masjid tu dari rumah, lagi baguslah kan? Lagi banyak pahala?!
Wow!
Erm... Ada satu lagi hadis. Hamra memerah fikirannya cuba mengingati. Apa ya? Berkerut-kerut dahi Hamra. Sekejap kepalanya terteleng ke kanan, kemudian ke kiri pula.
Oh ya!
“Barangsiapa yang pergi ke masjid dan pulang darinya, maka Allah menyediakan untuknya tempat kediamannya di syurga, setiap kali ia pergi dan pulang itu” (Riwayat Bukhari)
Wah! Setiap kali pergi dan pulang dari masjid, Allah sediakan satu rumah di syurga! Kalau sepuluh kali, sepuluh rumah! Kalau seratus kali...
“Hamra!” Tok menyeru.
“Errr... ya tok. Awat?” Terpinga-pinga Hamra. Tadi, dia sedang asyik menghitung keuntungan pelaburan akhirat.
“Kita pi awai sikit. Dan la sampai sebelum azan maghrib”
“Ya lah tok...” Hamra ikutkan sahaja. Apa sahaja demi tok.
Pi mandi lekaih! Satgi tak dan pulak!”
Dengan lekas Hamra bangun menuju ke bilik air. Tapi mindanya sempat lagi menyambung menghitung keuntungan.
“Eh, kena pergi masjid selalu ni! Baru dapat banyak rumah! Solat fardhu ada lima sehari. Kalau pergi tiap-tiap waktu? Wah! Untung! Satu rumah... Lima rumah... Sepuluh...”
“Hamra, lekaih!” Tok mengarah.
Terus hilang monolog Hamra tadi.
“Okay tok! Okay! Hamra nak pi la ni”
Ish Hamra! Pergi masjid kena ikhlas! Kalau tak ikhlas, ibaratnya seperti tin kosong. Luarannya nampak elok, tapi dalamnya tiada isi. Tiada keberkatan padanya.
Hamra mengangguk. Hmmm... Betul juga. Okay Hamra, kena ikhlas tau!
***
“Assalamualaikum” Tok memberi salam kepada jemaah wanita yang sudah siap berada dalam saf. Sempat tok bersalaman dengan mereka. Hamra pun ikut juga.
Seperti sabda Rasulullah;
“Orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan mengucapkan salam kepada orang yang duduk, dan orang yang sedikit mengucapkan salam kepada orang yang ramai” (Riwayat Arba’ah)
Hmmm... Dengan ucapan salam, kita boleh ukir senyuman pada wajah seseorang. Dengan salam, hati akan lebih senang. Ya, memang kekok untuk memulakan ucapan, tapi bukankah lebih mulia untuk menyebarkan salam? Hati orang yang memberi, dan hati orang yang menerima salam, kedua-duanya akan terasa indah dan lebih dekat bukan?
Ruang waktu antara maghrib dan isyak diisi dengan tazkirah oleh imam masjid. Tajuk malam ini tentang Hanzalah si pengantin syahid.
Wah! Pengantin syahid! Siapa tu?!
Kenai dak sapa Hanzalah ni?”
Seisi jemaah diam sahaja.
“Hanzalah ni sahabat Rasulullah yang baru diijabkabulkan sebelum berlakunya peperangan. Malam tu dia nikah, esoknya tu bila semboyan peperangan berbunyi, terus dia pi berperang dengan sahabat-sahabat yang lain”  
Tanpa sempat bersuci pun, dengar sahaja seruan untuk berperang, dengan pasrah kepada Allah, Hanzalah terus bersiap-siap ke medan peperangan. Isteri yang baru dinikahi ditinggalkan demi kejituan semangat jihad yang dipasakkan untuk Allah dan Islam. Walaupun Rasulullah beri kelonggaran pada Hanzalah disebabkan beliau pengantin baru, semangat Hanzalah mengatasi segalanya. Semuanya demi Islam! Jihad menjadi pilihan. Hanzalah bertempur di medan perang sehingga akhirnya dia syahid. Sehinggakan malaikat diutuskan untuk memandikan tubuh Hanzalah dan rohnya diarak ke syurga Firdaus.
Malaikat tau yang mandikan Hanzalah! Malaikat yang Allah utuskan! Subhanallah! Penghormatan untuk seorang syahid!
Hamra tunduk. Kerdil sungguh rasanya diri itu. Jasad Hanzalah, malaikat yang mandikan. Jasadnya nanti bagaimanalah.
Selalunya waktu kematianlah Allah akan tunjukkan kekuasaanNya. Kalau jenazah itu orang yang baik, maka akan lancarlah urusan jenazah. Dari saat ditarik nyawa sehinggalah dikebumikan. Maka sebaliknya berlaku jika jenazah itu Allah tidak redha. Walau macam mana pun, semua itu bergantung kepada kehendak Allah.
Hamra letak genggaman tangan pada dada. Rasa hiba. Sedih. Rasa tidak layak dia membayangkan pengakhiran yang baik. Tapi itulah yang dipinta setiap kali doa. Agar Allah mematikannya dalam pengakhiran yang baik, keadaan yang baik. Air mata terasa murah untuk menitis.
Hebat sungguh perjuangan Hanzalah. Semangat jihad yang padu. Walaupun baru bernikah, itu bukan halangan untuk menegakkan Islam di medan perang.
“Sementara ada masa ni, saya nak ajaq doa qunut nazilah. Doa ni sesuai dibaca bila-bila masa. Doa ni untuk lemahkan musuh Islam. Yalah, sekarang ni banyak sangat peperangan yang jadi kat sedara muslim kita. Pada kaum Rohingya, penduduk Palestin dan semualah negara yang ada orang Islam yang berperang. Kita tak kuat nak pi berperang sama. Dengan doa sahajalah kita boleh bantu depa. Kita tembak musuh-musuh Islam dengan doa!” 
Ya Allah, kami letakkan Kamu di batang leher musuh-musuh kami. Dan kami berlindung padaMu dari kejahatan mereka. Ya Allah, hancurkan kumpulan mereka. Ya Allah, pecahkan pakatan mereka. Ya Allah, leburkan pendirian mereka. Ya Allah, musnahkan langkah mereka. Cengkamkan anjing-anjingMu kepada mereka. Ya Allah yang Maha Memaksa. Ya Allah yang Maha Perkasa. Ya Allah yang Maha Membalas. Ya Allahu Ya Allahu Ya Allah. Yang turunkan kitab, yang gerakkan awan, yang tewaskan tentera Ahzab. Kalahkan mereka! Kalahkan mereka! Dan kemenangan untuk kami...
Imam bacakan doa qunut nazilah berserta terjemahannya. Mula-mula, imam baca ayat satu-satu supaya senang jemaah nak ikut. Ada jemaah perempuan yang tulis doa itu di atas kertas. Baguslah mak cik! Hamra hormat!
Kemudian, bila berkali-kali diulang, jemaah semakin lancar menyebutnya. Bila diselitkan rentak yang sesuai, jemaah mudah menghafalnya. Tok pun senang mengikutnya. Lagipun, doa ni acap kali kedengaran di corong radio. Ada jemaah yang sudah biasa dengannya. Alhamdulillah!
“Doa ni banyak dipasang di radio, di televisyen. Kat internet pun berlambak. Boleh la sesiapa yang nak belajaq lagi, minta anak-anak tolong buka sat. Boleh la sama-sama belajaq. Untuk manfaat kita semua”
Para jemaah mengangguk tanda faham dan setuju dengan imam.
“Allah ni, Dia bukan nak tengok kita ada kereta apa, ada kebun besaq mana. Tapi yang Dia nak tengok apa amal kita. Dalam hati kita ni bersih ka dak. Ada dengki kat orang dak. Ka dok mengumpat orang?” Imam berjeda sambil pandang jemaah di hadapannya.
“Ingat nah tuan-tuan, jijiknya dosa mengumpat ni macam makan daging sedara dia yang dah mati. Allah dah pesan tu dalam surah al-Hujuraat ayat 12. Lagi satu, orang yang mengumpat ni Allah kata celaka besaq. Depa ni Allah akan campakkan dalam Al-Hutamah. Apa dia Al-Hutamah ni?” Imam cuba meraih perhatian jemaah.  
“Allah kata Al-Hutamah tu api Allah yang dinyalakan, yang dia boleh bakaq sampai ke hati. Api tu rapat sangat atas depa, sedangkan depa tu diikat pada tiang-tiang yang panjang”
“Gerun dak tuan-tuan? Allah ugut dengan api neraka ni. Ada neraka khas pulak untuk orang yang mengumpat. Jangan la kita dok anggap mengumpat ni ringan. Berdosa tuan-tuan oi! ”
Muazzin mendekati imam dan membisikkan sesuatu. Imam menggangguk-angguk kemudiannya.
“Hah, tok bilal dah suruh berhenti. Dah masuk waktu katanya. Jadi, tazkirah kita berhenti tang sini dulu. Ada masa kita sambung lain. Kita tamatkan tazkirah pendek kita dengan bacaan tasbih kafarah dan suratul ‘Asr
Selepas selesai azan dikumandangkan, para jemaah termasuk Hamra dan tok masing-masing bangun untuk menunaikan solat sunat rawatib. Solat sunat dua rakaat ini jarang benar Hamra tunaikan ketika berada di luar negara. Alasannya malas. Padahal bukan Hamra tidak tahu, solat sunat seperti itulah yang akan mencukupkan pahala solat fardhunya yang lompong.
Benarlah apa yang terkandung dalam surah al-‘Asr yang dibacanya tadi.

“Sesungguhnya manusia itu berada kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh...”

Bersambung...

Comments

Popular Posts