Fikrah Hamra Bab 5
Bab 5
“Roti boleh tok?”
“Hmmm... roti pun roti lah” Wajah tok
seperti pasrah.
Hamra ketawa lucu. Lantas tubuh tok dipeluk
kejap.
“Dùibuqǐ,
tok!”
“Hah?! Kamu kata apa?”
“Hamra kata Hamra minta maaf tok. Hamra tau tok tak suka makan roti tapi itu sahaja yang ada sekarang tok”
Hamra bersuara seperti orang hendak menangis.
“Kamu ni cakap bahasa Mandarin, manalah tok tau!” Tok menarik muka.
“Alahai tok, comelnya!” Hamra memeluk tok lagi. Kali ini tubuh tok digoyang-goyang lembut seiring dengan
tubuhnya.
“Dari kecik lagi, suka betul
kan kamu peluk orang?”
“Pelukan tanda kasih sayang. Sesiapa yang tidak kasih sesama manusia
tidak akan dikasihi Allah. Tok bagitau
dulu Rasulullah yang cakap macam tu, kan tok?” Hamra bermadah.
“Hmmm... pandailah kamu. Rasulullah kata lagi, sesiapa yang ingin
diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia mengeratkan
silatulrahim”
“Pelukan pun termasuk dalam cara mengeratkan silatulrahim, kan tok?”
Hamra sengih sambil menjongketkan kening.
Seperti yang diharapkan daripada seorang Hamra, mantan penolong ketua
pengawas pusat sumber sekolah yang ada sahaja ideanya dalam mengaitkan jalur fakta
dan kehendak sendiri.
“Apa-apa ja lah Hamra... Tok lapaq ni. Bila boleh makan?”
“Sekarang?”
Hamra membantu tok berdiri. Kemudian memimpin tok ke dapur untuk
bersarapan. Wafiy sudah pun berada di meja makan. Terlihat sahaja kelibat tok,
segera kerusi ditarik untuk wanita berusia itu. Untuk Hamra tidak pula!
Tok hanya jamah roti untuk suapan pertama.
“Tok tak lalu makan lah” Adu tok pada Hamra dan Wafiy.
Hamra pamer wajah risau.
“Sat na tok” Hamra berlalu ke
dapur.
Segala laci dan almari di dapur itu diselongkar Hamra. Natijahnya, dia
menjumpai sepeket mi segera sahaja. Mujurlah belum tamat tempoh.
“Sat tau tok, Hamra tengah
masak ni. Tunggu sat okay?” Laung
Hamra.
Mi segera itu dengan segeranya dimasukkan ke dalam air mendidih. Setelah
melalui beberapa proses, maka mi segera itu telah ditransformasikan menjadi mi
goreng ala ‘masak cepat’. Letak telur mata sebiji, dan siap untuk dihidangkan!
“Jemput makan tok” Sengih Hamra.
“Terima kasih, cucu tok. Untuk Wafiy mana?”
“Ermmm... mi segera ada sepeket ja
tok. Itu pun puas Hamra ‘menggali’ dapuq
itu, barulah jumpa. Jadi, Wafiy makan roti ja
lah ya?” Bungkusan roti disua kepada Wafiy.
Mata Hamra melirik Wafiy. Bagus! Wafiy memberikan respon yang baik.
“Saya makan roti pun dah cukup tok”
Tok meneruskan suapan.
“Ayaq mana, Hamra?”
“Ayaq?” Hamra terpinga-pinga dengan
roti di mulutnya.
“Tak apa tok, biar saya yang buatkan” Terus Wafiy bangun dan menuju ke
dapur.
Kunyahan roti di dalam mulut ditelan pantas. Tapi, panahan mata tok
membuatkan Hamra tidak jadi menggigit roti lagi.
Jelas, tok menyuruhnya ke dapur semula. Dengan itu, langkah Wafiy
diekori Hamra.
“Tok tak minum coklat” Beritahu Hamra apabila Wafiy mencapai peket
serbuk minuman coklat.
“Teh?”
Hamra mengangguk tanda mengiyakan.
“Maaflah, aku terlupa tadi pasal air. Aku tak biasa. Selalu sarapan aku
tak sediakan air pun. Makan roti je. Ala kadar. Kadang-kadang tak sarapan pun”
Hamra berbisik, tidak mahu didengari tok.
“Aku pun tak biasa”
“Kalau kau rasa terbeban dengan tok, aku minta maaf”
Wafiy tidak menjawab.
“Kau betul-betul rasa terbeban ke?” Serius Hamra bertanya.
Wafiy masih tidak memandang Hamra.
Tersentak Hamra. “Kau serius?!”
“Tidaklah, kau tak usah fikir bukan-bukan. Cuma saat ini aku tiba-tiba
teringatkan Ma dan Pa. Aku rasa... rindu. Dah lama aku tak merasa suasana
bersarapan dengan keluarga. Dengan jiějie
dan mèimei. Hari ni, aku teringat
kembali perasaan itu”
“Jadi, mungkin kita boleh bersarapan bersama nanti”
Wafiy hanya senyum.
***
Cukup tempoh seminggu, tok
berlepas kembali ke tanah air. Sebelum itu, sempatlah Hamra menjadi pemandu
pelancong kepada tok, membawa tok bersiar-siar di kawasan sekitar. Masa yang
terhad membataskan mereka. Hamra masih perlu ke universiti, masih perlu bertemu
penasihat akedemiknya, masih perlu ke makmal untuk mendapatkan progres
kajiannya. Sungguh, masa sangat terbatas!
Di lubuk jiwa Hamra, dia rasa bersalah kerana tidak mampu meluangkan
masa yang banyak untuk tok. Seolah-olah dia telah mengabaikan tok. Sudahlah tok
terbang dari jauh. Bukan mudah pula hendak ke mari.
Aduh, Hamra!
Tapi, dia hendak buat bagaimana? Tikus-tikus putih di makmal itu perlu
sentiasa dipantau, diberi pemerhatian rapi. Progres haiwan-haiwan kecil itulah
yang memberi nyawa kepada tesisnya. Bak kata orang, itulah occupational hazard seorang saintis biologi. Hidup perlu diabadikan
kepada pengkajian dan pembuktian sesebuah penemuan berdasarkan teori saintifik.
Bahkan penemuan dan kajian itu hendaklah disokong oleh saintis-saintis yang
lain. Wah, boleh pecah kepala memikirkannya!
Bagaimanalah ada orang yang mendakwa subjek biologi itu senang? Sehingga
ada yang sanggup meremehkan pelajar-pelajar jurusan biologi kerana dikatakan
tidak setanding dengan pelajar jurusan lain. Bukan khabar dari angin, tetapi
pernah Hamra sendiri mengalami situasi tersebut. Panas telinga jugalah menelan
kata-kata kasar itu.
Arba’ah sendiri meriwayatkan sabda Rasulullah bahawa setiap manusia itu
diciptakan menurut bakatnya masing-masing.
Justeru, bukankah setiap jurusan itu punya kelebihannya tersendiri?
Masakan pelajar kejuruteraan dipandang lebih tinggi daripada pelajar pendidikan?
Atau pelajar perakaunan lebih gah berbanding pelajar kulinari? Sungguh,
perspektif sebahagian masyarakat itu banyak lokeknya.
Sedar tak sedar, kaki yang melangkah sudah sampai di hadapan bangunan
kediaman. Bangunan yang tinggi. Bangunan yang megah berdiri.
Hamra mengeluh. Langkah diatur longlai. Tika ini dia rasa sunyi.
Alangkah bagusnya jika Aisya di sisi sekarang. Celoteh Aisya biarpun Hamra
dengar endah tak endah, tetap menjadi penawar rindu. Kerinduan kepada tok.
Kerinduan kepada Malaysia.
Sekurang-kurangnya jika Aisya ada, dia boleh menangis mengadu. Selalunya
di bahu Aisyalah, tempat Hamra berkongsi rasa. Berkongsi cerita. Tentang
kehidupan.
Sejak sekolah menengah dahulu, Hamra suka bila Aisya di sisi. Bila Aisya
ada, Hamra rasa selamat. Sebab Aisya yang selalu membantunya, menegurnya saat
khilaf dan menguraikan kekusutan yang wujud. Semua untuk kebaikan dirinya.
Sampaikan Hamra jadi terlalu bergantung kepada orang lain. Terutama kepada
Aisya. Hamra jadi naif.
Sehinggalah bila Hamra diterima belajar ke luar negara, Hamra belajar
untuk berdikari. Belajar menguruskan masalah sendiri. Sejak itu, Hamra berusaha
menjadi lebih matang. Tanpa bantuan Aisya lagi. Tentulah segalanya berdasarkan
fikrahnya sendiri. Apa yang boleh pada pemikirannya, maka betullah ia.
“Hamra!”
Seorang gadis sedang bersandar kepada dinding di tepi pintu kondominium
Hamra dengan tangan yang diseluk ke dalam poket kot tebal. Wajah kemelayuan
yang ketara. Wajah yang biasa dipandang. Wajah yang dirindui.
“Aisya!” Nyaring suara Hamra menyapa sahabatnya. Seperti biasa,
kedua-dua mereka berpelukan erat.
“Kenapa kau di sini?”
Kedatangan Aisya bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Kena sungguh
dengan kehendak Hamra! Mungkin Allah mendengar lintasan hatinya?
“Aku tunggu kau” Aisya masih dengan senyuman ceria.
“Kenapa tak masuk sahaja? Wafiy tak jemput kau masuk? Atau dia tiada di
rumah? Aku fikir dia sudah pulang”
Nombor pada alat keselamatan ditekan pantas. Pintu dinyahkunci.
Aisya tarik muncung. “Kau ni! Tentulah aku tunggu kau! Takkan aku hendak
berdua dengan Wafiy pula!”
“Aku tanya saja...” Meleret suara Hamra. “Jemput masuk Aisya xiǎojiě kesayangan...” Hamra mempelawa
dalam senyum nakal.
“Hmph! Assalamualaikum!” Aisya membalas dalam lagak diva.
“Waalaikumsalam sayangku Aisya” Sengihan tersungging diulas bibir Hamra.
Setelah menjemput Aisya duduk, Hamra turut melabuhkan pinggul.
“Maaflah aku ganggu kau waktu langit merah macam ni, tapi waktu ni saja
yang aku boleh datang melawat kau”
“Itulah, kau datang waktu aku penat-penat macam ni. Kesian aku” Hamra
tunjuk wajah lelah.
“Hamra!” Aisya sudah hendak jauh hati.
“Okay, aku gurau! Dùibuqǐ !” Cepat-cepat
Hamra minta maaf. Memang Hamra yang hendakkan Aisya bersamanya tadi.
“Aku terlintas hati hendak ke sini. Entahlah kenapa. Eh, kau ada minta
supaya aku datang sini ke? Melalui telepati ke? Atau kau rindu aku kot?”
Gasp! Telepati tiada Aisya, itu kuasa doa! Dan mungkin sedikit intuisi
persahabatan yang kuat. Bagai magnet yang menarik dua kutub yang berbeza
apabila berdekatan.
“Tidaklah. Aku tak rindu kau pun” Hamra berdalih. Bukan namanya Hamra
kalau terpaksa merendahkan ego di hadapan Aisya.
“Kalau begitu, aku balik dululah” Aisya berkira-kira hendak berdiri.
Membawa rajuk hati. Sedangkan di hadapan pintu tadi, bukan main lagi berpeluk
sakan.
Sudah orang tak hendakkan kita, takkan hidung tak mancung ini hendak
menyorongkan pipi pula? Menjatuhkan maruah namanya itu!
“Eh! Janganlah merajuk intan payung si jantung pisang, hamba bergurau
sahaja” Hamra menarik lembut tangan Aisya.
Aisya memandang tajam akan Hamra. Gigi dikertap perlahan.
Bersambung...
Comments
Post a Comment