Fikrah Hamra Bab 2
Bab 2
“Aku tidur mana malam ni?”
“Tidur kat sofa boleh?” Hamra ketawa.
Aisya membuntangkan mata lagi.
“Amboi, gurau kasar nampak!”
“Kenapa? Tak boleh? Kan sofa ni empuk?”
Hamra menepuk-nepuk sofa tempat mereka duduk.
Boleh pula si Hamra ini bertanya begitu.
“Aku keluar sungguh nanti, ada yang susah
hati pula! Kau jangan buat main dengan aku, kalau tak kenal erti berani, tak
ada aku sampai sini tau!” Angkuh suara Aisya.
“Ya lah. Aku gurau saja lah. Janganlah kecil
hati. Aku sayang kau lah, tak kan aku sanggup buat macam tu...”
“Aku tahu kau sayang aku...” Meleret suara
Aisya walaupun masih beriak angkuh.
“Tapi kalau betul pun apa salahnya...”
Perlahan tapi cukup jelas di pendengaran Aisya.
“Hamra!”
“Okay,
I’m sorry!” Terus Aisya dipeluk erat. “Aku sayang kau. Aku sayang kau
sangat-sangat”
“Hmph!” Dengus Aisya sambil bersilang
tangan.
“Mari aku tunjukkan bilik kau ya intan
payung. Silakan...” Lagak Hamra seperti seorang penyambut tetamu.
“Bawakan beg I! I penat sangat! Huh!”
Aisya berlagak seperti seorang gadis gedik yang amat.
“Baiklah cik puan...”
Mereka berdua saling berpandangan lantas
masing-masing ketawa geli hati.
Beberapa langkah kemudian, mereka sampai di
hadapan sebuah bilik.
“Nah, bilik kau” Hamra membukakan pintu.
“Bilik ni extra. Kau bolehlah tidur
sini malam ni”
“Hamra...” Aisya menyeru.
“Kenapa dengan kau?”
“Aku takutlah”
“Kenapa pula?”
“Lelaki tadi...”
“Kenapa dengan Wafiy?” Hamra pelik.
Aisya gigit bawah bibir dengan mata
terkelip-kelipnya. Seperti teragak-agak untuk bersuara.
Sejenak berfikir, barulah Hamra mengerti.
Sempat Hamra ketawa sinis. “Dia tu baik lah! Dia takkan buat benda bukan-bukan!
Kalau takut sangat, kunci pintu!”
“Tapi dia lelaki...”
“Suka hati kau lah. Aku nak tidur!”
“Hamra...” Aisya separuh merengek.
“Apa lagi?” Hamra sudah memulas tombol pintu
biliknya yang terletak bersebelahan.
“Aku... nak tidur bilik kau, boleh?”
Belum sempat Hamra menjawab, Aisya sudah
merempuh masuk ke dalam biliknya. Katil bersaiz untuk dua orang itu dituju dan
terus tubuhnya dibaringkan.
“Apa-apa sahaja lah”
***
“Morning
girls! Sarapan apa pagi ni?” Ramah Wafiy bertanya.
Aisya sedikit tersentak. Tapi mujur dia
telah bersiap dengan perisai hijabnya.
“Morning!
Crumble eggs and bread?” Hamra mempelawa.
Aisya hanya diam.
“Xièxie!”
Ucap Wafiy sambil menuangkan susu segar ke dalam gelas lantas meminumnya.
Kemudian, dia menarik kerusi di hadapan sebelah kanan Aisya.
Aisya sebenarnya tidak betah berada di dapur
ini lagi, apatah lagi di meja ini. Tapi demi menjaga hati tuan rumah berdua
ini, ditahankan sahaja rasa tidak selesanya.
“Jadi, apa rancangan hari ini?” Wafiy memandang
Hamra dan Aisya silih berganti.
“Aku nak temankan Aisya pergi melihat-lihat universiti dia
nanti. Kau nak ikut?”
“Aku... tak apalah. Mungkin bukan hari ini. Tesis
aku banyak lagi lompong. Banyak lagi perlu diperbaiki”
“Okay
then”
Selepas menghabiskan hidangan di atas
pinggan, Wafiy kembali berkurung di dalam bilik.
“Dia tu memang macam tu. Asyik berkurung
dalam bilik je. Buat kerja-kerja dia. Entah tidur ke tidak tak tahulah” Senang
sahaja Hamra bercerita.
“Sebab itu lah aku betah dia jadi housemate aku. Sebab rasa macam tak ada housemate pun sebenarnya. Dia dengan
kerja dia. Aku dengan kerja aku. Kadang-kadang tak sempat jumpa pun. Kelakar
kan?”
Aisya pandang pelik. Kelakar ke?
“Haha... Kelakar sangat!” Aisya mencebir
bibir. Kalau ketawa dibuat-buat, tidak ada ikhlasnya.
“Kau ni! Sudah, cepat makan! Lepas itu,
bersiap! Banyak tempat aku nak bawa kau ni!”
Aisya tidak menjawab tetapi suapannya
dipercepatkan.
***
Selepas mendaftarkan diri, Aisya dibawa
melawat universiti dan kawasan sekitarnya. Mereka hanya berjalan kaki dari
universiti. Penat berjalan, sebuah kafe menjadi tempat persinggahan.
“Sejuk betul kat luar tu!” Aisya memanaskan
telapak tangan dengan menghembuskan udara panas daripada mulutnya serta
menggosok-gosok tangannya untuk menghasilkan haba. Kemudian telapak tangan yang
suam itu ditekap ke pipinya yang sejuk.
“Ah, hangat dan selesanya!”
Hamra ketawa melihat reaksi Aisya. Dahulu,
dia pun begitu. Tapi sekarang tubuhnya sudah mampu beradaptasi dengan cuaca
sejuk begini.
Minuman panas yang dipesan telah pun sampai.
Setelah mengucapkan terima kasih dalam bahasa tempatan, masing-masing Aisya dan
Hamra menyisip air yang masih berasap itu.
“Hamra, kau tak terfikir ke pasal apa yang aku tanya semalam?”
“Pasal apa?”
“Nikah”
Sepatah
perkataan itu mengembalikan memori Hamra tentang semalam. Masih segar dan jelas
Aisya bertanya kepadanya tentang hal itu.
“Entah. Aku pun tak kisah. Dia pun tak kisah. Jadi kenapa nak nikah?”
Hamra mengembalikan soalan.
Kalaulah Hamra tahu, yang keimanan itu ada enam puluh lebih cabang. Dan
perasaan malu melakukan maksiat adalah salah satu dari cabang keimanan.
“Hmph... Masalahnya aku kisah, Hamra. Aku sayangkan kau” Lembut Aisya
menuturkan.
“Aku pun sayangkan kau”
Main-main pula Hamra.
“Hamra!” Tegas suara Aisya.
“Apa?” Riak Hamra tidak serius manakala Aisya bersungguh-sungguh
berbicara.
Aisya mendengus.
“Aku tahu kau prihatin pada aku. Aku hargai sangat. Aku bersyukur sangat
ada orang ambil berat pasal aku. Tapi aku selesa macam ni. Nikah tu komitmen
tahu? Aku nak bebas. Tak suka terikat dengan sesiapa” Hamra pandang luar
dinding kaca, melihat orang lalu lalang.
“Kalau kat Malaysia, mesti kau dah selamat nikah dengan dia kan? Sebab
kena tangkap dengan JAKIM. Yalah, tinggal serumah dengan bukan mahram” Sinis
dan pedas tutur Aisya.
Hamra diam.
“Kita
bukan di Malaysia...” Mendatar suara Hamra.
Aisya pun turut membisu.
Lama sebelum Aisya memecah sunyi di antara mereka.
“Apa khabar tok kau?”
“Sihat dengan cara dia lah. Aku selalu juga call dia. Dia kata dia baik-baik sahaja”
“Hmmm...” Itu sahaja respon Aisya.
Hamra dibesarkan oleh neneknya. Cucu tunggal, memang Hamra dimanjakan
habis. Ibu dan ayah Hamra kembali ke rahmatullah sejak Hamra kecil lagi. Waktu
itu, Hamra tahu apa. Umur baru 2 tahun. Dia masih belum kenal pun erti
kehilangan. Membesar dalam serba serbi ada. Tapi Hamra tak lokek memberi apatah
lagi berkongsi. Aisya kenal Hamra sejak sekolah menengah. Hamra memang baik,
sopan dan pandai menghormati orang lain. Berkat didikan neneknya mungkin.
Tapi tentang housemate Hamra
itu, sedikit demi sedikit mencalarkan imejnya sebagai seorang muslimah.
“Tok kau tahu tentang housemate kau?”
Hamra diam sejenak memandang wajah Aisya, kemudian menggeleng. “Dia tak
akan restu. Dia tak akan setuju. Dia tak akan faham pun”
Aisya mengeluh.
“Tapi dia tok kau”
Hamra membisu. Mata ditala ke luar kafe. Merenung kosong.
“Dah, jom balik” Ajak Aisya bila dirasakan sudah lama mereka di situ.
Hamra beriringan dengan Aisya menuju pintu masuk universiti. Agak jauh
juga mereka berjalan.
“Cukuplah kau teman aku sampai sini” Ucap Aisya setelah mereka tiba di
pintu gerbang universiti.
“Okay, take care my sweetie pie!”
Aisya dan Hamra berpelukan erat.
“Ada masa aku lawat kau, ya”
“Ya lah. Orang tu sibuk sahaja memanjang. Ada ke masa nak menjenguk kita?”
Aisya menyindir.
“Kalau aku tak datang langsung, menangis kau nanti!” Hamra mengugut.
“Ya lah. Jemput datang bila-bila kau lapang. Balik naik tren nanti
hati-hati ya”
“Baiklah sahabatku. Ku pegang pesananmu” Berdrama pula Hamra di pintu
gerbang ini.
“Sudah lah kau! Balik cepat! Aku bukan nak menghalau, tapi risaukan kau.
Sampai rumah nanti sudah senja, bahaya tahu!”
“Ya, aku nak balik lah ni... Assalamualaikum” Hamra melambai.
“Waalaikumsalam” Aisya membalas.
Comments
Post a Comment