Fikrah Hamra Bab 4

Bab 4
Takut-takut juga Aisya bertanya. Tapi dia beranikan diri demi kebenaran.
Hamra pandang Wafiy. Wafiy pandang Hamra. Kemudian serentak mereka berdua beralih pandangan kepada Aisya.
“Nenek Hamra setuju. Dia suruh buat cepat-cepat. Nanti dia nak datang waktu akad nikah” Sejurus itu Wafiy terus masuk ke biliknya.
Senada sahaja suara Wafiy. Macam tak ada elemen teruja pun. Bukankah orang yang hendak nikah akan bergembira?
Aisya tunduk. Adakah dia sedang bersalah dalam hal ini?
Hamra menggosok belakang Aisya, menenangkannya.
Aisya senyum. “Tahniah sahabat”
Aisya terus peluk Hamra. Entahlah, perasaannya kini berbaur, bercampur aduk. Gembirakah dia? Ya, dia gembira sahabatnya bakal menjadi isteri. Tapi bila melihatkan Wafiy yang seperti terpaksa, dia jadi risau pada sahabatnya Hamra. Mampukah mereka bahagia? Ya Allah, permudahkan segalanya. Tetapkanlah yang terbaik buat Hamra dan Wafiy.
Arba’ah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, seseorang di antara kamu pasti diperkenankan (doanya) selagi dia tidak terburu-buru dengan mengatakan “Aku telah berdoa tetapi belum juga dimakbulkan”.
Kita merancang, tapi perancangan Allah lebih sempurna bukan?
***
Beberapa jam lepas, akad nikah dilangsungkan. Bilik kecil di pejabat kedutaan itu  menjadi saksi Wafiy menerima akad nikah dari kadi yang bertugas.
Sekarang mereka sudah berada di ‘rumah kecil’ milik Wafiy dan Hamra. Tok yang baru sampai tengah hari tadi kelihatan kurang tenaga. Mana tidaknya, mendarat sahaja kapal terbang itu,   mereka terus ke pejabat agama tempatan untuk upacara akad nikah. Ringkas dan pantas. Mudah sungguh proses pernikahan mereka berdua. Kata Aisya, bertepatan dengan sabda Rasulullah supaya sesuatu urusan itu dipermudahkan, jangan disukarkan. Cukup ada Aisya dan tok sebagai tetamu.
Setelah Hamra menjenguk tok di bilik, Wafiy menggamit Hamra ke dapur pula. Hamra menurut tanpa banyak soal.
Pandangan dikalihkan ke sekeliling ruang rumah, tidak mahu perbualan mereka suami isteri didengari sesiapa.
“Hamra...”
“Ya?”
Wafiy menunduk. Kerusi di dapur kering ditarik perlahan lantas duduk dilabuhkan. Hamra juga berbuat demikian, seperlahan yang boleh.
“Aku...” Wafiy seperti teragak-agak hendak berbicara. “Kau ada rasa apa-apa tak?” Rendah nada suara Wafiy. Masih menunduk.
“Maksud kau?”  Hamra menyoal tenang.
“Aku tak pasti. Tapi aku rasa lain”
“Lain macam mana?”
“Aku... tak tahu” Wafiy nampak keliru.
Masing-masing diam.
“Sebenarnya, aku pun rasa lain” Pandangan dikalihkan ke tepi, mengelak daripada bertembung wajah dengan Wafiy.
“Maksud kau?” Soalan yang sama berulang.
“Aku pun tak tahu apa yang ‘lain’ itu” Hamra menjawab jujur.
Hamra dan Wafiy membisu sejenak.
“Mungkin sebab... akad tadi” Meluncur ayat itu dari bibir Hamra.
Lama sebelum Wafiy menjawab. “Mungkin”
Hamra mengeluh.
“Aku harap kita masih boleh jadi ‘housemate’, macam sebelum ni. Macam sebelum akad tu”
Wafiy hanya diam. “Kita memang housemate, tak ada yang berubah”
Hamra senyum, tetapi hambar rasanya.
Wafiy juga cuba mengukir senyum, namun kelihatan kekok benar.
“Sebelum aku terlupa, ini hadiah untuk kau” Wafiy menghulurkan sebuah kotak berikat riben.
Hamra menjongketkan kening.
“Aku ikhlas bagi”
Hamra membuka kotak itu dan seutas jam menyapa pandangan.
“Untuk apa?” Hamra ingin tahu.
“Kan aku cakap aku ikhlas bagi, kau terima sahaja lah” Nada Wafiy tidak memaksa tapi kedengaran sedikit tegas.
Okay
Hamra tidak banyak bertanya dan terus menerima. Dan mungkin itu juga yang Wafiy hendakkan.
“Aku masuk tidur dahulu”
Wafiy bergerak keluar daripada dapur. Sebelum cukup empat langkah, Wafiy menoleh kepada Hamra. “Kau tidur mana malam ni?”
Hamra gigit bibir. “Dengan tok kot”
Okay
Wafiy meneruskan langkah tanpa bertanya apa-apa lagi. Hamra juga merasakan yang dia tidak larat hendak menjawab apa-apa soalan,  hendak memikirkan apa-apa pun dia sudah tidak betah.
Hamra melangkah longlai ke bilik tempat neneknya beradu. Katil dipanjat perlahan. Wajah tok yang sedang tidur nyenyak itu dipandang lama. Hamra mengukir bibir antara senyum dan tidak.
“Tok, Hamra sendiri tak pasti dengan keputusan Hamra. Betul ke apa yang Hamra buat ni? Atau pernikahan ini satu kesilapan? Entahlah tok, Hamra rasa penat sangat. Hamra rasa fikiran Hamra kosong. Hamra tak tahu hendak fikir apa. Apa yang sepatutnya difikirkan tok? Apa yang sepatutnya dibuat?” Hamra bermonolog dengan neneknya melalui pandangan mata dalam kelam.
Keluhan berat terlepas daripada bibir munggil Hamra.
“Tok, tok sudi ke terima Hamra kalau tok tahu apa yang Hamra dah buat?”
Pertanyaan itu tiada jawapannya. Mata Hamra masih memerhati wajah tok. Rasa bersalah kepada tok kian mencanak.
Keluhan sekali lagi kedengaran. Tatkala itu mata Hamra dipaksa pejam. Tangan kanannya yang diantara pergelangan tangan dan siku diletakkan diatas  mata supaya beban tangannya mampu menahan kelopak mata dari celik. Seperti gaya tidur orang keresahan lagak Hamra.
Biarlah malam berlalu dengan kisahnya sendiri. Biarlah bintang tetap berkelipan sekalipun Hamra tidak tahu apa yang bakal menjemputnya kelak. Adakah suka atau duka? Adakah tangis atau tawa? Apakah derita atau bahagia? Biarlah Hamra harungi semuanya.
***
“Assalamualaikum cucu tok. Bangun solat subuh sayang” Suara tok sayup-sayup kedengaran menembusi mimpinya.
Hamra terus terjaga.
“Ya tok, Hamra bangun ni”
Begitulah Hamra, senang sekali dikejutkan dari tidur. Tidaklah liat seperti sesetengah orang.
Kaki dicecahkan ke bawah, merasai permukaan karpet lembut yang terhampar memenuhi satu per tiga permukaan lantai biliknya. Supaya reseptor pada tubuhnya bertindak balas terhadap perubahan. Dan supaya impuls dihantar dengan lancar kepada otak agar menyuruh matanya celik dengan luas. Biar Hamra benar-benar terjaga! Jari jemari kaki digerakkan dengan pantas, meramas bulu-bulu lembut pada karpet di bawah tapak kaki. Hal ini juga membantu pengaliran darah, mempercepatkan informasi untuk sampai ke otak. Secara tidak langsung, menyegarkan tubuh dari kantuk.
Apabila Hamra rasa semakin segar dan kuat, beban tubuhnya dan daya ditujah ke telapak kaki dan tumit. Lutut membantu menampung berat badan, dan langkah diseragamkan ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu’.
“Kita solat berjemaah na?” Seru tok dalam persalinan telekung putih.
“Baik tok...” Hamra menjawab dengan senyuman.
Apabila tok memulas tombol dan menguak pintu, Hamra terus bertanya dalam hairan.
“Tok nak pi mana?”
“Nak solat berjemaah lah. Awat?”
“Solat dalam bilik ni  ja lah tok. Luas ni, boleh muat untuk kita berdua solat”
“Tok nak ajak suami kamu berjemaah sama”
Gulp!
Tidak sampai seminit kemudian, nenek datang semula diekori oleh Wafiy yang telah siap berkain pelikat dan berkopiah. Ini kali pertama Hamra lihat Wafiy berpakaian sedemikian. Dan ini kali pertama juga Hamra solat berjemaah dengan Wafiy biarpun mereka telah enam bulan tinggal sebumbung. Sebelum ini, Hamra hanya kisahkan solatnya sahaja. Dia tidak peduli pun tentang orang lain. Apatah lagi teman serumahnya itu. Apakah Wafiy solat atau tidak, Hamra tidak pernah bertanya atau peduli. Bagi Hamra, itu urusan masing-masing, jadi pandai-pandailah menguruskannya. Nampak sangat Hamra bukan teman serumah yang baik. Erk!
Baru Hamra tahu, pandai juga Wafiy melantunkan doa. Yalah, selama ini mana pernah dia solat bersama Wafiy. Solat sorang-sorang dalam bilik sahaja. Memang pahala solat berjemaah itu sangatlah kurang. Aduhai Hamra... Macam mana nak masuk syurga?
Hamra rasa kekok bila hendak menyambut tangan Wafiy untuk bersalaman selepas solat. Tapak tangan yang berlapik kain telekung itu menyambut juga huluran Wafiy. Wajah ditundukkan tetapi hidung Hamra tidak menyentuh pun kulit Wafiy. Cepat-cepat huluran dilepaskan.
Wafiy pula terus melipat sejadah dan keluar daripada bilik Hamra. Oh baru ingat, ini juga kali pertama Wafiy melangkah masuk ke bilik ini. Wah! Terlalu banyak peristiwa kali pertama ya?
“Hamra” Seruan tok mengusir celoteh minda.
“Ya tok. Awat? Ada apa?”
“Hamra nak masak apa pagi ni?”
Gulp!
Hamra nak masak apa?! Apalah yang ada di dapur rumah bujang ini aduhai tok... Roti dan bijirin adalah tok!
“Tok nak Hamra masak apa?” berwaspada Hamra bertanya.
“Nasi lemak ada?”

Hamra senyum kekok.

Bersambung...

Comments

Popular Posts