Fikrah Hamra Bab 19
Bab 19
“Hamra
ingat lagi dak tok cerita pasal budak perempuan
yang hilang hari tu? Budak perempuan yang tok cerita sebelum ni tu, dia balik
dah rumah mak dia. Mak dia pi ambik kat Sungai Petani sana nuh. Dah beranak dah dia”
Hamra dengar
saja neneknya bercerita sambil memberi respon yang dia sedang tekun mendengar.
“Masa tu dia habaq kat mak dia kata dia dah nikah. Mengandung
tujuh bulan. Dok tak lama lepas tu,
beranak pulak. Anak tak cukup bulan, doktor letak dalam ‘balang’ lah. Doktor
kata nak bela sampai sembilan bulan, baru boleh keluar”
Hamra faham
‘balang’ yang tok maksudkan adalah inkubator. Oleh kerana bayi yang lahir itu
tidak cukup bulan maka anak itu dimasukkan ke dalam inkubator untuk pemerhatian
doktor.
“Hamra jangan
lah buat yang bukan-bukan. Ingat lah Tuhan selalu. Jangan takut pada manusia
tapi takut lah kat Allah. Esok-esok tak lepas budak tu nanti kat akhirat dengan
Allah”
“Ya tok, Hamra dengaq”
“Kalau belajar
tu, belajar lah betul-betul. Toksah
dok buat macam-macam”
“Ya tok”
“Kesian lah mak pak budak tu. Malu dengan orang
kampung. Kalau ikut hati, ditibainya
lah budak perempuan tu. Tapi nanti mati macam tu saja lah. Nak buat apa lagi,
nak marah macam mana lagi, benda dah jadi dah pun. Budak tu bukannya bodo, budak cerdik. Tunggu nak ambil SPM
saja. Tapi jadi lagu tu. Mak pak dia
pun tak tau nak buat apa dah. Dah dia
hilang ikut jantan hari tu. Hamra ingat lah tok pesan ni, jangan dok ikut
jantan tak tau hala. Kita boleh nak berkawan, tapi kena pandai lah jaga diri.
Kalau berkawan setakat berkawan saja lah. Jangan dok ikut pi rata-rata.
Hamra ingat nah tok pesan ni?”
“Hamra ingat
tok, in shaa Allah Hamra jaga diri elok-elok”
Tok mengeluh
sendiri. Hamra tak pasti tok mengeluh mengenangkan budak perempuan itu atau
kerana lenguh mulutnya bercerita.
“Ni tok nak
sembahyang Asar, dah masuk waktu dah. Hamra boleh sembahyang dak?”
Hamra senyum
sambil menggeleng. Dalam tempoh haram solat lah tu.
Usai sahaja tok
hilang dari pandangan, Hamra mencicip teh tawar di bibir cawan. Mengeluh dalam
hati.
Hamra cuba imbas
kembali kronologi cerita yang tok sampaikan.
Kisahnya, ada
seorang remaja perempuan yang dikatakan hilang dari rumah. Gelisah si ibu dan
ayah mencari si anak gadis yang hilang. Setelah berbulan berlalu, si ibu
mendapat pesanan melalui WhatsApp yang mengatakan si gadis itu sedang berada di
Sungai Petani. Dalam pesanan itu juga dikhabarkan yang anak perempuan itu sudah
menikah dan sedang mengandung tujuh bulan. Gigih si ibu dan ayah menjemput anak
perempuan mereka yang bukan gadis lagi itu di Sungai Petani. Seminggu kemudian,
anak perempuan mereka itu bersalin tidak cukup bulan. Bayi yang lahir itu
terpaksa dimasukkan ke dalam inkubator untuk pemerhatian doktor.
Dari pandangan si ibu dan si ayah, terpaksa
mereka menerima hakikat bahawa anak perempuan yang mereka kasihi telah
membelakangkan mereka. Hancur luluh hati seorang ibu dan seorang ayah akibat
perbuatan anak mereka. Kalau diikutkan baran yang membara, hendak sahaja
dipukul anak yang memalukan keluarga itu. Tapi, apa kan daya, perkara tersebut
telah pun terjadi, masa tidak boleh diputar kembali, terpaksalah ditelan sahaja
pahit dan malu yang menggunung.
Kasihan Hamra
kepada si ibu dan si ayah. Tapi Hamra juga kasihan kepada budak perempuan itu.
Kenapa?
Bukankah
perempuan itu sudah memalukan keluarganya? Mungkin juga anak yang lahir itu
tidak sah tarafnya. Yalah, kalau sudah lari dari rumah dengan jantan, apa lagi
tanggapan yang relevan?
Hati Hamra yang
naif itu tetap melahirkan simpati kepada perempuan itu. Ya, salah perempuan itu
kerana mengikut tindakan yang melulu. Salahnya juga kerana kalah dengan nafsu.
Tapi itu dulu. Mungkin sekarang dia sudah insaf?
Ah! Kalau insaf
pun apa yang boleh diperbetulkan? Benda sudah jadi. Hendak pertahankan apa
lagi?!
Hamra bisu
dipatahkan hujahnya dengan suara diri sendiri. Pertengkaran akal dan emosi itu
nampaknya tiada kesudahan. Tiada kata putus yang pasti.
Hamra mengeluh
lagi.
Kelihatannya kanser
kebejatan sosial semakin parah menular. Semakin merebak sehingga tidak nampak
potensi untuk sembuh. Virus masalah sosial seperti tidak dapat dibendung.
Menyerang ke segenap sel-sel masyarakat. Akibatnya, tubuh negara terlantar
tenat tiada upaya. Sesak menanggung perit yang menimpa.
Aduhai!
Hamra tidak tahu
hendak bereaksi bagaimana. Dia sebenarnya tidak suka cakna akan masalah sebegini.
Bukan tidak penting, Hamra sedar betapa tenatnya negara. Tapi, Hamra tidak tahu
peranan dirinya. Apa yang dia boleh sumbangkan untuk ‘mengubati’ kanser yang
melemahkan masyarakat ini? Adakah sekadar menjaga diri sendiri daripada
terjebak? Atau ada perkara lain yang dia boleh sumbangkan?
Mengikut cerita
tok tadi, budak itu cerdik orangnya. Dengan kata lain, perempuan itu adalah
kebanggaan ibu dan ayahnya. Dia ada potensi untuk menjadi tempat ibu dan
ayahnya bergantung harap. Tapi tanpa diduga, yang berlaku adalah sebaliknya.
Harapan setiap
ibu bapa adalah melihat anaknya berjaya dalam hidup. Tidak kira lah anak itu
dibesarkan di desa atau kota, yang berharta atau papa, tetap mahukan anak
mereka mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Hati ibu bapa
mana yang tidak berkecai apabila mendapat tahu anak tersayang membuat onar. Sekalipun
hati yang berderai itu dicantum semula, manakan mampu sesempurna yang asal.
Tuhan sahajalah tempat mengadu dan merintih.
Tok sering
berpesan kepada dirinya, janganlah mengheret diri ke lembah hina. Selalu lah
ingat Allah. Jangan pernah lupa Allah sentiasa memerhati. Tok juga acap kali
bercerita tentang anak-anak kampung yang ‘terbabas’ supaya menjadi pengajaran
kepada Hamra. Betapa keluarga mereka malu menanggung beban perbuatan yang tidak
bermoral itu.
Analoginya
seperti jiran sebelah dilanda penyakit berjangkit yang boleh membawa kecacatan
kekal. Justeru, hanya menunggu masa penyakit itu menyerang rumah sendiri.
Na’uzubillah.
Janganlah virus
kebejatan moral itu menyerang ahli keluarga Hamra pula.
Apa yang Hamra
tahu, dia hanya mampu ‘menutup pintu’ supaya dia dan ahli keluarga terhindar
dari terkena penyakit itu.
Langkah yang
seterusnya untuk menyelamatkan ‘jiran-jiran’ yang lain, tiada upaya lagi untuk Hamra
praktiskan. Hanya mampu mengkuarantin diri sendiri dan keluarganya sahaja
daripada virus kebejatan itu. Hamra hanya mampu berusaha menyelamatkan ahli
keluarganya, tidak orang lain.
Dari sudut pandangan
lain, terasa seperti Hamra seorang yang pengecut. Yalah, seorang yang kecut
hatinya sahaja yang lari daripada masalah. Memang Hamra pengecut bukan?
Hamra ketap
bibir.
Apalah yang
boleh diharapkan daripada seorang gadis seperti dirinya? Walaupun belajar di institusi
pengajian tinggi, Hamra tetap seorang yang naif dan tidak boleh berdikari.
Sekalipun berada jauh dari keluarga, dia tetap tidak dapat sepenuhnya berdiri
di atas kaki sendiri. Tetap mengharapkan orang lain untuk menyokongnya.
Aduh Hamra!
Cuma yang Hamra
boleh harapkan adalah sedikit bekalan agama yang diterapkan sedari dia kecil
oleh neneknya. Tidak terkecuali ilmu yang dia cedok di sekolah agama dahulu.
Ah! Orang yang
berlatar belakangkan agama pun boleh hanyut, apatah lagi gadis naif seperti
Hamra!
Persekitaran
universiti yang tidak menitikberatkan bi’ah
solehah tidak cukup membantunya untuk terus ‘hidup’ sebagai seorang gadis
muslimah. Persekitaran yang menggalakkan komunikasi tanpa sempadan jantina atau
usia. Persekitaran yang cukup melelahkan nuraninya. Bebas dalam erti kata yang
sebenar.
Hendak tidak hendak,
Hamra terpaksa beradaptasi. Kalau tidak, dia akan tersisih.
Apakah itu
bermaksud Hamra setuju dengan indoktrinasi tersebut?
Tidak sama
sekali!
Hamra tetap
dengan pegangan yang dipasakkan ke dalam jiwanya. Yakni walau apa pun, batas
wajib dijaga. Tidak ada istilah ‘teman tapi mesra’ antara ajnabi.
Hamra sedar betapa
tidak efektif persekitaran universiti dalam membantunya menjaga hati, tapi
adakah itu alasan untuk menempah zina?
Hamra percaya
setiap masalah berpunca daripada individu itu sendiri. Persekitaran mungkin
mempengaruhi, tapi atas diri seseorang itu keputusan dibuat. Dia yang
menentukan setiap langkah dan tindakan. Tidak orang lain.
Jadi apakah
wajar persekitaran dipersalahkan sepenuhnya?
Tidak logik
bukan?
Berbalik kepada
masalah perempuan yang tok ceritakan. Mungkin juga dia bertindak demikian yakni
membelakangkan keluarga atas faktor terpengaruh dengan persekitaran.
Kawan-kawan yang kurang bermoral mungkin.
Desakan hidup?
Rasanya tidak.
Menurut cerita
tok, seperti ibu dan ayah perempuan itu yang menyara dirinya. Bukan dia
terpaksa bekerja dengan kudratnya sendiri. Jadi tidak logik kalau itu alasan
dia lari dengan lelaki bukan mahram. Kalau betul pun kerana terdesak, bagaimana
boleh timbul soal lari dari rumah? Lepas itu, minta dijemput pulang pula?
Kezaliman dalam
rumah?
Relevankah?
Hamra senyum
sinis.
Mungkin boleh
berlaku. Tapi sudah kalau si ibu dan si ayah gelisah gundah gulana ke hulu ke
hilir mencari anak yang hilang, masihkah alasan itu boleh diterima pakai? Kalau
benar terjadi kezaliman, kenapa anak itu minta dijemput pulang? Tidakkah itu
seperti kembali ke lubuk buaya?
Justeru,
hipotesis yang paling logik dek akal Hamra adalah si perempuan itu tunduk akan
nafsunya sendiri. Diri perempuan itu yang bertindak demikian atas keputusan
yang lahir daripada dirinya. Bukan paksaan orang lain.
“Maka pernahkan kamu melihat orang yang
menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan
sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta
meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapa yang mampu memberinya petunjuk
setelah Allah (membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
Dan mereka berkata, “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia
sahaja, kita mati dan kita hidup, dan tidak ada yang membinasakan kita selain
masa”. Tetapi mereka tidak mempunyai ilmu tentang itu, mereka hanyalah
menduga-duga sahaja”. (Al Jaatsiyah: 23-24)
Tapi Hamra, kalau
perempuan itu diculik dan dicabul keperempuanannya bagaimana? Bukankah itu
dakwaan besar yang menolak semua hipotesis yang dinyatakan tadi?
Hurmmm...
Tidak dinafikan.
Mungkin boleh berlaku.
Kalau begitu
kesnya, Hamra bersimpati.
Tapi...
Sampai bernikah?
Apakah ada
seorang penjenayah yang cukup berbaik hati menikahi mangsanya?
Dan kenapa perlu
tunggu sehingga berbulan sebelum menghubungi ibunya? Kenapa tidak dengan
segera? Apakah perkhidmatan telefon terlalu terhad?
Hamra kembali
senyum sinis.
Hipotesis yang
mengatakan perempuan itu diculik dan diragut mahkotanya ditolak kerana tidak
sesuai dengan bukti.
Pemerhatian
Hamra terhadap kes hampir selesai. Konklusinya, benarlah perempuan itu keluar
dari rumah dengan relanya.
Apa lagi ya yang
boleh dianalisis?
Mari kita semak
semula...
Oh ya!
Bayi yang lahir
itu!
Hamra sebenarnya
tidak sampai hati untuk membuat pemerhatian terhadap bayi itu dan membuat
konklusi.
Hati Hamra fragile bak kata orang putih. Sangat
rapuh atau mudah pecah ertinya kalau diterjemahkan kepada bahasa ibunda.
Naluri Hamra
ampuh mengatakan bayi itu tidak sah taraf. Kerana menurut perkiraan Hamra,
tempoh pernikahan dan usia bayi itu tidak sejajar. Tempoh pernikahan lebih
pendek berbanding umur anak kecil itu.
Huh!
Hamra cuma mampu
berdoa anak itu mampu berjuang sehingga stabil. Kondisi bayi yang lahir tidak
cukup bulan itu sungguh tidak normal. Kalau dia berjaya melepasi tahap
kritikal, Hamra harap anak itu tabah dalam hidupnya dan menjadi insan yang
bermanfaat untuk agamanya.
Itu saja harapan
Hamra.
“... Tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui. Mereka mengetahui yang lahir (nampak) darik kehidupan dunia;
sedangkan terhadap (kehidupan) akhirat mereka lalai” (Ar Ruum; 6-7)
Apabila teringatkan ayat itu, terus Hamra beristighfar. Pernah Hamra
terdengar sebuah hadis, seorang manusia itu bukan tukang hukum, dan bukan
tukang keji lidahnya.
Walau
apa pun hipotesis Hamra, walau seteliti mana pun pemerhatian Hamra, dia tetap
tidak dapat menafikan yang dia cuma membuat andaian daripada cerita yang dia
dengar. Sungguh dia belum dengar dari mulut si perempuan itu. Dia tidak arif
akan kejadian sebenar. Dia hanya dengar dari mulut tok dan mengambil pengajaran
daripadanya.
Hmmm...
Benarlah kalam
Allah, “janganlah kamu mendekati zina...” Sesungguhnya perbuatan itu keji dan
hina. Untuk dekat dengan zina pun Allah halang. Tentulah ada musabab yang kukuh
kenapa Allah larang. Allah lebih tahu hambaNya bukan?
Comments
Post a Comment