Fikrah Hamra Bab 17

Bab 17
“Sejak tadi I perhatikan you”
Jadi? Hamra tidak dapat menangkap arah tujuan percakapan lelaki itu.
“Dari ramai-ramai orang di sini, you yang paling menyerlah”
Hamra pandang pakaiannya. Apakah pakaiannya terlalu menyerlah? Hamra rasa dia sudah berpakaian sesopan mungkin. Apakah pakaiannya tidak menutup aurat? Oh Tuhan, Hamra bingung!
Kehadiran seorang pelayan untuk menghantar pesanan membuatkan suasana sepi mencengkam di antara mereka berdua.
Usai pelayan itu melangkah pergi, lelaki itu menongkatkan kedua-dua sikunya ke atas meja lantas ruas jemarinya menanggung dagu. Membuatkan jarak antara Hamra dan lelaki itu semakin hampir. Hamra semakin panik.
“Serius, you menarik sangat. Menarik perhatian I yang segak ni”
Lelaki ini hendak memikat atau apa? Semakin jelik lelaki itu pada pandangan Hamra.
“Apa sebenarnya yang encik mahu? Maaf, saya tak ada masa untuk bergurau”
Hamra benar-benar memaksudkannya.
“Orang lain sibuk dengan phone, sibuk berbual. You? Sibuk menelaah kitab. Rare but enticing! Yummm!”
Oh Tuhan, lelaki jenis apa dia ni?! Dan macam mana dia boleh nampak Hamra baca Al-Quran. Bukankah tempat yang Hamra duduk ini tersorok?
Hamra kalut. Sebaik sahaja terlihat kelibat Dee, terus Hamra bangun. Langkah kaki menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Pekerja yang berada di kaunter itu memandang Hamra pelik. Lantaklah Hamra rugi sekalipun, asalkan dia dapat lari daripada lelaki kurang waras itu!
Hamra melangkah daripada kaunter dengan derap kaki yang laju. Saat melepasi lelaki tadi yang seperti menunggunya di pintu masuk kafe, terasa beg tangannya ditarik. Spontan Hamra menoleh.
By the way, nama I James. Nice to meet you. We’ll meet again soon. I’ll find you
Ah, sengal!
Pantas tangan memaut lengan Dee untuk menjauh daripada kafe itu. Sepicing pun Hamra tidak menoleh ke belakang. Dee yang tidak tahu menahu tentang apa yang terjadi hanya mengikut dengan penuh tanda tanya.
Bye sweetheart!” Lelaki itu sempat melaung.
Gila! Lelaki itu memang gila! Apakah dia tidak malu dengan orang ramai? Hamra tidak mengendahkan, hanya mempercepatkan langkah.
***
“Akak, kita nak ke mana ni?” Dee bertanya.
Melihat Hamra tidak memberi respon, Dee memutar kembali kaset soalan.
“Kak Hamra, kita nak ke mana?” Kecut Dee apabila Hamra meluncur laju di atas jalan raya.
“Akak, berhenti di tepi jalan. Dee cakap berhenti akak!” Arah Dee seraya menepuk lengan Hamra kuat.
Kereta memberi isyarat ke kiri lantas berhenti. Jemari Hamra masih di stereng kereta, mata Hamra masih tertuju ke hadapan biarpun kereta telah seminit statik tidak bergerak.
“Akak, ambil  nafas dan bertenang” Pinta Dee lembut. Tangan Hamra digosok tanda cuba menenangkan emosi yang membadai.
Barulah Hamra tunduk dan menurut apa yang Dee pinta. Jemarinya luluh daripada stereng.
“Akak kenapa ni? Siapa lelaki tadi?” Dee rasa kemarahan Hamra ada kena mengena dengan lelaki yang melaungkan ‘bye sweetheart’ pada kakak angkatnya itu.
Lama sebelum Hamra menjawab. “Entah. Akak tak tahu” Perlahan suara Hamra.
“Jadi macam mana dia boleh kenal akak?” Dee bingung membaca situasi sebenar.
Hamra menjongketkan bahu.
“Sudah, tak usah fikirkan lagi. Perkara dah lepas. Akak pun tak akan jumpa dia lagi. Dah orang gila, tak layak pun untuk dimarahi” Kasar kata-kata Dee, tetapi sedikit sebanyak mengusir kemarahannya pergi. 
“Huh...” Hamra mengeluh.
Setelah semangatnya kembali pulih, Hamra mengukir senyum. Dee yang melihat pun sejuk hati.
“Akak, Dee lapar...” Dee seperti merengek.
“Alahai, kasihannya adikku ini. Kita pergi makan ya?” Rasa bersalah bercampur kasihan kepada Dee. Disebabkan situasi tidak terjangka tadi, mereka tidak dapat menjamah makanan.
Isyarat lampu ke kanan diberi. Pemanduan diteruskan.
“Dee nak tahu sesuatu tak?” Hamra berteka teki.
“Apa?”
“Sebenarnya...” Meleret suara Hamra.
“Sebenarnya?” Dee tidak sabar. Apa yang Hamra hendak beritahu? Macam rahsia sahaja!
“Sebenarnya...” Hamra masih bermain tarik tali.
“Ya, sebenarnya?” Dee mendesak.
“Sebenarnya, perut akak pun berkeriut” Selamba Hamra menuturkan.
Aduhai! Pandai pula Hamra bergurau saat-saat genting macam ni.
“Akak ni comeeel sangat!” Suara kegeraman yang tertahan-tahan. Dee tidak dapat menyembunyikan perasaan geramnya terhadap Hamra.
Senyuman geli hati tersangkut di wajah Hamra. Baguslah tu, dapat menggembirakan hati  yang masih bersisa panas.
***
“Akak tahu kenapa aku nak pakai baju ni? Pakai macam akak?” Dee bersuara merujuk kepada baju yang Hamra hadiahkan semalam.
Suapan ais kacang yang berada di mulut dikunyah dan ditelan dahulu sebelum menjawab soalan Dee.
“Kenapa?”
“Sebab aku rasa akak mesti malu jalan sebelah aku kalau aku pakai baju yang selebeh tu” Dee menguis ais kacang yang masih menimbun dengan hujung sudu. Riak wajahnya tidak gembira.
“Kenapa akak mesti malu pula?”
“Yalah, akak kan pakai tutup semua. Aku selalu pakai seluar koyak-koyak, baju pulak corak entah apa-apa”
“Jadi, Dee tak ikhlas lah ni? Dee pakai macam ni sebab akak la?” Soal Hamra jujur.
Dee menggeleng. “Waktu awal-awal memang la aku rasa menyusahkan. Tapi bila tengok akak pakai cantik pagi tadi, aku pun rasa teringin nak jadi cantik macam akak”
Oh, itu lah sebabnya Dee merenung Hamra lama pagi tadi sewaktu Hamra sedang bersiap? Dia sedang membuat pertimbangan sebenarnya.
“Macam ni, akak memang nak Dee berubah jadi lebih baik. Tapi, akak tak boleh paksa Dee. Sekalipun akak paksa, kalau bukan kehendak Dee, tak ada guna juga kan? Akak hanya boleh tunjukkan jalan, terpulang kepada Dee untuk ikut atau menyimpang”
“Aku suka macam ni. Selesa. Dan orang tak pandang aku pelik dah”
“Kenapa orang pandang pelik?”
Dee senyum lantas menunduk. “Mungkin sebab aku nampak macam sampah masyarakat kot. Ataupun penagih dadah ”
“Isy! Tak elok cakap macam tu!” Hamra tidak suka Dee merendahkan dirinya sendiri.
Dee ambil nafas. “Bila aku pakai macam ni, aku rasa macam orang hormat aku. Yang senyum pada aku pun ramai. Sebelum ni, orang nak tak nak je pandang aku. Itu belum cerita yang hina aku, yang bagi pandangan sinis kat aku”
Allah, betapa terbebannya hidup Dee.
Hamra usap lengan Dee. “Macam Dee cakap, semua tu dah lepas. Lagipun, akak kan ada sekarang? Akak akan jaga Dee”
“Hmmm...” Dee cuba senyum.
“Jadi, Dee dah faham kan kenapa kita kena tutup aurat? Kenapa perlu pakai pakaian yang sopan, yang mencerminkan agama kita. Sebab pakaian itu lah perisai kita. Perisai kat dunia, penyelamat kat akhirat”
“Maksudnya?”
“Kat dunia, pakaian yang menutup aurat jadi pelindung kita daripada fitnah dan pandangan buruk orang. Kat akhirat, kita terselamatlah daripada azab akibat tidak menutup aurat. Faham?”
“Tutup aurat tu maksudnya tutup semua bahagian tubuh sahaja ke?”
Hamra mencari dalil untuk menjawab soalan bernas Dee.
“Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang elok pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan” (Al-A’raf: 31)
“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya... Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung” (An-Nur: 31)
Rasulullah s.a.w. pernah menegur Asma’ binti Abu Bakar r.a. ketika beliau datang ke rumah Nabi s.a.w. dengan mengenakan pakaian yang agak nipis. Rasulullah s.a.w. memalingkan muka Baginda sambil berkata: “Wahai Asma’! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini ( Baginda mengisyaratkan ke muka dan tapak tangan)” (Riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi)
“Ermmm... tak juga. Menutup aurat termasuk tidak menampakkan perhiasan tubuh dan tidak berlebih-lebihan. Kalau balut satu badan sekalipun tetapi sendat, tetap tak dikira menutup aurat”

“Oh...”

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts