Fikrah Hamra Bab 16

Bab 16
Hari hujung minggu, Hamra bawa Dee ke Aman Central. Sebuah pusat membeli belah yang agak besar di kota Alor Setar. Tujuannya? Saja-saja hendak cuci mata sambil meluangkan masa besama adik baharunya itu.
Hamra pandang Dee. Hmmm... manis juga Dee ni ya? Bila Dee digayakan sebagai seorang perempuan muslimah, dia nampak lebih ayu dalam kesopanan.
Eh, Hamra tak paksa Dee! Hamra cuma... memberikan peransang yang efektif untuk Dee menjadikan dirinya lebih baik. Hamra senyum sungging penuh makna sambil menjongket kening.
Semalam, Hamra ada membelikan Dee sepasang baju dan seluar baharu. Tentulah pakaian yang mengikut selera Hamra. Hati Hamra ikhlas, tapi pemberiannya itu ada erti. Pemberian yang berserta niat yang baik, tidak salah bukan?
Berkerut dahi Dee sewaktu menerima hadiah itu. Nampak sungguh dia tidak rela. Bukan gaya Dee seluar longgar dan baju kembang berlengan panjang itu! Macam badut! Itu pandangan pertama Dee tentang hadiah Hamra.
“Bila Dee terasa nak pakai, Dee pakailah” Ringkas kata-kata Hamra.
Dee diam sambil membelek-belek baju itu. Bila dipadankan ke tubuhnya, makin banyak kerutan terzahir. Terdengar Dee mengeluh kecil. Hamra tidak ambil hati. Reaksi sebegitu sudah dijangkakan oleh Hamra. Tentulah, Dee belum biasa dengan caranya berfesyen.
Dee mengambil tempat di sebelah Hamra.
“Kenapa akak suka baju-baju macam ni?” Soal Dee naif. Ada riak tidak puas hati terbias.
“Sebab akak rasa selesa. Apa yang kita rasa selesa, tentulah kita suka pakai bukan?”
Bahkan Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab  ayat 59 bahawa hendaklah perempuan-perempuan mukmin melabuhkan pakaian mereka sehingga menutup seluruh tubuh mereka supaya mereka lebih dikenali dan tidak diganggu.
Senyap.
“Tapi aku tak suka baju macam ni” Jujur bicara Dee. Baju dan seluar itu dihulur kembali kepada Hamra.
“Apa kata Dee simpan dulu. Ini hadiah untuk Dee, buruk siku lah kalau akak ambil semula”
“Kalau aku tak nak pakai sampai bila-bila?”
“Jadi Dee peramlah baju tu sampai bila-bila” Mudah jawapan Hamra.
Pagi tadi, sewaktu Hamra sedang bersiap untuk keluar, Dee menjengah ke dalam biliknya.
“Awat tak siap lagi?” Soal Hamra pelik. Hamra sudah beritahu Dee awal-awal yang mereka berdua akan keluar hari ini, jadi kenapa Dee masih belum tukar pakaian? Masih dengan kain batiknya! Tak kan hendak keluar begitu?
Lama bebola mata Dee terarah kepada Hamra. Dee senyum sahaja. “Akak ni cantiklah” Sempat Dee memuji.
“Cepatlah tukar baju, nanti lambat sampai” Hamra mengabaikan pujian Dee tadi. Lebih menggesa Dee supaya lekas.
“Akaaakkk...” Seru Dee panjang.
“Yaaa...” Panjang juga ‘ya’ Hamra.
“Errrmmm... tak apalah” Dee bingkas bangun menuju ke biliknya.
Hamra pelik, tapi cepat-cepat dia mengusir rasa itu.
Beberapa minit kemudian, Dee datang semula. Kali ini dengan pakaian yang Hamra hadiahkan semalam tersarung di tubuhnya.
Pandangan Hamra kaku seketika. Kemudian senyum gembira memekar.   
“Aku cantik tak akak?” Wajah Dee nampak bercahaya.
“Adik akak ni cantik sangat!” Hamra benar-benar memuji.
“Cantik macam akak ke?”
“Cantik lebih dari akak. Comel sangat-sangat!”
Hamra raih Dee dalam pelukan. Dee balas pelukan Hamra erat-erat.
“Akak... nak pinjam sesuatu boleh?”
“Pinjam apa adikku?”
“Dee tak ada tudung nak pakai...” sayu suara Dee.
“Ya Allah, Dee ambil saja tudung dalam almari tu. Ambil sahaja mana yang berkenan”
“Tapi Dee tak reti pakai macam akak” Dee merujuk kepada selendang yang terbelit di kepala Hamra.
Hamra bertafakur sejenak. Kemudian, tangannya pantas menyelongkar almari.
“Nah, tudung ni sarung sahaja kat kepala. Tak payah belit-belit atau pakai pin” Hamra menghulurkan tudung sarung eksklusif kepunyaannya. Eksklusif kerana tak payah gosok, tak payah pin sana-sini. Bagi Hamra cukup mudah, tudung segera lah katakan...
Teruja sinar mata Dee membuatkan Hamra turut sama senyum lebar.
“Terima kasih akak!”
Aura seorang Hamra, Dee pun akan tunduk. Muehehe...
Jangan riak Hamra, nanti Allah tarik nikmat kau juga yang tertonggeng!
Gulp!
Okey, istighfar Hamra! Astaghfirullah al-Azim... Segala nikmat itu Allah yang beri. Membantu Dee mencari identiti sebenar juga adalah nikmat pinjaman Ilahi.
***
“Kita makan kat sini lah ya” Hamra dan Dee melangkah masuk ke dalam sebuah kafe. Selesai mengambil tempat duduk dan memesan menu, Dee meminta diri untuk ke bilik air.
Sementara menunggu Dee dan makanan untuk sampai, Hamra mengeluarkan telefonnya. Paparan aplikasi Al-Quran disentuh. Walaupun sekadar beberapa minit, Hamra rasa beberapa minit itu sangat berharga untuk diabaikan begitu sahaja.
Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita.
Pepatah Arab yang sangat terkenal itu membuatkan Hamra tidak betah untuk menunggu kosong. Lebih baik ‘bunuh’ masa dengan membaca Al-Quran. Masanya tidak terbuang, pahalanya tetap diraih.
Hamra memilih muka surat yang ditanda sebelum ini. Bacaan disambung daripada tempat terakhir Hamra menandanya.  Suara diperlahankan supaya tidak menarik perhatian umum. Cukup sekadar telinganya sahaja yang mendengar. Kedudukan meja Hamra yang agak tersorok juga membantu Hamra untuk terlindung daripada pandangan orang lain.
Selepas satu ayat dibaca, terjemahannya pula menyapa pandangan. Tujuannya supaya ayat yang dibaca itu lebih difahami dan dihadam maksudnya. Kalau ayat yang dilafaz sekadar di mulut sahaja, tentulah tidak berbekas di hati. Manfaat daripada ayat itu juga tidak dapat dimengerti dan diambil pengajaran daripadanya.
Hamra tertarik kepada terjemahan yang dibacanya lantas membuatkan minda inteleknya berfikir.
“Wahai golongan jin dan manusia! Bukankah sudah datang kepadamu rasul-rasul dari kalanganmu sendiri, mereka menyampaikan ayat-ayatKu kepadamu dan memperingatkanmu tentang pertemuan pada hari ini? Mereka menjawab, “(Ya), kami menjadi saksi atas diri kami sendiri” Tetapi mereka tertipu oleh kehidupan dunia dan mereka telah menjadi saksi atas diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang kafir. Demikianlah (para rasul diutus) kerana TuhanMu tidak akan membinasakan suatu negeri secara zalim, sedang penduduknya dalam keadaan lengah (belum tahu)” (Al-An’am: 130-131)
Hmmm... Apa pengajaran yang Allah selitkan dalam ayat ini?
Allah tidak akan menganiaya hambaNya. Dia  tidak akan datangkan azab kepada sesebuah kaum itu sekiranya mereka tidak tahu tentang sesuatu hal itu. Tetapi mereka sendiri telah mengakui bahawa utusan Allah telah datang kepada mereka dan memberi peringatan kepada mereka namun mereka mengingkarinya.
Hamra renung diri sendiri. Betapa banyak ayat-ayat Allah yang dia tahu tetapi tetap juga dia endah tak endah. Betapa banyak nikmat Allah yang telah dia dustakan.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (Ar-Rahman:13)
Dalam Hamra sibuk membasahkan hatinya dengan ayat Al-Quran, seseorang menegurnya. Seorang pemuda dengan lagak kasual terus duduk di hadapannya.
Hi missy! Mind if I sit here?
Hamra tersentak. Pandangan daripada baris ayat terus tertancap kepada wajah pemuda itu.
Hamra tidak terus menjawab. Hanya keningnya yang terjongket tinggi. Puas mengulum kata, soalan keluar daripada bibir.
“Maafkan saya, ada apa ya?” Sehabis sopan Hamra bertanya. Suara tiada langsung nada kelembutan, hanya getaran ketegasan yang dikawal bibir.
Sengih pemuda itu tidak sedikit pun melunturkan riak wajah Hamra yang serius.
“Awak ni menariklah!”

Ungkapan aneh yang membuatkan Hamra tercengang.

Comments

Popular Posts