Fikrah Hamra Bab 17
Bab 17
“Sejak tadi I perhatikan you”
Jadi? Hamra tidak dapat
menangkap arah tujuan percakapan lelaki itu.
“Dari ramai-ramai orang di
sini, you yang paling menyerlah”
Hamra pandang pakaiannya.
Apakah pakaiannya terlalu menyerlah? Hamra rasa dia sudah berpakaian sesopan
mungkin. Apakah pakaiannya tidak menutup aurat? Oh Tuhan, Hamra bingung!
Kehadiran seorang pelayan
untuk menghantar pesanan membuatkan suasana sepi mencengkam di antara mereka
berdua.
Usai pelayan itu melangkah
pergi, lelaki itu menongkatkan kedua-dua sikunya ke atas meja lantas ruas
jemarinya menanggung dagu. Membuatkan jarak antara Hamra dan lelaki itu semakin
hampir. Hamra semakin panik.
“Serius, you menarik sangat.
Menarik perhatian I yang segak ni”
Lelaki ini hendak memikat
atau apa? Semakin jelik lelaki itu pada pandangan Hamra.
“Apa sebenarnya yang encik
mahu? Maaf, saya tak ada masa untuk bergurau”
Hamra benar-benar
memaksudkannya.
“Orang lain sibuk dengan phone, sibuk berbual. You? Sibuk menelaah
kitab. Rare but enticing! Yummm!”
Oh Tuhan, lelaki jenis apa
dia ni?! Dan macam mana dia boleh nampak Hamra baca Al-Quran. Bukankah tempat
yang Hamra duduk ini tersorok?
Hamra kalut. Sebaik sahaja
terlihat kelibat Dee, terus Hamra bangun. Langkah kaki menuju ke kaunter untuk
membuat pembayaran. Pekerja yang berada di kaunter itu memandang Hamra pelik. Lantaklah
Hamra rugi sekalipun, asalkan dia dapat lari daripada lelaki kurang waras itu!
Hamra melangkah daripada
kaunter dengan derap kaki yang laju. Saat melepasi lelaki tadi yang seperti
menunggunya di pintu masuk kafe, terasa beg tangannya ditarik. Spontan Hamra
menoleh.
“By the way, nama I James. Nice
to meet you. We’ll meet again soon. I’ll find you”
Ah, sengal!
Pantas tangan memaut lengan
Dee untuk menjauh daripada kafe itu. Sepicing pun Hamra tidak menoleh ke
belakang. Dee yang tidak tahu menahu tentang apa yang terjadi hanya mengikut
dengan penuh tanda tanya.
“Bye sweetheart!” Lelaki itu sempat melaung.
Gila! Lelaki itu memang
gila! Apakah dia tidak malu dengan orang ramai? Hamra tidak mengendahkan, hanya
mempercepatkan langkah.
***
“Akak, kita nak ke mana ni?”
Dee bertanya.
Melihat Hamra tidak memberi
respon, Dee memutar kembali kaset soalan.
“Kak Hamra, kita nak ke
mana?” Kecut Dee apabila Hamra meluncur laju di atas jalan raya.
“Akak, berhenti di tepi
jalan. Dee cakap berhenti akak!” Arah Dee seraya menepuk lengan Hamra kuat.
Kereta memberi isyarat ke
kiri lantas berhenti. Jemari Hamra masih di stereng kereta, mata Hamra masih
tertuju ke hadapan biarpun kereta telah seminit statik tidak bergerak.
“Akak, ambil nafas dan bertenang” Pinta Dee lembut. Tangan
Hamra digosok tanda cuba menenangkan emosi yang membadai.
Barulah Hamra tunduk dan
menurut apa yang Dee pinta. Jemarinya luluh daripada stereng.
“Akak kenapa ni? Siapa
lelaki tadi?” Dee rasa kemarahan Hamra ada kena mengena dengan lelaki yang
melaungkan ‘bye sweetheart’ pada kakak angkatnya itu.
Lama sebelum Hamra menjawab.
“Entah. Akak tak tahu” Perlahan suara Hamra.
“Jadi macam mana dia boleh
kenal akak?” Dee bingung membaca situasi sebenar.
Hamra menjongketkan bahu.
“Sudah, tak usah fikirkan
lagi. Perkara dah lepas. Akak pun tak akan jumpa dia lagi. Dah orang gila, tak
layak pun untuk dimarahi” Kasar kata-kata Dee, tetapi sedikit sebanyak mengusir
kemarahannya pergi.
“Huh...” Hamra mengeluh.
Setelah semangatnya kembali
pulih, Hamra mengukir senyum. Dee yang melihat pun sejuk hati.
“Akak, Dee lapar...” Dee
seperti merengek.
“Alahai, kasihannya adikku
ini. Kita pergi makan ya?” Rasa bersalah bercampur kasihan kepada Dee.
Disebabkan situasi tidak terjangka tadi, mereka tidak dapat menjamah makanan.
Isyarat lampu ke kanan
diberi. Pemanduan diteruskan.
“Dee nak tahu sesuatu tak?”
Hamra berteka teki.
“Apa?”
“Sebenarnya...” Meleret
suara Hamra.
“Sebenarnya?” Dee tidak
sabar. Apa yang Hamra hendak beritahu? Macam rahsia sahaja!
“Sebenarnya...” Hamra masih
bermain tarik tali.
“Ya, sebenarnya?” Dee
mendesak.
“Sebenarnya, perut akak pun
berkeriut” Selamba Hamra menuturkan.
Aduhai! Pandai pula Hamra
bergurau saat-saat genting macam ni.
“Akak ni comeeel sangat!”
Suara kegeraman yang tertahan-tahan. Dee tidak dapat menyembunyikan perasaan
geramnya terhadap Hamra.
Senyuman geli hati
tersangkut di wajah Hamra. Baguslah tu, dapat menggembirakan hati yang masih bersisa panas.
***
“Akak tahu kenapa aku nak
pakai baju ni? Pakai macam akak?” Dee bersuara merujuk kepada baju yang Hamra
hadiahkan semalam.
Suapan ais kacang yang
berada di mulut dikunyah dan ditelan dahulu sebelum menjawab soalan Dee.
“Kenapa?”
“Sebab aku rasa akak mesti
malu jalan sebelah aku kalau aku pakai baju yang selebeh tu” Dee menguis ais
kacang yang masih menimbun dengan hujung sudu. Riak wajahnya tidak gembira.
“Kenapa akak mesti malu
pula?”
“Yalah, akak kan pakai tutup
semua. Aku selalu pakai seluar koyak-koyak, baju pulak corak entah apa-apa”
“Jadi, Dee tak ikhlas lah
ni? Dee pakai macam ni sebab akak la?” Soal Hamra jujur.
Dee menggeleng. “Waktu
awal-awal memang la aku rasa menyusahkan. Tapi bila tengok akak pakai cantik
pagi tadi, aku pun rasa teringin nak jadi cantik macam akak”
Oh, itu lah sebabnya Dee
merenung Hamra lama pagi tadi sewaktu Hamra sedang bersiap? Dia sedang membuat
pertimbangan sebenarnya.
“Macam ni, akak memang nak
Dee berubah jadi lebih baik. Tapi, akak tak boleh paksa Dee. Sekalipun akak
paksa, kalau bukan kehendak Dee, tak ada guna juga kan? Akak hanya boleh
tunjukkan jalan, terpulang kepada Dee untuk ikut atau menyimpang”
“Aku suka macam ni. Selesa.
Dan orang tak pandang aku pelik dah”
“Kenapa orang pandang pelik?”
Dee senyum lantas menunduk. “Mungkin
sebab aku nampak macam sampah masyarakat kot. Ataupun penagih dadah ”
“Isy! Tak elok cakap macam
tu!” Hamra tidak suka Dee merendahkan dirinya sendiri.
Dee ambil nafas. “Bila aku
pakai macam ni, aku rasa macam orang hormat aku. Yang senyum pada aku pun
ramai. Sebelum ni, orang nak tak nak je pandang aku. Itu belum cerita yang hina
aku, yang bagi pandangan sinis kat aku”
Allah, betapa terbebannya
hidup Dee.
Hamra usap lengan Dee. “Macam
Dee cakap, semua tu dah lepas. Lagipun, akak kan ada sekarang? Akak akan jaga
Dee”
“Hmmm...” Dee cuba senyum.
“Jadi, Dee dah faham kan
kenapa kita kena tutup aurat? Kenapa perlu pakai pakaian yang sopan, yang
mencerminkan agama kita. Sebab pakaian itu lah perisai kita. Perisai kat dunia,
penyelamat kat akhirat”
“Maksudnya?”
“Kat dunia, pakaian yang
menutup aurat jadi pelindung kita daripada fitnah dan pandangan buruk orang.
Kat akhirat, kita terselamatlah daripada azab akibat tidak menutup aurat.
Faham?”
“Tutup aurat tu maksudnya
tutup semua bahagian tubuh sahaja ke?”
Hamra mencari dalil untuk
menjawab soalan bernas Dee.
“Wahai anak cucu Adam!
Pakailah pakaianmu yang elok pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah,
tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”
(Al-A’raf: 31)
“Dan katakanlah kepada
perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya,
dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa)
terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya... Dan
janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka
sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang
beriman, agar kamu beruntung” (An-Nur: 31)
Rasulullah s.a.w. pernah
menegur Asma’ binti Abu Bakar r.a. ketika beliau datang ke rumah Nabi s.a.w. dengan
mengenakan pakaian yang agak nipis. Rasulullah s.a.w. memalingkan muka Baginda
sambil berkata: “Wahai Asma’! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak
boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini ( Baginda mengisyaratkan
ke muka dan tapak tangan)” (Riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi)
“Ermmm... tak juga. Menutup
aurat termasuk tidak menampakkan perhiasan tubuh dan tidak berlebih-lebihan.
Kalau balut satu badan sekalipun tetapi sendat, tetap tak dikira menutup aurat”
“Oh...”
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete