Fikrah Hamra Bab 7
Bab 7
“Sebab aku nampak kau baik sangat. Kau banyak tahu tentang Islam.
Kemudian beramal dan menyampaikan pula dengan ilmu yang ada” Ucap Hamra.
“Hamra, kalaulah Allah buka aib aku, pasti kau pun akan menjauhi aku
sekalipun kau sahabat baik aku”
“Sebab itu Allah suruh jaga aib sendiri dan pelihara aib orang lain juga
kan?”
“Betul tu, sahabat. Supaya kat akhirat nanti Allah lindung aib kita dari
dipertontonkan kepada semua”
Usai solat Isyak, Aisya berbaring di atas katil bersama Hamra.
“Dah lama kan kita tak berguling-guling macam ni?” Aisya berguling ke
kiri dan ke kanan. Seperti menikmati saat tersebut.
“Yalah. Sejak kita mula masuk asasi, kita jarang dapat meluangkan waktu
bersama” Sambut Hamra.
“Aisya... aku nak mengadu ni. Kebelakangan ini, aku rasa payah hendak
belajar. Aku rasa bidang yang aku ambil ni semakin susah pula. Macam mana ni?”
Hamra berbisik.
“Kau rasa macam itu? Apatah lagi aku yang baru mula ini!” Aisya ketawa.
“Kau ketawakan aku?” Hamra hendak merajuk.
Kita hendak meminta nasihat daripadanya, tapi diketawakan kita pula!
Hamra jadi tidak puas hati.
“Tidaklah. Aku ingatkan aku seorang sahaja yang menghadapi masalah
sebegitu, tetapi senior setahun aku yang seorang ini pun sama”
“Aisya! Aku serius!”
“Aku ada ayat hikmat yang boleh membantu. Kau nak tahu?”
“Ayat hikmat? Mantera ke? Kau jangan Aisya, syirik tahu?”
“Hei, positif lah sikit! Ini hadis lah. Kata-kata Rasulullah, kekasih Allah”
“Oh, ya ke?” Hamra malu kerana salah sangka. “Maaf ya sahabat, hehe”
“Kata Rasulullah, barangsiapa yang mendapat kebaikan di sisi Allah maka
dikurniakan kefahaman, iaitu pengertian dalam ilmu pengetahuan dan ilmu itu hanya
diperolehi dengan belajar”
Melihat Hamra yang seperti keliru, Aisya menyoal.
“Kau ni faham ke tidak?”
“Aku faham. Tapi kalau kau huraikan lebih lanjut, in shaa Allah aku akan
lebih faham” Hamra sengih.
Aisya mendengus sebelum menjelaskan. “Kalau kita hendak faham sesuatu
ilmu, kenalah belajar. Bak kata pepatah Melayu, yang bulat tidak datang
bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Kalau hendakkan sesuatu, kenalah
usaha. Jika mahukan kejayaan yang lebih besar, wajiblah usahanya besar juga.
Barulah adil!”
“Baiklah Cik Aisya, saya mengerti”
Hamra diam selepas itu. Aisya juga. Masing-masing merenung siling.
“Apa macam kau dengan dia sekarang?” Aisya memecah hening suasana.
“Dia? Siapa?” Hamra tidak dapat menangkap maksud Aisya.
“Suami kau lah. Si Wafiy itu”
“Oh, dia. Kami macam selalu, atau mungkin lebih teruk. Kebelakangan ini,
jarang benar kami bertemu” Jawapan Hamra jujur.
“Hmmm...” Yang terzahir daripada bibir Aisya hanya itu.
“Kau tak usah risaukan aku. Aku tidak apa-apa”
Bagaimana Aisya tidak risau? Hubungan dingin suami isteri itu sungguh
luar biasa. Apakah memang wujud pasangan lain seperti ini? Tidak setahu Aisya.
Timbul kembali rasa bersalah Aisya kerana mencadangkan pernikahan kepada
mereka. Tapi kalau tanpa tindakan yang sewajarnya, mereka akan kekal berdosa.
Orang yang tidak mencegah kemungkaran dikira bersubahat juga tahu? Berdosa!
Mencegah kemungkaran ada tiga tahap. Yakni yang pertama dengan tangan
yaitu dengan kuasa yang ada padanya. Kedua, dengan lisan yaitu dengan
menasihati si pelaku supaya meninggalkan kemungkaran . Dan yang terakhir adalah
dengan hati yaitu membenci kemungkaran itu serta berazam tidak mahu
melakukannya. Mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman.
Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah berusaha memperbaiki hubungan di
antara Hamra dan Wafiy. Hmmm, payah juga itu.
Tak kan lah mereka berdua hendak berkeadaan begitu sehingga akhir hayat?
Saling sibuk dengan urusan masing-masing?
Aisya belum terfikirkan idea yang bernas untuk membantu.
“Kau menungkan apa?” Tanya Hamra apabila Aisya diam sahaja.
“Fikirkan kau lah”
“Kan aku sudah cakap, tak usah...”
Belum habis ayat, Aisya sudah mencelah.
“Kau sahabat aku, memanglah aku kena ambil berat” Tegas Aisya.
“Suka hati kau lah. Asalkan tidak memudaratkan diri kau sudah”
Terserahlah kepada Aisya, Hamra tidak mampu menghalang.
“Kau tak ada rasa apa-apa kepada suami kau?”
Soalan cepumas daripada Aisya.
“Rasa apa?” Hamra bingung. Dia bukan pandai sangat soal hati ini.
“Iyalah. Rasa sayang ke? Rasa hendak ambil berat ke? Rasa cinta ke?”
Terbelit lidah Aisya hendak menyebut perkataan ‘cinta’. Sungguh dia tidak
biasa.
Hamra dan Aisya daripada sekolah menengah yang sama. Sekolah menengah
agama. Memang mereka tidak biasa bersosial dengan kaum berlainan jantina semasa
di sekolah. Bi’ah solehah yakni suasana Islami yang mendidik
membataskan mereka untuk berhubungan lelaki dan perempuan. Kalau pun ada yang
mencemar tradisi, mereka akan dipulaukan. Oleh itu, kebanyakannya teguh di
batasan syariat.
Saat keluar dari kepompong sekolah, ramai yang semakin hanyut dek
kejutan budaya. Di luar sekolah, tiada lagi peraturan yang menyekat. Tiada lagi
suara-suara guru yang menasihati. Cuma bekalan secebis ilmu itulah yang
dijunjung ke mana-mana. Kalau rapuh pegangannya, maka tenggelamlah ia dalam
lumpur dunia. Jika kuat pautannya, terselamatlah ia daripada fitnah yang fana.
Hamra, si gadis yang luhur budinya. Menjadi kesayangan guru-gurunya. Dia
tidak petah berbicara, tetapi ilmunya di dada. Dia tidak digeruni, tetapi
dihormati. Dia bukan anti lelaki namun dia sedang menjaga hati. Lebih takutkan
Ilahi.
Detik dia keluar dari zon selesa yakni sekolahnya, dia seperti kumbang
yang terputus talinya. Seperti ikan yang lemas di daratan. Tercungap-cungap dia
berusaha untuk terus ‘bernyawa’, namun dia tewas akhirnya. Tertawan oleh kehendak
keadaan.
Keadaan sekeliling yang berubah memaksa Hamra untuk beradaptasi. Mengkalibrasi
gaya fikirnya supaya sejajar dengan
orang lain. Lebih moden kononnya.
Hamra tetap sama pada fizikalnya, masih berlitup labuh. Tetapi mindanya
telah dicemari virus perosak. Virus modenisasi melampau yang menirmalakan
pidana. Sudah hilang sucinya.
Seorang gadis,
Rapuh hatinya,
Cetek akalnya,
Belum mengenal dunia.
Fikirnya tahu dia segala,
Namun ilmunya sejengkal cuma.
Baginya telah dia dewasa,
Tapi kudratnya belum sempurna.
Masih dia belum jauhari,
Masih dia belum mengerti,
Fitrah seorang sunti,
Hati sering mendahului.
Ilmu yang disumbat sejak sekolah menengah itu masih ada. Masih berakar
dalam jiwa seorang Hamra. Tetapi, pohonnya kering dek ketandusan siraman
rohani. Layu kerana tidak dibaja dengan kefahaman dan diberi kepedulian yang
istiqamah. Haruslah ia menjadi kontang tiada suburnya.
Bersambung...
Tinta penulis: Jemput beri komen membina!
Bila plak ni nk apdet?
ReplyDeleteBila plak ni nk apdet?
ReplyDelete