Fikrah Hamra Bab 6
Bab 6
“Ah! Jantung pisang kau panggil beta?!”
Syukur! Aisya menerima gurauannya.
“Sungguh tiada adab! Kau bakal
terkena tulah diraja yakni...” Aisya berjeda sambil menjongketkan keningnya.
“Yakni apa?”
“Menerima geletekan edisi terhad daripada Aisya!” Serentak itu tubuh
Hamra dihempap Aisya dan digeleteknya dengan jemari runcing itu. Maka
terjerit-jeritlah Hamra kegelian akan hal itu.
“Hahahaha!” Tiada ungkapan lain yang terluah oleh bibir selain ketawa
dan jeritan kegelian.
“Geletek dia! Nakal sangat kan? Tak rindu kita konon. Rasakan penangan
jemari Aisya!”
Berguling-guling Hamra di atas lantai yang berlapik karpet tebal itu.
Aisya pula masih tidak puas menjalankan ‘hukuman’.
“Ehem! Ehem!”
Suara garau yang menyapa menghentikan kedua-dua Aisya dan Hamra. Statik.
Terpaku. Mereka lupa ada orang lain di dalam rumah ini.
“Macam seronok saja. Sampai gegak gempita seluruh ruang rumah!”
Tersurat nada sinis Wafiy dalam melontarkan suara walaupun dengan wajah
tersenyum.
Seperti lipas kudung kedua-dua gadis sunti itu berdiri tegak dan
membetulkan apa yang patut.
“Wǒmen... (Kami...)”
“We’re just...”
Serentak suara Hamra dan Aisya keluar. Mereka saling berpandangan.
Kemudian masing-masing tunduk. Seperti sedang dimarahi cikgu pula. Aduhai!
“Eh, sambunglah main. Tak suruh berhenti pun...”
Hamra dan Aisya membisu dengan telapak tangan masing-masing saling
menggenggam di hadapan tubuh.
Wafiy berlalu setelah memberikan amaran senyap. Terasa bahang kemarahan
pemuda itu. Mungkin kedua-dua gadis sunti itu telah mengganggu keamanan Wafiy.
Mungkin juga Wafiy sedang tertekan dengan tesis dan kajiannya.
“Aisya...” Hamra menyeru. “Kena marah... Uhuk... Uhuk...” Hamra
merengek.
“Dahsyat!” Spontan itu yang terkeluar.
“Aku tak pernah tengok dia marah sebelum ini. Selalunya, dia diam saja.
Mungkin sebab aku jarang bertemu dengan dia kot walaupun serumah”
“Nasib badan...” Aisya mengeluh.
“Jom!” Ajak Hamra.
“Ke mana?”
Ke mana pula Hamra hendak mengajaknya waktu senja-senja begini?
“Kau rasa?”
Berteka-teki pula!
“Solat Maghrib lah! Apa lagi?”
“Oh...” Aisya sengih. “Aku rasa kita kena tegur tadi sebab bising waktu
Maghrib kot. Yalah, mak aku selalu pesan jangan bising-bising waktu senja. Tak
elok”
Hamra turut sengih. “Hmmm... patutlah”
“Jomlah masuk bilik aku, tak elok lambat-lambatkan solat kan?”
Aisya mengiyakan. “Allah pesan dalam surah Al-Ma’un ayat empat hingga
lima, maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang iaitu mereka yang
berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. Jadi, kita kenalah solat awal waktu dan
khusyuk waktu solat”
Hamra mengangguk.
“Syukur Allah kurniakan aku sahabat baik macam kau. Aku rasa tak layak
pula” Hamra merendah diri.
“Kau tahu, ada hadis tau pasal orang yang bersahabat” Aisya menimbulkan
perasaan ingin tahu Hamra.
“Iya? Apa hadis tu?”
“Ermmm... lepas solat la aku beritahu”
“Eh! Mana boleh! Nanti tak khusyuk solat aku”
Aisya ketawa. “Ish kau ni!” Pipi Hamra dicubit. “Geram aku pada kau
tahu?”
Hamra sengih. “Cepatlah kongsi! Ilmu yang baik untuk dikongsi... Dan
diamalkan”
“Rasulullah kata, tiadalah di antara dua orang yang bersahabat kecuali
siapa yang lebih menghargai sahabatnya maka dialah yang lebih disukai oleh
Allah s.w.t.”
“Hmmm...” Hamra terangguk-angguk. “Maksudnya?”
Aisya cubit pipi Hamra lagi. Sempat Hamra mengaduh dan menggosok-gosok
pipinya kasar.
“Contohnya, kau dan aku. Kita bersahabat. Kalau kau lebih menghargai
aku, lebih sayangkan aku, berbanding aku sayangkan kau, maka Allah lebih
sukakan kau lah. Begitu juga sebaliknya. Hadis tadi menyarankan sesiapa yang
bersahabat untuk saling menghargai dan menyayangi, demi meraih kasih sayang
Allah”
“Baiklah sahabat kesayanganku Aisya, aku faham. Aku akan berusaha untuk
lebih menghargai kau, supaya aku yang lebih disayangi Allah”
Aisya hanya senyum.
Selepas berwudhuk dan menutup aurat dengan sempurna, masing-masing di
tikar sujud.
“Silalah Ustazah Aisya untuk menjadi imam” Hamra mempersilakan dengan
gaya tangannya sekali.
“Eh, asyik aku sahaja yang jadi imam. Kau bila pula? Kau lah imamkan
kali ini”
“Hehe, aku...” Hamra tidak tahu hendak jawab apa. “Ustazah kata dulu, Rasulullah
bersabda, yang berhak menjadi imam sesuatu kaum ketika solat ialah yang terbaik
bacaannya terhadap Al-Quran. Kau kan fasih baca Al-Quran berbanding aku, lebih
banyak hafazan daripada aku. Jadi, kau lah yang lebih layak”
“Hmmm... Yalah...” Aisya pasrah.
Aisya melangkah ke hadapan sedikit daripada Hamra, tanda dia yang
mengimamkan. Solat untuk jemaah sesama perempuan tidak perlu imamnya terlalu ke
hadapan. Memadai setapak ke hadapan berbanding saf makmum.
“Aisya, baca surah pendek-pendek saja tau” Hamra berpesan.
“Hmmm...” Aisya hendak menyambung kata, tetapi ditangguhkan dahulu demi
solat.
Mereka berdua pun solat berjemaah, bersujud kepada Pencipta. Dalam
solat, ada disiplin pergerakan tertentu yang memberi manfaat kepada orang yang
bersolat. Rugilah kepada sesiapa yang mensia-siakannya. Sebab itu Allah
melarang kita lalai dalam solat.
Setelah salam diberi, dan doa dibaca, Aisya berkata sesuatu yang
menyentakkan Hamra.
“Orang yang solat pun boleh masuk neraka tau”
“Astaghfirullah. Iya?!”
Aisya mengangguk. “Sebab lalaikan solat”
“Kalau orang yang solat pun berkemungkinan masuk neraka, apatah lagi
orang yang meninggalkan solat kan?” Lurus Hamra bertanya.
“Wallahu a’lam. Allah bukan suruh solat sahaja, tetapi fokus dalam solat
juga”
Hamra diam mendengar.
“Dalam surah Maryam, Allah berkalam bahawa mereka yang melalaikan solat
serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat akan menghadapi azab di dalam
neraka”
Tiba-tiba Hamra rasa terpukul.
Aisya yang perasan akan hal itu pantas mengusap lengan Hamra. Seperti
ternampak mata Hamra yang berkaca.
“Solat ni sangat berkait rapat dengan tingkah laku manusia. Kalau solat
dia elok sempurna, maka akhlaknya juga akan mahmudah. Jauh dari maksiat. Jauh
dari perkara buruk”
“Aisya...” Hamra mula teresak-esak. “Aku banyak dosa. Aku malu pada
Allah. Aku takut”
“Allah berfirman dalam hadis Qudsi bahawa Dia bersama orang-orang yang
menyesali dirinya kerana takut kepadaNya”
“Mahu ke Allah ampunkan aku? Dosa aku banyak gila” Hamra meratap.
“Rasulullah kata, kalaupun seseorang itu berbuat dosa hingga ke langit,
kemudian dia bertaubat nescaya Allah memberi ampun kepadanya”
“Jadi, alasan apa lagi yang tinggal?” soal Aisya.
“Tak ada” Lambat-lambat Hamra menjawab.
“Dalam dunia ni, ramai yang sedar mereka buat silap. Tapi disebabkan
malu bertaubat pada Allah, mereka terus-terusan buat keburukan yang sama.
Hasilnya, kehidupan mereka tetap bergelumang dalam najis dosa”
Aisya berjeda sebelum menyambung.
Kita bukan maksum seperti para Rasul dan nabi. Kita manusia biasa yang
sentiasa buat silap. Tapi fitrah itu tidak boleh dijadikan hujah untuk terus
melakukan maksiat. Bila buat khilaf, kena bertaubat. Kalau bertaubat, kena
taubat sungguh-sungguh yakni taubat nasuha. Syarat taubat nasuha adalah
menyesali perbuatan dan berazam untuk tidak buat dosa itu lagi. Ada faham?”
Hamra senyum dan mengangguk.
“Kau tentu tak banyak buat dosa kan?” Soalan spontan daripada Hamra.
Bersambung...
Tinta penulis: Kalau ada yang salah atau keliru, mohon diberitahu. Sebarang komen membina amat dialukan. :)
Comments
Post a Comment