Fikrah Hamra Bab 8

Bab 8
“Hamra? Hei, kenapa ini?” Tegur Wafiy apabila melihat Hamra basah pipinya dengan air mata.
Pada sunyi pagi itu, seorang gadis sedang bermuram durja setelah menerima panggilan daripada tanah airnya.
“Tok... sakit...” Sepatah-sepatah perkataan keluar daripada bibir munggil Hamra.
“Sakit apa?”
“Aku nak balik Malaysia. Sekarang juga!” Hamra hampir menjerit.
Gila!
Sudahlah tidak menjawab pertanyaan Wafiy, kenyataan tidak masuk akal itu pula yang terpacul dari lidahnya.
Wafiy mengetap gigi. Geram. Hamra yang mula merengek itu tampak sungguh menjengkelkan.
“Aku tanya kenapa dengan tok? Sakit apa?” Wafiy bertanya soalan yang sama. Nada suara cuba dikawal sebaiknya.
“Tok sakitlah! Itu pun tak faham?! Aku nak balik Malaysia sekarang!” Terus Hamra bangun dan menonong ke biliknya. Kedengaran pintu bilik dihempas kuat.
Wafiy tersentak. Dijerkah sedemikian rupa, apa salahnya?
Pelik. Hamra semakin pelik kebelakangan ini.
Emosi yang tidak terduga, bagaikan cuaca yang sekejap mendung sekejap terik.  Kadangkala ribut taufan pun boleh melanda pada hari yang cerah. Cuaca wajah yang tidak tertafsir oleh jabatan ramalan perasaan.
Wafiy cuba bertenang. Mungkin Hamra sedang tertekan. Nenek kesayangan sedang sakit. Barangkali fikirannya sedang diamuk emosi. Kurang waras hendaknya.
‘Tapi kalau iya pun, tak usahlah...’
Walau bagaimanapun ditenteramkan perasaan Wafiy, hati kecilnya tetap memberontak akan perbuatan Hamra.
Sudah fitrah manusia yang sering disalut rasa tidak puas hati. Sayang macam mana pun, rapat bagaikan kuku dengan isi sekalipun, perasaan tidak senang itu pastinya wujud biarpun sekelumit. Cuma, bagaimana cara kita mengawalnya itu yang utama. Fitrah tetap fitrah, yang mampu diubah adalah fikrah. Fikrah yakni gaya fikir yang memutuskan pilihan mana yang harus dijalani.
Mungkin solusi yang baik adalah berlembut dengan Hamra. Orang yang fikirannya tidak waras itu tidak boleh diambil hati dengannya. Nanti sama-sama tidak waras pula.
Heh!
Kalaulah Hamra tahu Wafiy menggelarnya orang tidak waras...
Pintu bilik Hamra diketuk perlahan.
“Hamra...” Panggil Wafiy lembut.
Satu saat...
Dua saat...
Pintu terkuak. Terjengul wajah Hamra yang buntu dalam kesedihan.
“Wafiy...” Suara serak Hamra menyeru.
Tubuh tegap Wafiy diraih pantas.
Sekarang, Wafiy pula yang keliru!
“Errr... Hamra?”
Minda Wafiy tidak dapat menyusun ayat yang lengkap. Wafiy panik!
Ini kali pertama dia dipeluk seorang gadis ajnabi. Rasa kekok. Rasa panas tubuhnya.
“Wafiy... Isk... Isk...” Apabila Hamra menyembamkan wajah kepada bahunya, Wafiy jadi terkaku. Terasa lembik lututnya.
“Wafiy... Nenek... Aku nak balik Malaysia...” Dengan mata berkaca, wajah Wafiy dipandang.
Gulp!
Liur ditelan kesat.
Wafiy kini sedang memandang sisi lemah seorang Hamra. Seorang gadis yang sensitif dan mudah tersetuh. Sangat ‘mudah pecah’. Sangat naif. Sangat mengundang simpati.
“Hamra...” Wafiy menarik nafas dalam-dalam.
Akal perlu bijak, hati perlu kuat!
“Jom duduk dulu? Kita bincang ya?” Wafiy menarik tubuh Hamra yang longlai itu ke katil, tempat paling dekat untuk melabuhkan duduk.
Tapi, kenapa Hamra masih belum melepaskan lengannya?
Wafiy berdehem memberi isyarat. Respon Hamra cuma pandangan kosong tidak mengerti. Lebih menyentakkan apabila bahu Wafiy menjadi tempat Hamra menongkatkan kepala.
Aduh Hamra!
Wafiy menarik nafas demi bertenang. Mungkin Hamra masih belum ‘waras’. Ya, memang dia belum waras!
“Cuba kau cerita pada aku situasi sebenar”
Belum sempat Hamra membuka mulut, Wafiy mencelah.
“Dan cuba jangan masukkan unsur jerkahan, sinisan dan yang setaraf dengannya. Boleh?” Sempat Wafiy memerli.
Namun seperti perlian itu terlalu tumpul untuk menusuk jantung Hamra. Atau barangkali hati Hamra sudah seperti wap air yang tidak dapat dicalarkan oleh apa-apa objek sekalipun. Terlalu nipis dan tidak pasti.
“Mak cik telefon, tok rebah waktu melawat kebun. Bila bawa ke hospital, doktor kata tok ada masalah jantung. Aku risau”
Hamra terus bercerita tanpa memberi respon kepada perlian Wafiy.
“Aku nak balik jaga tok. Aku ada tok saja” Suara serak Hamra sedang menahan air mata.
“Pelajaran kau macam mana? Kajian kau?”
Bila Hamra kata dia hendak balik, tentulah Hamra maksudkan untuk tempoh yang lama. Atau mungkin dia tak akan kembali lagi ke sini.
“Aku...” Hamra mengesat air mata dengan belakang tangannya.
“Tok lagi penting. Aku akan fikirkan nanti pasal tu”
Wafiy hanya diam. Kalau dia berkata apa pun, tekad Hamra itu tetap muktamad tertanam. Tidak mampu dialihkan, apatah lagi digoncang. Seperti pohon yang telah berakar teguh, mantap dan utuh.
“Kalau kau dah nekad...” Wafiy mengeluh.
Bukan Wafiy tidak kasihankan tok, tetapi Wafiy rasa meninggalkan pelajaran dan kajian yang telah lebih separuh jalan itu suatu  pembaziran.
“Mungkin aku akan sambung kajian aku di  Malaysia?” Hamra mengutarakan harapan.
“Mungkin”
Wafiy tahu hal itu tidak pasti dan agak sukar. Bukan faktor kemudahan teknologi sahaja, tetapi faktor masa juga. Tentulah nanti perhatian Hamra akan lebih kepada tok, hal kajiannya itu mungkin di tempat kedua atau ketiga. Atau barangkali lebih rendah anak tangganya daripada itu. Banyak lagi urusan yang menuntut fokus Hamra apabila dia tidak lagi bergelar pelajar postgraduate sepenuh masa. Sungguh, waktunya kian terbatas.
Impian Hamra untuk bergelar doktor falsafah pada usia muda akan tertangguh. Atau mungkin tidak akan terlaksana pun.
Bukan Wafiy mengongkong, tapi perspektifnya berbeza. Sudut lihatnya lain.
“Kau izinkan bukan?” Tanya Hamra penuh pengharapan.
Hamra bukan jahil sangat. Dia cuma... tidak peduli. Itu sahaja. Tapi setelah ‘dibasuh’ fikirannya oleh Aisya, Hamra mahu lebih diberkati.
Aisya pernah kata,
Rasulullah bersabda, “Apabila seseorang isteri itu  menunaikan solat fardhu yang lima, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya maka akan dikatakan kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu sukai” (Riwayat Ahmad). 
Jelas di sini, ketaatan kepada suami itu signifikan. Ketaatan juga bermaksud melakukan sesuatu hanya dengan keizinan suami. Walaupun Wafiy itu suami yang Hamra tidak ambil berat, dia tetap sah dengan jawatan itu.
Wafiy pandang Hamra. Lama.
Hamra yang pada mulanya nampak yakin semakin tunduk pandangannya.
“Kau... tak setuju?”
“Kalau kau rasa itu yang terbaik, aku hendak kata apa lagi” Wafiy pandang pintu bilik. Seolah-olah tidak mahu bertembung mata dengan Hamra.
“Kalau kau betul-betul tak bagi, aku tak akan pergi” Hamra sebak. Rasa berat dadanya. Air mata yang telah kering memenuhi empangan semula.
Hamra hendak memberontak. Tok sangat penting padanya. Tapi, Aisya kata dia perlu hormatkan suaminya dahulu. Tok pun pernah pesan begitu.
Jadi Hamra hanya ada satu pilihan.
“Aku memang tak mahu kau balik, tapi aku pun sayangkan tok” Terdengar sahaja Wafiy berkata demikian, terus lengan Wafiy dipeluk kejap.
“Terima kasih. Sayang awak!”
Mungkin Hamra sengaja. Atau sebenarnya dia terlepas cakap?
Wafiy kawal riak wajah.
“Hmmm... sama-sama”

Wafiy ada sebab lain untuk menghalang Hamra pulang ke Malaysia. Namun sebab itu masih belum pasti.

Comments

Popular Posts