Yamna 5

5
Hati Yamna mendongkol. Kalau pelanggan seperti ini, dilepaskan pun tidak mengapa. Menyukarkan sahaja. Perit tahu, hati ini? Hendak dipelihara lagi, dikawal lagi supaya sentiasa tunduk. Patuh pada syariat.

Hendak menengking, bukan akhlak yang mulia. Sikap mazmumah. Perlu menjaga imej Muslimah, perlu berakhlak mahmudah. Allah suka, diri terpelihara. Lagipun, Yamna bukan seorang yang kasar. Dirinya dikenali sebagai seorang yang sopan dan lembut tuturnya. Guru-guru senang dengan peribadinya, pelajar-pelajar hormat akan kelebihannya.

Perlu menjaga pandangan umum lagi. Kalau ada yang menyaksikan situasi genting yang tidak menyenangkan tadi, serta menganggap yang tidak-tidak, tentunya menjatuhkan imej Yamna yang penuh dengan adab dan Aniq yang bijak bestari; yang masing-masing kedua-duanya tegas menjaga ikhtilat, lantas merosakkan imej sekolah. ‘Pengawas pusat sumber dan pengawas sekolah bermain kata?’  Nauzubillah!

Dan yang utama, Aniq Sufyan itu bukan sembarangan orang. Ya, dia pengawas sekolah. Perlu dihormati kerana jawatannya; selagi dalam batasan syariat.

 Lebih penting lagi, dia Ketua Pengawas. Masyhur di kalangan warga sekolah, Aniq Sufyan seorang yang berdisiplin, amanah, tegas dan komited dengan tugasnya. Kalau sampai ke telinga umum, berita yang kurang enak, habislah tercalar kredibilitinya. Oh, janganlah!

Tambahan lagi peri pentingnya, Aniq itu punya jawatan yang lebih besar di mata Yamna. Aniq adalah ketua rumahtangga. Maka, lebih besarlah kehormatan Yamna kepada Aniq sewajibnya. Benar bukan? Ya, benar sesungguhnya!

Astaghfirullah! Semoga kejadian tadi tidak menjejaskan kehormatan Yamna terhadap Aniq.

Loceng sekolah sudah berbunyi bising. Waktu rehat sudah tamat. Yamna perlu kembali ke kelas. Subjek Biologi akan menyusul. Ah, buku-buku Biologi masih di kelas!

Pembelajaran subjek Biologi diadakan di makmal Biologi. Kelas Yamna di tingkat tiga. Kena panjat tangga lagi lah. Aduh, lelahnya menuntut ilmu!

Hendak tidak hendak, dipaksa juga kaki menaiki tangga, menuju ke kelas yang dirasakan begitu jauh. Kemudian turun pula ke tingkat satu di mana makmal Biologi terletak.

Cikgu Luthfiah sudah menunggu untuk memulakan pengajaran. Yamna memohon maaf atas kelewatannya. Ramai lagi yang masih belum berada di kelas. Agaknya masih leka di kantin atau di koperasi sekolah. Entahlah.

Tepat jam 11.35 pagi, yakni  selepas lima minit waktu rehat tamat, Cikgu Luthfiah memulakan proses pengajaran. Cikgu sudah berpesan pada awal tahun, jangan ada sesiapa yang lambat masuk ke kelasnya. Beliau hanya akan menunggu untuk lima minit sahaja selepas loceng berbunyi yang menandakan peralihan masa.

Guru Biologi yang sudah berusia ini memang tidak berkompromi dengan masa. Perkara yang selalu ditekankan kepada pelajar adalah ketepatan waktu. ‘Masa ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu’. Peribahasa Arab yang selalu menjadi mutiara yang terzahir dari bibir guru yang tegas tetapi mesra dengan pelajar ini.

“Topik kita hari ini masih dalam tajuk Inheritance, tentang Blood Group” Cikgu Luthfiah berjeda sebentar.
“Siapa kat sini jenis darah A?” Cikgu bertanya lagi.

                Beberapa pelajar mengangkat tangan termasuk Yamna. Cikgu menyoal lagi sehingga habis semua jenis darah disebutnya.

“Siapa yang tak tahu apa jenis darah sendiri?” sebilangan pelajar mengangkat tangan dengan teragak-agak.
           
     Dalam pada sibuk cikgu bersoal jawab, kedengaran salam diberi. Semua mata berkalih kepada si pemberi salam. Wafiq.

“Waalaikumsalam. Ya Wafiq, lambat masuk? Berapa pinggan makan di kantin tadi sampai tak ingat kelas saya?” jelas cikgu memerli. Cikgu Luthfiah memang terkenal dengan sikapnya yang satu itu, memerli apabila pelajar melakukan kesalahan. Pedas dan menusuk qalbu.


Beberapa pelajar tersenyum-senyum kelucuan melihat muka Wafiq yang tersengih-sengih akibat malu. Wafiq berlalu ke tempatnya. Setelah itu, cikgu meneruskan sesi pengajaran.

Bersambung...

Comments

  1. Rindu kelas Bio kat sekolah.. :'(
    # btw, lama tggu ni, semangat berkobar - kobar nak baca.. kehkeh

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts