Fikrah Hamra Bab 9
Bab 9
“Kirimkan
salam aku pada tok” Wafiy berpesan.
“Ya, in shaa Allah. Lagi?”
“Itu sahaja”
Jeda.
“Jadi... Selamat tinggal?” Kekok lidah Hamra menuturkan.
Wafiy nampak keliru seketika sebelum membalas.
“Ya. Selamat tinggal, Hamra”
Masing-masing Hamra dan Wafiy tidak tahu apa
yang harus diucapkan. Kata-kata perpisahan? Wajarkah?
“Aku... pergi dulu” Selepas mengangguk
hormat, Hamra menyeret beg besarnya perlahan-lahan menjauhi Wafiy menuju balai
perlepasan.
Hati Hamra, entahlah. Hamra tidak tahu apa
yang menjerut tangkai hatinya. Rasa berat? Rasa sedih? Mungkin. Entahlah, Hamra
sendiri kurang pasti.
Apakah dia akan bertemu
Wafiy lagi?
Perlukah Hamra menunggu
Wafiy di Malaysia?
Sampai bila Hamra harus
menunggu?
Persoalan-persoalan aneh
menghurung minda Hamra.
Dan Hamra tetap isteri Wafiy
kan?
Perkahwinan antara Wafiy dan
Hamra adalah supaya mereka berdua ‘halal’ serumah. Jadi apabila Hamra sudah
pulang ke Malaysia, bagaimana pula?
Wafiy tidak pula menimbulkan
soal itu. Dan Hamra pun hanya mengunci mulut, tidak bertanya.
Sepanjang di awangan, Hamra
hanya merenung ke luar jendela. Melihat awan putih yang sama tingginya dengan
kapal terbang. Entah apalah yang bakal berlaku di Malaysia.
Hendak tidur pun Hamra rasa
tidak lelap. Berat matanya tidak seberat hatinya. Seperti sesuatu yang
tertinggal. Tapi apa?
Beg tangan yang dipeluk
digeledah. Niatnya hendak mencari apa-apa yang boleh mengisi kekosongan waktu.
Dalam Hamra tercari-cari, mata Hamra menjumpai sesuatu. Bukan sesuatu yang
dicari pastinya.
Sebuah bekas baldu yang
berwarna merah dicapai. Dahi Hamra berkerut. Sejak bila bekas berwarna merah
ini ada?
Perlahan-lahan bekas itu
dibuka. Seutas rantai tangan emas menyapa mata. Rantai tangan yang mempunyai batu-batu berlainan warna. Rantai
yang mempunyai batu-batu kecil yang bergantungan. Rantai tangan yang tidak sarat,
tetapi menampakkan aura keluhuran yang menawan. Simple yet enticing.
Hamra tidak tahu bagaimana
bekas berisi rantai itu boleh berada di dalam beg tangannya. Siapa yang punya?
Sekeping kertas kecil
terselit bersama bekas itu. Mungkin Hamra boleh tahu siapa empunya angkara?
‘Kita tetap housemate, okay?’ -Wafiy-
Sah!
Hanya seorang Wafiy sahaja
yang Hamra kenal. Dan entah bila pula Wafiy memasukkan hadiah tersebut, Hamra
kurang pasti.
Apa yang Hamra rasa
sekarang?
Gembira?
Sedih?
Hmmm... Hamra sendiri kurang
yakin dengan perasaannya. Apakah dia patut gembira? Atau patut menangis
kesedihan?
Wajah Hamra kosong. Tanda
dia tiada emosi yang ingin dipaparkan. Pemberian itu hanya sekadar pemberian.
Tiada erti apa-apa.
Atau mungkin pemberian itu
tanda kenangan dari Wafiy. Tanda perpisahan agaknya?
Sudahlah, Hamra malas hendak
kusutkan fikiran. Kepala disandarkan. Kalau tidak lelap pun tidak apa lah.
Asalkan Hamra boleh bertenang.
***
“Cucu tok dah balik!” Tok
yang sedang berada di luar rumah seakan menjerit apabila terlihat kelibat
Hamra. Tersangat gembira agaknya, cucu kesayangan sudah pulang.
Hamra dan tok saling
berpelukan. Erat. Kerinduan antara satu sama lain tidak puas rasanya hanya
dengan pelukan itu.
“Awat tak bagitau tok,
Hamra nak balik?”
Wah! Terubat rindu rasanya
apabila dapat mendengar loghat sendiri.
“Saja lah. Awat, tok tak mau Hamra balik ka?” Soalan yang tidak perlu dijawab pun daripada Hamra.
“Dak aih. Tok rindu la kat cucu tok ni. Cucu kesayangan tok...”
Sambil-sambil itu, sempat tok mencubit manja Hamra.
Hamra hanya ketawa geli.
“Jom lekaih ! Kita masuk dapuq,
tolong tok masak na?” Tok paut lengan
Hamra.
“Ala tok... Hamra penat ni.
Nanti la... Boleh dak?” Hamra buat
muka meraih simpati.
“Kesiannya cucu tok... Tak pa, Hamra teman tok ja. Okay?”
Hamra mengangguk sambil
menaikkan ibu jari. Sengihan jelas terpampang pada wajah. Sengihan kemenangan.
Nakal juga Hamra ni!
‘Lagipun, Hamra tak pandai
masak la tok. Hehe...’
Mujurlah itu hanya monolog
dalaman, tidak didengari tok. Kalau tidak, tentu dipaksanya Hamra untuk
‘berperang’ di dapur juga.
Setelah Hamra meletakkan bagasinya
ke dalam bilik, Hamra keluar semula sambil menyanggul rambut. Kononnya seperti
hendak buat kerja, tapi ‘melangut’ sahaja.
“Pi ambik daun kunyit sat. Kat
belakang rumah, alik ‘tayatuh’. Pisau dok
tepi sinki tu” Tok mengarah.
Hah!
‘Tayatuh’?
“Tok kata apa? Hamra tak
faham la” Hamra buat mimik muka bingung.
Memang Hamra tak faham pun!
“Aduhai cucu tok...!” Tok
menggeleng. “Pergi ambil daun kunyit
sekejap. Di belakang rumah, di sebelah kiri. Pisau di tepi sinki, ya. Faham?”
Tudia! Tok bercakap dalam bahasa baku!
Hamra sengih sambil
mengangguk. Pisau dicapai. Selipar disarung ke kaki.
Tapi...
“Ermmm, tok... Daun kunyit
tu macam mana?” Hamra terhenti di bendul menghala ke belakang rumah.
“Daun kunyit pun dah tak kenai?” Tok menggeleng. “Mai tok nak tunjuk. Pi belajaq jauh-jauh,
daun kunyit pun dah lupa?”
Hamra cuma tayang gigi.
“Bukan Hamra pi belajaq
pasai pokok ka dulu? Belajaq apa? Bi... Bi.. Biloji?”
“Biologi, tok. Tu dulu... La ni Hamra belajaq pasai
binatang pulak. Dah lupa dah pasai pokok” Hamra cuba tutup kesalahan.
“Tak boleh la macam tu. Apa yang kita belajaq, kena la ingat. Tak boleh dok
buat lupa gitu. Ilmu ni kena la amai selalu, satgi lupa”
“Ya lah tok. Hamra ingat tok
pesan”
“Baguih cucu tok ni!”
“Tok, ‘tayatuh’ tu apa?”
Soal Hamra sekembalinya dari belakang rumah dengan daun kunyit di tangan.
“Maksudnya, belah matahari
jatuh” Tanpa memandang Hamra, tok menjawab.
“Kenapa tok sebut belah
matahari jatuh? Kan senang sebut belah kiri saja?”
“Matahari kan jatuh sebelah
barat. Kalau kita menghadap utara, barat kan belah kiri kita. Orang dulu-dulu
tak sebut kiri kanan ni, depa kalau
nak pi mana-mana, tengok belah matahari dok
tang mana. Belah matahari naik ka
matahari turun”
Hamra mengangguk-angguk
mendengar penjelasan tok.
‘Tayatuh’. Matahari jatuh.
Hmmm... Agak ‘berpintal’
maknanya. Berseni sungguh orang terdahulu. Hanya ingin menunjukkan arah, tetapi
dikaitkan dengan fenomena alam.
Comments
Post a Comment