Fikrah Hamra Bab 18

Bab 18
“Sungguh, bangun malam itu lebih kuat yakni dengan mengisi jiwa; dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Surah Al-Muzammil ayat keenam” Suara imam memberi tazkirah pendek bergema di masjid kampung itu.
Hamra menyemak ayat yang dibacakan pada Al-Quran terjemahan yang dibawanya. Kepalanya terangguk sedikit tanda mencerna butir bicara tuan imam.
“Bangun malam ni apa tuan-tuan? Saja-saja syok bangun ka bangun pi bilik ayaq ka?”
Ada beberapa jemaah yang senyum kecil dengan lawak tak jadi tok imam. Hamra hanya geleng kepala.
 “Apa sebenarnya yang Allah maksudkan dengan bangun malam ni? Tuan-tuan, erti bangun malam ni adalah bangun untuk beribadat kepada Allah. Waktu ni, kita disarankan untuk bersolat tahajjud, membaca Al-Quran, hatta dengan membaca doa pendek pun Allah terima”
Tok imam membacakan hadis yang terdapat pada kitab.
“Tidak ada sesuatupun yang lebih dihormati oleh Allah s.w.t. selain dari doa” – Riwayat Tarmizi, Ahmad dan Hakim.
Jeda. Tok imam mengerling kitab di atas rehal. Kemudian kembali memberi tumpuan kepada jemaah.
“Allah tau kita ni waktu siang sibuk dengan bendang, dengan dusun, kebun getah... Macam-macamlah! Tambah-tambah lagi musim durian ni. Dok pi tunggu buah durian luruh, kalau tak pi tunggu monyet mai angkut pulak. Tu tak sebut lagi ‘monyet’ yang pederaih motor curi durian orang!” Nampak benar tok imam sedang meluahkan perasaan geram. Pengalaman peribadi mungkin.
“Lepas musim durian, musim cempedak pulak. Haish! Hat tu pun kena tunggu jugak, takut diangkut monyet tu la” Tok imam mengambil nafas. “Jadi sebab tu la Allah suruh kita luangkan masa sebahagian malam kita untuk Dia. Dalam ayat kemudiannya, Allah suruh kita beribadat dengan sepenuh hati. Jangan sambil lewa. Waktu sebahagian malam ni lah antara waktu mustajab doa. Mintalah, hajatlah apa-apa yang kita nak, dengan izinNya akan diperkenankan”
“Apabila berdoa salah seorang di antara kamu, maka bersungguh-sungguhlah dalam permintaanmu, jangan meminta secara sambil lewa” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Fokus Hamra sedikit terganggu dengan Dee yang leka membelek telefon. Hurm, macam mana ya nak tegur? Kalau salah cara nanti lain pula jadinya.
Hamra pandang Al-Quran. Pernah Hamra dengar, Al-Quran punya jawapan bagi setiap persoalan. Bagaimana ya?
Dari surah al-Muzammil, mata Hamra tertancap pada muka surat sebelah kanan. Surah Al-Jinn. Hamra baca terjemahan ayat satu per satu. Ayat kelapan belas dari surah Al-Jinn itu memukau kornea mata Hamra.
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah untuk Allah. Maka janganlah kamu menyembah apa pun di dalamnya selain Allah”
Subhanallah! Terus dapat wahyu!
Hehe... Tahulah Hamra nak belai macam mana nanti.
***
Ramai jemaah beransur keluar dari masjid setelah selesai solat Isyak. Tidak terkecuali Hamra bersama tok dan Dee. Trio bertelekung. Bunyi macam comel kan?
“Mai dengan kereta ka? Selalunya jalan kaki ja” Bilal menegur. Pak cik yang berwajah garang tetapi peramah.
“Hamra ni la. Dia risau aku tak larat jalan. Aku kata tak apa, dekat ja. Dia yang lebih-lebih paksa aku naik kereta”
“Sayang hang kat tok hang noh?” Soalan untuk si gadis.
“Sayang la, tok ni ja yang ada” Hamra balas sambil peluk tok erat. Tok memberi respon dengan meletakkan tangannya di atas tangan Hamra.
“Manja Hamra ni noh?”
“Manja dengan tok ja” Pipi tok ditonyoh dengan pipi Hamra sendiri.
“Ni sapa pulak?” Mulut dijuih kepada Dee. “Tak pernah nampak pun?”
“Ni adik angkat Hamra, dia dok rumah la ni” Tok menjawab bagi pihak Hamra.
“Assalamualaikum pak cik” Dee menyapa dengan hormat.
“Eh, waalaikumsalam warahmatullah” Bilal tayang gigi palsunya.
Perhatian kembali kepada tok. “Ni aku nak tanya, aku ni tanya bagi pihak orang ja” Bilal menghembus nafas. “Hamra ni ada orang dak lagi?”
Dengan bahasa mudahnya, bilal bertanya Hamra sudah berpunya atau belum.
Hamra tidak tahu hendak gulp atau gasp. Hamra hendak telan liur atau tarik nafas?
Tok senyum. “Dia ada orang dah. Awat, sapa tanya?”
“Adalah. Yang penting bukan aku sendiri lah” Aduh, buat jenaka berat pulak bilal ni!
***
Sampai sahaja di rumah, Hamra mengekori Dee ke bilik. Dee yang baru menanggalkan telekung menoleh sambil bertanya tanpa suara.
Hamra senyum. Sebuah misi untuk dijayakan. Misi untuk ‘membelai’ Dee.
“Dee okey hari ni? Pergi masjid tadi ada apa-apa masalah tak?” Cakna Hamra pada adik angkatnya itu.
“Okey la...” Jawapan yang tidak meyakinkan. “Aku kan baru belajar solat. Tadi pun aku ikut je pak cik tu buat apa. Dia tunduk, aku tunduk. Dia berdiri. Aku berdiri”
“Kan akak dah ajar kat rumah?” Soal Hamra lembut.
“Aku tak ingatlah kak” Meleret suara Dee.
“Tak apa, lama-lama nanti mahirlah” Pujuk Hamra. “Ni akak ada hadiah” Hamra suakan naskah di tangan.
Dee takut hendak ambil. Nampak riak gelisah terpamer di wajah.
Hamra capai tangan Dee dan meletakkan naskah itu di tangannya.
“Hadiah ni istimewa tau. Dee adalah orang pertama yang akak bagi hadiah ni”
“Betul ke kak? Akak yakin ke nak bagi ni pada Dee? Ni kan akak punya?”
Hadiah berupa Al-Quran terjemahan sebesar tapak tangan itu dibelek Dee kulit luarnya. Hadiah yang tidaklah baru, tetapi amat bermakna bagi pemberinya. Harapnya bererti bagi penerimanya juga.
“Akak tak sayang ke Al-Quran ni?”
“Sebab akak sayanglah akak bagi. Pemberian yang terbaik adalah harta yang paling disayangi oleh seseorang itu” Hamra mengusap lengan Dee.
“Okey, cuba Dee buka muka surat 573. Surah Al-Jinn ayat 18” Hamra cuba mengalihkan perhatian Dee.
Al-Quran itu diselak mengikut panduan Hamra. Dee menyebut terjemahan ayat itu sepatah demi sepatah.
Melihat kerutan dahi Dee, pantas Hamra menyoal. “Faham tak maksud ayat tu?”
Gelengan Dee diterima sebagai tidak.
“Okey, akak nak tanya, kenapa kita pergi ke masjid?”
“Entah” Dee jawab acuh tak acuh.
“Eh, seriuslah Dee!” Hamra ‘ketam’ Dee lembut.
Dee ketawa manja. “Okey! Okey! Pergi masjid untuk solat. Jadi?”
Masih samar niat Hamra.
“Masjid kan rumah Allah. Kita pergi masjid untuk solat, untuk sujud padaNya. Tapi kalau pergi masjid untuk bersembang, untuk buat perkara lain selain beribadat pada Allah, kan tak bagus?”
Dee diam. Pandangan mata Dee masih ‘tergam’ pada Hamra. Kemudian, mata itu semakin picing.
“Akak nak tegur aku sebab main telefon tadi ke?” Bukan nada menuduh tapi tepat sekali tekaan itu.
Hamra sepetkan mata sambil tayang senyuman tidak bersalah. “Dee marah akak ke?”
Dee diam lagi. Hamra dah cuak.
Tiba-tiba Hamra dipeluk. “Tak adalah. Aku tahu akak sayang aku, sebab itu akak tegur”
Hamra mengucapkan syukur tanpa suara. Mujurlah Dee menerima tegurannya dengan baik.
“Cuma aku tak faham. Dalam ayat tu tulis, “...Maka janganlah kamu menyembah apa pun di dalamnya selain Allah”. Aku bukannya sembah telefon tu pun” Kedengaran agak kasar namun Hamra faham soalan Dee.
“Memanglah secara fizikalnya Dee tak sujud pada telefon tu. Tapi perbuatan tu seolah-olah mengutamakan perkara lain selain Allah. Akak bagi contoh, ada tetamu datang rumah Dee, tapi dia asyik main telefon je, tak pedulikan Dee pun. Mestilah Dee rasa macam nak halau je dia kan?” Kening Hamra terjongket menyoal.
“Eh tak...” Reaksi penafian Dee kelihatan bersungguh sekali.
“Tak?” Dahi Hamra berkedut di tengah. Biar betul Dee? Tidak kena ke contoh yang Hamra beri?
“Tak...” Jari telunjuk digoyangkan di hadapan hidung Hamra. “Aku rasa macam nak hempuk je telefon kat kepala orang tu” Dee menunjukkan demonstrasi dirinya menghempuk sesuatu dengan geram. Terketap-ketap giginya.
Sebelum Dee mempamerkan aksi melampau, baik ditenangkan dahulu gadis itu!
 “Macam itulah juga dengan rumah Allah, kita masuk ke dalamnya dengan niat yang baik, untuk beribadat kepadaNya. Terang-terang kita tak boleh abaikan tuan rumah yakni Allah dengan melakukan perkara-perkara lagha. Tak gitu? Kalau dengan manusia pun kita rasa perbuatan itu tidak sopan, apatah lagi dengan Penguasa sekalian alam”
Dee sengih menerima ‘belaian’ Hamra. Membelai dengan kalamNya, tidakkah indah?

Mission accomplished!

Comments

Popular Posts