MOVE!
Assalamualaikum...
Nak kongsi cerpen.. Sila baca!
Ufufu..
***
Nak kongsi cerpen.. Sila baca!
Ufufu..
***
M.O.V.E.
– Mardhatillah is Our Vission Eternitily
Tudung
menutupi dada, stoking, sarung lengan… Hmmm… Apa lagi ya? Apa lagi rupa fizikal
yang terzahir dari seorang yang berpakaian Muslimah mengikut syariat yang
ditetapkan? Oh ya! Harus dipadankan sekali dengan baju yang menepati kriteria
seperti longgar yakni tidak mengikut bentuk badan, tidak jarang dan… labuh
mungkin? Jadi, pilihan pakaian yang sesuai adalah… jubah? Baju kurung pun bagus
juga! Atau T-shirt labuh berlengan panjang yang molek digayakan dengan seluar
panjang yang longgar juga? Ya!
Wajah
ditilik di hadapan cermin. Imej yang terpantul menggambarkan pesona si gadis
yang terserlah. Wah! Comelnya! Siapa kata muslimah yang memenuhi tuntutan
berpakaian tidak cantik? Tidak tahu bergaya? Kolot? Hmmm?
Imej
gadis lewat belasan tahun yang berdandan ringkas dengan skirt paras buku lali
dan blouse kain kapas labuh serta
selendang bercorak abstrak dengan warna yang lembut memuaskan hati si pemakai. Stoking sudah tersarung di kaki. Sarung lengan
sudah melekap di lengan. Hmmm… Apa lagi yang tidak cukup ya? Jam tangan! Segera
beg sandang dicapai dan kaki pantas melangkah keluar rumah.
Alhamdulillah!
Syukur, Ya Allah! Engkau kurniakan kesempatan untuk ana melewati hari ini. Hari
untuk bertemu sahabat-sahabat yang dirindui. Ya, walaupun tidak sampai sebulan
kali terakhir bertemu sahabat-sahabat yang dikasihi, kerinduan itu bagaikan
sengat yang mengalir dalam salur darah. Begitu menyucuk, sakit dan seluruh
tubuh merasakan bisanya. Aduh, parah! Hingga jantung pun tidak bertenaga untuk
mengepam darah. Lesu sahaja. Oksigen pun bagaikan tidak cukup. Pernafasan
aerobik seperti tidak efisen dalam menjalankan tugas. Mahu beralih kepada
pernafasan anaerobik pula? Ini bukan kes aktiviti cergas!
Hmm…
Inilah jadinya akibat tidak sabar hendak bertemu sahabat-sahabat, hinggakan
minda pun terfikirkan perkara yang bukan masanya. Bila berhadapan dengan masa
yang sewajarnya, tidak pula otak ini memerah fikiran seperti ini. Perkara lain
juga yang terngiang-ngiang. Rentak lagu lah, drama TV lah, ayat-ayat dalam
novel lah, hinggakan dalam kekalutan semasa exam
pun iklan produk ‘Harwany’ boleh menjengah! Betapa minda ini telah diisi dengan
perkara yang tiada kewajarannya.
“Dah sampai” umi yang memandu
sudah memberhentikan kereta.
“Hah? Oh, hmmm…” ana yang sedang
terawang fikiran kembali kepada realiti setelah mendengar suara umi.
“Balik nanti call ya?” kata umi
sambil ana menyalami tangan insan yang penuh dengan kasih sayang tersebut.
“Ok, umi. Assalamualaikum” ana
melangkah keluar dari kereta sambil mata meliar mencari kelibat yang dikenali.
Oh, mereka semua telah menunggu!
Sambil
melambai pada umi, ana menapak ke belakang dengan berhati-hati. Tetap dalam
jarak yang selamat, risau terlanggar orang yang lalu lalang dengan tidak sengaja.
Sehinggalah kereta yang dipandu umi lesap dalam kejauhan.
Hendak
menjerit kesukaan, bukan akhlak yang mulia. Berada di tempat awam mahupun
tersembunyi, perlu menjaga maruah diri dan agama. Sebagai duta Islam yang penuh
kelembutan dan kesopan yang luhur, wajib tunjukkan peribadi yang elok. Islam
kan agama yang memelihara dan terpelihara? Semua muslim adalah duta Islam,
sewajarnya menggalas dan mencerminkan imej Islam yang sempurna. Bukankah
begitu?
Islam
adalah sempurna. Muslim itu yang tidak akan pernah sempurna.
Dalam
berdakwah, jangan menilai kepada siapa yang menyampaikan. Tetapi lihat dengan
mata hati apa yang disampaikan.
Islam
adalah mudah, namun jangan mengambil mudah urusannya.
Najeeha,
Farah dan Syahira menyambut mesra kedatangan ana. Dengan senyuman diukir manis,
mereka mereka membawa ana ke dalam
dakapan rindu. Rindu yang tidak terungkap sepenuhnya oleh bibir, hanya rasa
syukur yang disalurkan oleh sinar keceriaan wajah.
Beriringan
ke kafe, mulut ringan berbual dan bertanya khabar. Seronok tentunya!
Syahira;
gadis yang memiliki mata bulat yang tajam mempersona. Kening lebat yang cocok
dengan raut wajah yang melembutkan jiwa. Petah berbicara dengan hujah yang
tepat. Menumbangkan lawan dengan bicara yang ampuh. Kukuh dengan sebab yang
munasabah. Kalau diajak berbahas, sila bersedia dengan dalil yang teguh. Atau
awal-awal lagi akan tewas tanpa bertanding.
Gadis yang lantang menyuarakan pendapat.
Pantang dicabar. Dalam kelembutan terselit ketegasan. Teguh pendirian. Nakal-nakal manja. Suka
mengusik, mangsa utama adalah ana!
Farah;
lagaknya bagai ustazah pilihan. Tempat rujukan selain ustaz dan ustazah.
Disegani kerana ilmu dan ketokohannya. Berhikmah dalam menasihati, hingga tidak
terasa diri sedang ditegur. Berpenampilan yakin. Ke mana-mana pun, terasa aura
kehebatannya. Seperti semua orang mengenalinya kerana kebijaksanaan
menyampaikan ilmu kepimpinan yang terserlah.
Kadang-kadang
timbul rasa segan dengannya. Ana ini kurang ilmu berbanding ustazah muda ini.
Namun kata-kata yang terlahir di bibirnya seperti air yang dingin, menyegarkan
ana!
Najeeha;
bersahaja dalam semua perkara. Dapat menyesuaikan diri dalam situasi apa pun.
Sabar dalam setiap tindakan. Tangannya berseni. Artistik. Kreatif dan imaginatif. Hasil tangannya tampak
hidup dan unik. Molek dengan kelebihan yang ada, Najeeha seorang pendiam.
Tetapi diam ubi berisi, ada sahaja ideanya yang mengagumkan. Lebih-lebih lagi
tentang lukisan. Tekun menyiapkan tugas, tidak akan dipengaruhi oleh anasir
yang mengganggu.
Menara Eifel
bantal peluknya. Istana Buckingham katil pengalas tidur. Masjid Kristal peneman
lena. Kalau tidak mengenangkan gadis ini sebaya, ana tentu menganggapnya
arkitek terkemuka. Segar dengan idea bernas, hasil tangan yang memukau hati ana!
Berada di
samping mereka bertiga, terasa kerdilnya ana. Bukan malu kerana rendah diri,
tetapi kagum dengan bakat dan kelebihan yang dianugerahkan Tuhan kepada mereka.
Orang yang hebat tetapi tidak riak dan ujub. Merendah hati dan meraikan yang
sederhana yang kurang. Bijak dan genius belaka, terserlah dengan aura yang
tersendiri.
Sering ana
tertanya sendiri, dan pernah ana bertanya akan sebab ana diterima sebagai
sahabat baik mereka. Terasa tidak layak mendampingi mereka. Rasa kurang yang
amat. Ana gadis biasa, tetapi dirai dengan layanan yang penuh mesra. Tidak rasa
terasing dengan kekurangan diri. Rasa seakan ana sekufu dengan mereka.
Alhamdulillah!
Jawapan dari
mereka berlainan tetapi membawa kepada maksud yang serupa.
“Naura bak sakura. Putih kemerah-merahan.
Lembut ditiup bayu, gemalai menyapa rumput kehijauan. Sejuk mata yang
memerhati, terpesona dengan keindahan. Kadang-kadang kelopaknya nakal menyapa
wajah yang sedang asyik bertasbih memuji kekuasaan Ilahi, Maha Suci Tuhan yang
Menjadikan Sesuatu” Farah tersenyum simpul. Ana pula yang kurang faham
ayat-ayat berbunga ini!
“Orang melihat
Naura sebagai gadis Melayu yang tidak lokek dengan ciri Muslimah sejati. Dara
pingitan yang pemalu, terpelihara kehormatan dan pergaulan. Lembut suara, sopan
perilaku, beradab dengan akhlak yang tinggi. Dari sisi seorang sahabat, Naura
nakal dan manja. Penuh dengan ucapan romantis dan memujuk. Dari pandangan umum,
Naura gadis ayu namun tegas dalam kelembutan” Syahira mengusap bahu ana dengan
nada sedikit berbaur usikan .
“Gadis yang
dianugerahkan Tuhan dengan keindahan. Rupa yang memikat, kulit yang putih
bersih, susuk tubuh yang sederhana dan ideal serta senyuman manis yang
mendamaikan. Kelembutan dan kesopanan Naura menarik perhatian sesiapa pun.
Gadis yang misteri walaupun sering ditatap ramai. Berbakat dalam karya
penulisan. Mempunyai kelebihan dalam bidang bahasa, terutama bahasa ibunda;
Bahasa Melayu. Mewah dengan tatabahasa dan perkataan-perkataan yang heterogen
apatah lagi Bahasa Arab. Berbicara dengan puitis. Menawan dengan kelembutan
kata” Najeeha menambah pantas.
“Jadi? Apa
lebihnya ana?” Syahira kelihatan geram dengan pertanyaan sengal ana. Mencerlung
tajam.
“Setiap orang
ada kelebihan dan kekurangan. Tak usah rasa rendah diri dengan ketidakcukupan.
Merendah diri hanya pada Allah. Bukan pada manusia. Merendah hati, diharuskan.
Supaya kita sedar kita hanya hamba, nikmat yang dipinjamkan hanya seketika.
Bersyukur dan menghargai nikmat dengan menggunakannya untuk perkara yang
bermanfaat” Syahira menjawab laju.
“Naura tidak
kurang berbanding kami malah mungkin lebih baik dari kami. Kami bersyukur
mempunyai sahabat seperti Naura. Naura punyai aura yang unik, melengkapkan
ukhwah ini” Farah meraikan.
“Naura melihat
kami hebat kerana Allah menutup aib kami. Jika Allah membuka walau satu
keaiban, nescaya Naura tidak akan mendekati kami. Aib itu rahsia dengan Allah,
tidak akan terbongkar selagi Dia tidak mengizinkan. Kita juga dilarang
menyebarkan aib sendiri. Diumpamakan bagai menempek muka sendiri dengan najis.
Astaghfirullah…”
“Pokoknya,
dalam ukhwah ini, tiada sesiapa yang lebih atau kurang. Semua sama sahaja di
mata Tuhan. Iman dan taqwa jadi nilaian” semua menerima dengan rasa senang.
Masa untuk
membeli belah! Lebih kepada menjamu mata sebenarnya. Melihat barang-barang yang
dipamerkan tanpa rasa ingin membeli. Meluangkan masa bersama sahabat-sahabat
lebih mengujakan. Saat berharga yang tiada putar balik atau imbal gantinya. Jam
tetap berdetik, menandakan masa yang ditinggalkan kian menjauh. Manfaatkan
dengan semaksima mungkin!
“Oh kekasih
ana!” Syahira terjerit tetapi terkawal. Langkah pantas menuju ke meja jualan.
Kedai buku. Syahira menunjuk ke arah sebuah buku yang agak tebal karya novelis
sejarawan Islam terkenal; Abdul Latip Talib.
“Sultan
Muhammad Al-Fateh? Kekasih?” ana yang kurang mengerti membuka mulut.
“Ya, kekasih
ana. Kagum ana dengan penakluk Konstantinopel ini. Walaupun masih muda, jiwanya
besar!”
Menarik.
“Beli sahaja
lah. Dapat menghayati sejarah perjuangannya”
Syahira
tersipu. “Ana sudah memilikinya di rumah. Sudah khatam beberapa kali. Namun
masih belum puas. Ana telah tertawan dengan pesona dan karisma Al-Fateh. Ana
jatuh cinta!”
Erk! Jatuh
cinta? Fall in love? Qalb fii mahabbah? Dengan pemuda yang
hidup pada zaman peperangan merebut Konstantinopel?
Minda
berfikiran waras. Errr… ana pun seperti sudah angau dengan Sultan Muhammad ini
walaupun hanya mendengar sipi-sipi kisah agungnya. Barangkali jika meneliti dan
memahami seluruh kisah, ana akan pengsan tersenyum. Terlalu bahagia!
“Tapi zaman
itu telah berlalu. Pemuda itu pun sudah mangkat. Hanya tinggal sejarah…”
“Kisah
perjuangannya dapat menjadi obor, membakar semangat anak muda mencontohi
jejaknya. Walaupun dalam usia muda, dapat mengukir sejarah dunia. Melakukan
sesuatu yang hebat dan gah! Inspirasi syabab muslim mukmin”
Kafe C-Marty
menjadi tempat persinggahan. Duduk sebentar untuk melepaskan lenguh
berjalan-jalan. Membuat pesanan sebelum menyambung bicara.
“Sayang…”
panggilan mesra buat sahabat-sahabat kesayangan. Ucapan kasih mengeratkan
hubungan persahabatan yang terjalin. Tanda ana menghargai dan menyayangi
mereka. Hati yang panas boleh sejuk dengan ucapan sayang. Psikologi manusia,
sukakan kedamaian dan ketenangan. Bukankah ucapan ‘sayang’ itu sesuatu yang
membawa kesejahteraan?
“Ana hendak
bertanya…” setiap wajah yang terpamer dipandang bagai meminta keizinan.
Masing-masing mengangguk membenarkan.
“Kalau orang
belum Islam tanya kenapa ana muslimah, apakah jawapan yang wajar?”
Farah tenang
menjawab. “Pertama, tanya dia semula apakah dia seorang Kristian, Hindu, Buddha
atau ateis. Dari hujah yang dia berikan, pasti akan ada kebatilan. Cucuklah kat
situ. Jelaskan pada dia apa yang enti tahu dan faham mengenai Islam. Terangkan
sebab Islam itu adalah agama yang sebenar. Fitrah manusia memang perlukan Islam.
Pada akhirnya, Islam adalah agama yang paling syumul. Wallahu A’lam”
“Kalau dia
tanya kenapa tutup aurat? Kalau dia cakap ana lebih elok tanpa tudung atau
pakaian ana kuno?” Najeeha mengambil tempat untuk meluahkan soalan.
“Pertama, soal
dia tentang cara pemakaian orang zaman dahulu, zaman batu umpamanya. Singkat
kan? Tak cukup kain kan?” kami ketawa lucu. Bukankah perempuan sekarang pun
hanya berkemban ketika berada di tempat awam? Muslimah pula itu! Mana letaknya
kehormatan dan maruah mereka?! Yang bertudung tetapi seperti tidak berpakaian
pun ramai.
“Mengikut
peredaran zaman, semakin maju, manusia yang punya akal ini semakin menutup
aurat. Lebih senang cakap menutup badan lah sebab dia belum Islam kan? Dan
sesiapa yang menutup aurat itu, bukanlah kuno. Malah mengikut peredaran zaman”
“Kalau dia
lelaki, cakap ‘awak lebih tahu naluri seorang lelaki apabila melihat perempuan
dengan pakaian yang tidak menutup aurat’. Ambil perhatian, pakaian yang tidak
menutup aurat ya. Bukan yang mencolok mata” Tegas Farah bersuara.
“Allah dah
tahu benda ni, sebab itu Dia suruh tutup aurat”
“Di Darul
Quran, sudahlah jubah diwajibkan. Tambahan lagi, tidak dibenarkan pakai jubah
yang warna terang. Contohnya, warna hijau muda, biru muda dan oren. Warna ungu
pun pernah jadi isu. Tapi kes ditutup sebab ungu warna baju semester. Kalau
difikirkan semula, ikut naluri perempuan kita ni, ungu gelap warna terang ke?
Tidak kan? Tapi cuba tengok naluri lelaki bagaimana” kami diam mencerna.
“Banat (pelajar perempuan) kat sana
ditegah untuk pakai telekung dari asrama ke masjid pada waktu zuhur dan asar.
Kenapa? Sebab nampak comel macam arnab kata
banin (pelajar lelaki). Serius?! Kita tak pernah terfikir pun! Jadi kita
pula kenalah jaga dan hormati naluri dan hati diaorang dengan meraikan
permintaan diaorang”
“Ada lagi
situasi yang menunjukkan naluri lelaki ni lain dari perempuan. Kat Darul Quran,
kenapa mesti jubah? Kenapa tidak baju kurung?” Farah berhenti sejenak memberi
kami ruang untuk berfikir.
“Mudah saja
jawapannya. Kalau enti pakai baju kurung, apabila hendak duduk, enti akan buat
apa dulu? Kalau jubah?” kening Farah terjongket dengan senyuman sinis.
Tersentap!
Kemudian angguk mengerti.
Tersenyum
hambar. Begitu sekali penangan nafsu. Betapa bezanya fikiran lelaki dan
perempuan. Baju kurung yang dianggap sopan itu pun masih ada yang kurang,
apatah lagi pakaian lain yang tidak diiktiraf Islam!
Astaghfirullah…
Betapa syaitan dan konco-konconya berusaha untuk melemaskan umat manusia dengan
maksiat. Itu jarum yang halus. Siapa yang sedar? Muslim yang benar-benar
prihatin sahaja yang mampu mengesan helah licik ini dan menangkisnya. Dalam
menutup aurat pun jarum hendak dicucuk. Belum lagi melibatkan hal lain.
“Ya Allah,
begitu besar peranan menutup aurat dengan sempurna!” Syahira kagum dengan
nikmat Islam.
Selesai di
kafe, kami berpamitan. Halaqah kecil ini semoga istiqamah dengan pengisian
rohani. Membuka minda kami untuk berfikir dengan jelas akan nikmat yang Allah
kurniakan. Menyoroti setiap isu yang menjadi bualan masyarakat. Juga
merungkaikan kekusutan yang menjadi igauan persoalan.
Kami ini duta
Islam. Muslim adalah duta Islam. Sewajarnya menggalas dan mencerminkan imej
Islam yang sempurna.
Kami bukan
orang alim yang hidup hanya di tikar sejadah. Kami bersosial dalam batas yang
dibenarkan. Kami bernafas sebagai orang biasa yang cuba meraih mardhatillah.
Muslimah biasa yang mahu mendapatkan cinta luar biasa daripada Pencipta.
Pakaian dan
penampilan kami mungkin membuatkan kami akan diserang. Diserbu dengan persoalan
dan didesak dengan jawapan yang pasti dan tepat dengan segera. Malangnya, kami
hanya gadis yang tetap selamanya sebagai pelajar. Kami hanya mampu berhujah
dengan sesuatu yang kami tahu. Tidak terdaya kami menjawab jika jawapannya di
luar sempadan ilmu kami. Namun, ramai yang kurang mengerti.
Musyawarah dan
halaqah dalam usrah. Peluang kami untuk berkongsi apa-apa sahaja isu atau
cerita. Kesempatan kami untuk menyatakan pendapat dan tentunya suara kami
didengari. Alhamdulillah, nikmat berukhwah lebih manis daripada aiskrim! Hehe.
Oh! Kenapa membahasakan
non-muslim itu sebagai orang belum
Islam, tidak orang bukan Islam? Kerana non-muslim
belum merasai nikmat Islam. Dan selagi mereka belum dijemput malaikat Izrail,
mereka berpeluang untuk memeluk Islam.
Simpati pada
mereka. Mungkin belum terbuka hati mereka untuk menganut Islam. Lagipun, hanya
Dia yang berhak memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sekalipun
Nabi Muhammad tidak mampu menarik bapa saudara Baginda; Abu Talib menjadi
muslim. Apatah lagi manusia biasa seperti kita. Hanya mampu berdoa dan berusaha
membuatkan mereka berminat kepada Islam.
Soal hati,
serahkan kepada empunya yang memegang setiap nyawa. Hatta malaikat Izrail tidak
mampu mencabut nyawa seseorang kecuali dengan izinNya. Walaupun pada hakikatnya,
seseorang itu sudah nazak atau nyawa-nyawa ikan. Jika Allah menetapkan itu
bukan waktunya, kematian tidak akan terjadi. Sekelopak bunga tidak akan gugur
tanpa izinNya. Jantung tidak akan berhenti berdegup melainkan Allah telah
menuliskan sedemikian di Luh Mahfuz.
Gerun
memikirkan. Apakah ana pernah membawa saudara baru kembali kepada agama fitrah?
Bagaimana kalau disoal apakah sumbangan ana terhadap Islam? Kalau
dipertanggungjawabkan atas diri yang tidak pernah menyampaikan kebaikan dan
mengajak mereka yakni yang belum Islam kepada agama yang Allah redha? Bagaimana
kalau di akhirat nanti, apabila mereka yang belum Islam ini disoal kenapa tidak
menganut Islam, ana dipersalahkan kerana tidak menarik mereka kepada Islam?
Menggigil.
Ya Qayyum!
Jadikan kami hamba yang solehah dan berbakti kepada agamaMu.
***
“Kenangkan
apa? Leka benar gayanya” umi mengusap bahu ana lembut.
“Teringatkan
Farah, Syahira dan Najeeha. Di perantauan sana, rindu mencengkam jiwa” jujur.
Terkenang
kepada sahabat-sahabat ana di luar negara, rasa sedih dan rindu bercampur baur.
Sedih kerana terpaksa berpisah demi kerjaya. Rindu yang amat untuk kembali
bersama seperti dulu. Biarpun masih dalam usrah dan saling berhubung, rasa
rindu tidak pernah pudar. Malah semakin mekar.
Najeeha sedang
menetap di United Kingdom. Arkitek hebat itu menempa kejayaan di bumi Eropah
dengan usaha dan bakat yang semakin bercambah. Mendapat pengiktirafan daripada Oxford
University. Potensi diri terus diserlahkan melalui kerjaya yang sememangnya
merupakan dunia seni kreativiti bagi Najeeha. Memilih untuk berjuang di bumi
asing sendirian.
Doktor muda, Dr.
Syahira memilih bumi Ireland sebagai medan juang menuntut ilmu perubatan. Bekerja
sebagai ginekologis di sebuah institut
penyelidikan dan perubatan di US. Mahir dalam bidang ginekologi, Syahira
ingin memanfaatkan hidupnya untuk mengkaji dan merawat pesakit. Komited
terhadap bidang yang diceburi.
Prof Madya
Farah, profesor yang telah menghasilkan beberapa jilid buku untuk rujukan para
pelajar. Hasil kajiannya diiktiraf umum. Menetap di Jordan bersama suami
tercinta; seorang pensyarah dan anak-anak.
Ana? Di sini
lah ana. Ana novelis separuh masa. Pensyarah Undang-Undang Syariah sepenuh masa
di Kolej Universiti Insaniah, Kuala Ketil, Kedah.
Antara sibuk dengan
tugasan dengan komitmen pada diri dan keluarga, kadangkala muncul suatu ruang
masa yang membawa ana kembali kepada saat persekolahan. Saat yang mencipta
kenangan dan memorabilia. Detik yang mengajar diri untuk lebih matang dan
dewasa.
Peristiwa yang
tersimpan dalam fail hati; hikayat fitnah si pendusta. Mari belayar ke negeri
kenangan. Ana akan berlipur lara.
Farah yang
usai makan tengahari terkesan dengan jelingan maut beberapa pelajar perempuan
yang sedang berbual di sudut kantin sekolah. Jelingan yang membawa aura sinis.
Hairan. Bukankah Farah seorang gadis yang disenangi ramai?
Dengan niat
ingin tahu, Farah mendekati mereka.
“Assalamualaikum.
Seriusnya berbual! Cerita tentang apa?”
“Waalaikumsalam”
jawab salah seorang pelajar dingin tanpa memandang Farah. Jelas riak kurang
senang terpamer.
“Bercerita
tentang pengkhianat. Diam-diam mengkhianati kaum sendiri! Duri dalam daging!
Gunting dalam lipatan! Musuh dalam selimut! Api dalam sekam!” Fuh! Habis semua
perumpamaan disebut.
“Siapa
pengkhianat? Kepada siapa?”
“Pesalah tidak
akan mengaku bersalah!” suara semakin tinggi menghiris hati.
“Yalah. Siapa
pesalahnya? Ana hendak dengar kisah dari akarnya kalau ada yang sudi berkongsi”
Farah memandang setiap wajah, mengharapkan penjelasan.
“Kami sudah
selesai. Minta izin ke kelas dulu ya? Sebelum entah senarai apa pula yang tiba
ke meja ustazah” berpamitan dengan cara yang ‘sopan’. Riak menjengkelkan pada
wajah-wajah itu tidak usah dinafikan, jelas terpapar!
Jawapan yang
pasti belum diperoleh. Terasa diri dipulaukan. Tapi, kenapa?
Berita pantas
tersebar. Akhirnya, hinggap juga di telinga Farah dan sahabat-sahabat.
Sehelai surat
layang berupa senarai nama pelajar yang disyaki ‘berpasangan’ tiba di meja
Ustazah Habsah; peneraju BADAR. Surat tanpa nama pengirim. Dan ahli MOVE (ana,
Farah, Najeeha dan Syahira) dituduh sebagai pengirim surat tersebut. MOVE
dipulaukan tanpa sebab yang kukuh oleh pelajar-pelajar yang terdapat nama
mereka pada senarai tersebut. Mereka itu telah dipanggil menghadap badan
disiplin untuk disoal siasat.
Farah yang
paling banyak terkena pukulan fitnah. Orang kuat yang jelas memerangi
‘berpasangan’ ini adalah Farah. Tokoh yang lantang bersuara apabila hal
sensitif ini dibangkitkan. Keperibadian Farah menyebabkan dia dijadikan sasaran
utama oleh mereka yang kurang cerdik untuk menilai.
Ana kurang
bergaul dengan mereka itu. Jadi ana kurang menerima tempias fitnah yang
merebak. Lagi pula, Farah dan Syahira benteng kuat ana. Seperti sinaran UV yang
ditapis oleh atmosfera, bahang fitnah yang ana terima seperti tidak terasa.
Terlalu sedikit.
Farah sering
berhadapan serangan sendirian. Kadang-kadang ditemani Syahira. Adakalanya
bertemankan rakan-rakan pengawas. Sekurang-kurangnya ada saksi jika Farah
diserang. Apatah lagi, pihak lawan bergabung dengan pasangan masing-masing yang
berlainan jantina. Sehingga kamus elektronik BESTA milik Farah hampir menjadi
mangsa. Kamus yang bernilai hampir
seribu ringgit itu ada sebab menjadi taruhan.
Suatu petang,
meja Farah diusik teruk. Kami mengesyaki si penyelongkar mencari BESTA yang menyimpan
rakaman yang menjadi bukti penting. Bukti yang memadamkan MOVE sebagai pesalah.
Bukti hasil siasatan kami sendiri.
Alhamdulillah,
yang memusuhi tiba-tiba hilang seperti wap di udara apabila Ustazah Habsah
campur tangan dengan lebih dalam.
Kisah yang
tidak menggoyahkan persahabatan kami, malah membuatkan kami lebih kuat. Kami
bersatu dalam menyelesaikan kes. Seperti detektif muda pula!
Selepas 5
tahun…
“Alhamdulillah,
kita bersama kembali setelah bertahun-tahun berpisah” Farah senyum gembira.
“Kenapa ya
ditentukan pertemuan dan perpisahan? Kesedihan selepas kegembiraan. Rasa
kesunyian…” ana bersuara.
“Mungkin untuk
menguji kesetiaan, kejujuran dan kemanisan iman” Syahira meneka.
“Kalau tidak
ditakdirkan perpisahan, apakah kita akan menghargai nikmat pertemuan?”
“Yang pasti,
ukhwah ini akan tersimpul padu. Janji Allah, bertemu dan berpisah kita dalam
rahmat dan kasihNya. Andai diuji, bersabarlah. Kenangan kita bersama tak akan
pudar dari ingatan, walau badai melanda, sekalipun bercerai jasad dan nyawa”
“Berpesan
mengingati dituntut agama,
Kita bagaikan satu keluarga,
Silaturahim ini tidak akan terpisah,
Kita jalinkan
seperti Rasulullah dan sahabat.
Kita laungkan
Allahu Akbar, Allah Maha Besar
Seiring
sehaluan satu cita dan impian,
Susah dan
senang kita tempuhi bersama,
Bertemu
berpisah kerana Allah”
Seperti
terdengar nyanyian kumpulan UNIC- Seiring Sehaluan dibawa angin lalu.
Ya. Bertemu
dan berpisah kerana Allah!
TAMAT
Comments
Post a Comment